Saturday, January 13, 2018

KAEDAH PEMBUKTIAN DALAM ISLAM



1.     PENDAHULUAN




Kaedah untuk membuktikan di dalam mahkamah atau disebut sebagai kaedah pembuktian  adalah bermaksud cara-cara yang digunakan  untuk membuktikan kesalahan di dalam mahkamah. Kaedah pembuktian bagi tujuan khusus di dalam mahkamah mungkin berbeza daripada pembuktian dalam konsep yang umum di luar mahkamah.

Dalam konsep pembuktian yang umum, beban pembuktian atau burden of proof tidak semestinya dilakukan di dalam mahkamah dan tidak terikat dengan cara-cara yang tertentu. Dalam konsep beban pembuktian yang khusus, ia mesti dibuktikan di dalam mahkamah dengan menggunakan kaedah-kaedah yang tertentu.

Sesuatu kebenaran pada pandangan mahkamah tidak semestinya sama dengan realiti di luar mahkamah. Kadangkala mungkin sahaja keputusan mahkamah bertentangan dengan keadaan di luar mahkamah. Realiti di luar mahkamah bergantung kepada samada ianya berjaya dibuktikan dengan cara-cara tertentu yang ditetapkan oleh undang-undang yang terpakai oleh mahkamah berkenaan.

Dua nilai yang dihadapi oleh mahkamah ialah nilai keadilan dan nilai urusan guaman yang mantap.

i.               Nilai keadilan.

Apa sahaja cara perlu digunakan bagi menegakkan keadilan.

ii.              Kemantapan urusan guaman yang yang dilakukan.

Hakim perlu terikat dengan cara-cara yang khusus serta bagaimana pihak hakim  menilai hujjah-hujjah yang dikemukakan bagi mempastikan proses penghakiman lebih telus dan wujud keselarasan  dalam kalangan para hakim dalam menjatuhkan hukuman.

Menurut sistem kehakiman konvensional, terdapat beberapa pandangan mengenai nilai-nilai yang disebutkan di atas. (Ahmad Muafi, 1965). Antaranya

i.               Mahkamah seharusnya bebas dalam mencari kebenaran dan tidak terikat dengan kaedah pembuktian tertentu.

ii.              Mahkamah seharusnya terikat dengan kaedah tertentu yang digariskan oleh undang-undang berkenaan.

Terdapat pula pandangan yang membezakan antara kes-kes jenayah dan kes-kes sivil. Pandangan ini menyebut bahawa mahkamah perlu bebas dalam kes-kes jenayah sementara bagi kes sivil pula, mahkamah perlu terikat dengan kaedah pembuktian tertentu.

2.     PANDANGAN SYARIAH ISLAM TERHADAP KAEDAH PEMBUKTIAN




Dalam membincangkan mengenai samada mahkamah perlu terikat atau sebaliknya dengan kaedah pembuktian, terdapat perbezaan pandangan ulama mengenai perkara tersebut.

Pandangan yang lebih cenderung kepada mengikat mahkamah dengan kaedah pembuktian tertentu dalam kes-kes jenayah ialah pandangan Dr Ahmad Muafi (1965) dalam bukunya Min al-Fiqh al-Jina’i Baina al-Syariah al-Islamiyyah wa al-Qanun.

Pandangan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (1970) pula adalah sebaliknya sepertimana yang tertulis di dalam buku beliau iaitu I‘ lam al-Muwaqqi’ in  dan al-Turuq al-Hukmiyyah.

 Dalam I ‘lam al-Muwaqqi’ in, beliau menukilkan:

“Dalam semua persoalan, Syariah Islamiah bertujuan utnuk menjelaskan kebenaran walau dengan apa cara sekalipun, dan tidak akan menolak apa –apa sekalipun, dan tidak akan menolak apa-apa kebenaran apabila ada dalil yang jelas mengenainya.kerana dengan penolakan seperti itu hak-hak Allah atas hambaNya akan hilang atau terganggu. Sebenarnya kelahiran kebenaran itu tidak hanya bergantung kepada perkara tertentu sahaja. Oleh itu tidak perlu ditentukan kaedah dalam menjelaskan kebenaran sedangkan kaedah lain juga boleh memainkan peranan yang sama tanpa apa-apa perbezaan.”

Dalam al-Turuq al-Hukmiyyah pula, beliau menegaskan:

“Apabila tanda-tanda keadilan itu telah jelas, baik dengan apa cara sekalipun maka itu maka itulah syariat dan agama Allah . kerana Allah swt lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil dari hanya menentukan kaedah tertentu dalam memperjelaskan keadilan dan tanda-tandanya sedangkan ada cara-cara lain lagi yang lebih berkesan dan lebih telus. Malah Allah telah memperjelaskan bahawa apa yang penting ialah menegakkan keadilan itu sendiri di antara para hambaNya dan supaya manusia berlaku adil. Maka apa sahaja cara yang boleh menegakkan keadilan dan kesaksamaan maka ia adalah kehendak agama dan tidak bertentangan dengannya.”

Dr Ahmad Fathi Bahnasi (1962) dalam mengulas pandangan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menyatakan bahawa mahkamah tidak terikat dengan kaedah-kaedah tertentu dalam membuktikan kesalahan. Semua keterangan yang boleh memperjelaskan kebenaran boleh diterima. Penegasan Ibnu al-Qayyim dipetik oleh Bahnasi seperti berikut:

Syariat Islam tidak hanya membataskan kepada kesaksian dua orang lelaki dalam menentukan kebenaran samada dalam kes-kes pertumpahan darah, harta, perzinaan ataupun dalam kes-kes hudud. Malah para Khalifah al-Rasyidin dan para sahabat Rasulullah yang lain pernah mejatuhkan hukuman dalam kes zina berasaskan mengandung dan dalam kes minum arak berasaskan bau dan muntah.     



Berdasarkan prinsip yang terbuka ini, maka Dr Ahmad Fathi Bahnasi (1962) menggariskan tujuh cara yang boleh digunakan bagi membuktikan kesalahan dalam kes jenayah iaitu

i.               Kesaksian

ii.              Pengakuan

iii.            Bahan bukti

iv.            Keterangan pakar

v.              Pengetahuan hakim

vi.            Dokumen

vii.           Sumpah

Tujuh cara di atas boleh disebut dalam satu istilah yang sama iaitu keterangan al-bayyinah.

Penulis akan memberi tumpuan kepada keterangan-keterangan yang boleh diterima di dalam pembuktian di mahkamah.

2.1  Keterangan saksi (al-Syahadah)




Allah swt berfirman di dalam al-Qur an



Maksudnya maka hendaklah kamu bersaksikan dua lelaki dari kalangan kamu.

                                                                                    (Surah al-Baqarah ayat 282)

Dalam Surah al-Talak



Maksudnya maka hendaklah kamu melantik saksi dari kalangan yang adil antara kamu.

                                                                                    (Surah al-Talak ayat 2)

Rasulullah s.a.w. bersabda

Maksudnya  dua saksi kamu atau sumpahnya yang terdakwa.

Al-Syahadah ialah apa-apa keterangan yang diberikan di mahkamah dengan menggunakan lafaz ‘asyhadu’ untuk membuktikan suatu hak atau kepentingan.

Terdapat beberapa ayat al-Qur’an dan hadis yang yang menunjukkan bahawa keterangan  saksi merupakan  asas yang perlu diterima dalam menjatuhkan hukuman secara adil. Maksudnya, keterangan saksi mengikat hakim dalam membuat keputusan  apabila semua syarat dipatuhi. Seseorang saksi yang layak berkewajipan memberi keterangan di mahkamah. Dalam kes-kes sivil yang melibatkan hak individu, saksi wajib memberi keterangan apabila diminta namun apabila melibatkan hak awam iaitu haqqullah maka saksi wajib memberikan keterangan tanpa diminta lantaran kewajipan itu merupakan hak yang boleh dituntut oleh pihak pendakwa.

Dalam kes-kes hudud secara khusus pula, seseorang saksi boleh memilih samada untuk memberi keterangan di mahkamah ataupun sebaliknya demi menjaga aib atau melindungi maruah pihak tertuduh. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah yang menganjurkan supaya mengambil langkah menjaga maruah tertuduh dengan tidak memberi keterangan sebagai lebih afdhal.

Sesetengah fuqaha menjadikan contoh kes mengambil harta orang lain sebagai huraian terhadap bagaimana saksi enggan memberikan keterangan. Sekiranya orang yang sepatutnya menjadi saksi enggan memberikan keterangan, maka hak tuanpunya harta untuk mendapatkan kembali hartanya akan luput. Sebaliknya, sekiranya saksi memberikan keterangan bukan bermakna dia membuka keaiban orang lain tetapi ianya bertujuan untuk menegakkan keadilan dan orang yang melakukan jenayah mencuri ini tidak segan silu melakukan jenayah justeru tidak wajar dilindungi maruahnya. (Ibn al-Humam, 1315H).

Syarat yang melayakkan seseorang untuk menjadi saksi dikategorikan kerpada dua bahagian

i.      Saksi yang layak mempunyai maklumat

ii.     Saksi yang layak memberi keterangan  tentang maklumat berkenaan

Saksi yang layak mempunyai maklumat perlu waras iaitu seorang dewasa yang tidak gila. Maksudnya orang gila dan kanak-kanak tidak layak mempunyai maklumat.

Untuk melayakkan seseorang memberi keterangan,  perlu seorang yang waras, baligh, adil, seorang yang tidak dikenali sebagai jahat, beragama, tidak pernah melakukan dosa besar atau sentiasa  melakukan dosa kecil, bermaruah iaitu tidak berkelakuan tidak sopan dan sebagainya. (al-Kasani, t.t.)

Saksi tersebut juga perlu benar-benar tahu tentang kes berkaitan dan semestinya lelaki dan tidak dipaksa memberi keterangan.

Dalam proses memberi keterangan, saksi menggunakan maklumat yang dia benar-benar tahu. Pengetahuan tersebut dapat diperolehi melalui dua cara iaitu melihat atau mendengar sendiri apa yang telah berlaku. Hakim bertanggungjawab untuk menyoal saksi sekiranya terdapat keraguan atau hal yang tidak jelas sewaktu memberi keterangan.

Tidak semua kes memerlukan bilangan saksi yang sama. Dalam kes zina, empat bilangan saksi diperlukan dengan syarat kesemua mereka melihat kejadian tersebut pada waktu yang sama dan bersama-sama datang pada waktu yang sama untuk memberi keterangan kepada mahkamah.

2.2  Pengakuan (al-Iqrar)




Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. pengakuan Ma’iz telah diterima  oleh Rasulullah s.a.w. untuk mensabitkan jenayah zina ke atas lelaki tersebut menyebabkan beliau dihukum rejam kemudiannya.

Seorang sahabat bernama Unais telah diperintahkan oleh Rasulullah untuk bertanya kepada seorang perempuan yang telah dituduh berzina oleh suaminya maka perempuan tersebut telah mengakui perbuatannya dan diperintahkan dihukum rejam oleh baginda. (Muslim, 2000)

Dengan itu, pengakuan atau Iqrar diterima sebagai asas dalam mensabitkan kes. Pengakuan terikat dengan beberapa syarat untuk diterima oleh mahkamah (al-Sarakhsi, 1957). Antara syarat-syaratnya ialah

a.     Orang yang melakukan pengakuan mestilah beraqal dan cukup umur. Dengan itu, pengakuan kanak-kanak dan dan orang gila serta bodoh tidak sah lantas tidak dapat diterima oleh mahkamah.

b.     Pengakuan mestilah dalam bentuk kata-kata bukan dalam bentuk tulisan atau isyarat. Fuqaha tidak sependapat mengenai pengakuan orang bisu yang boleh difahami isyaratnya. Mazhab Syafie menerima namun Mazhab Hanafi pula sebaliknya.

c.     Pengakuan bersifat munasabah. Contohnya, pengakuan berzina oleh orang yang tidak mempunyai alat kelamin mengesahkan pembohongannya.

d.     Pengakuan hanya melibatkan pihak yang mengaku sahaja dan tidak melibatkan pihak ketiga. Contohnya seorang lelaki mengaku telah berzina dengan seorang perempuan maka pengakuannya itu tidak melibatkan perempuan tersebut melainkan perempuan itu juga membuat pengakuan yang sama.

e.     Mengikut pendapat yang rajih, sesuatu pengakuan hendaklah didahului oleh aduan atau pendakwaan terlebih dahulu untuk diterima oleh mahkamah. Namun, sesetengah fuqaha berpandangan bahawa pendakwaan bukan syarat yang perlu bagi penerimaan sesuatu pengakuan.

f.      Pengakuan dilakukan atas kehendak sendiri dan bukan dipaksa oleh sesiapa. Maksudnya pengakuan tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti mabuk, gila atau diugut oleh seseorang.

g.     Bilangan atau kekerapan pengakuan juga menjadi asas kepada penerimaan mahkamah sebagai asas hukuman kerana terdapat keperluan yang berbeza di antara satu jenayah dengan jenayah yang lain. Dalam kes zina misalannya, pengakuan sebanyak empat kali disyaratkan berdasarkan kepada hadis Rasulullah dalam kes Ma’iz. Fuqaha yang tidak melihat kekerapan sebagai syarat penerimaan bersandarkan kepada hadis al-Asa’if dan al-Ghamidiah. Ada fuqaha yang mensyaratkan dua kali pengakuan bagi kes-kes mencuri dan meminum arak. Pandangan terbanyak fuqaha mengatakan bahawa soal kekerapan pengakuan tidak berbangkit dan perbezaan ini disebabkan perbezaan tanggapan terhadap hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

h.     Pengakuan tidak terikat dengan tempoh luput. Terdapat perselisihan ulama yang mewajarkan pertanyaan hakim mengenai bila kesalahan dilakukan.

Hakim mempunyai kewajipan untuk menyoal orang yang membuat pengakuan untuk mengetahui samada dia memahami apa yang dikatakan olehnya, mempunyai objektif yang jelas serta memahami implikasi hukumannya.

Bagi pengakuan yang dibuat di luar mahkamah dan kemudiannya orang yang membuat pengakuan itu menafikannya di dalam mahkamah, pengakuan boleh disabitkan melalui kaedah pensabitan biasa seperti melalui saksi. Ulama berselisih pendapat mengenai bilangan saksi di mana ada yang berpandangan bahawa bagi kes zina ianya tidak cukup dengan dua orang saksi sahaja sebagai keperluan biasa dalam penerimaan keterangan saksi sebaliknya perlu kepada empat orang saksi kerana bilangan saksi sebanyak empat orang diperlukan bagi menerima keterangan saksi. (al-Kasani, t.t.)

Bagaimanapun, pengakuan yang dibuat di mahkamah boleh ditarik balik setakat yang menyentuh hak Allah seperti kes zina dan minum arak. Bagi kes yang menyentuh hak individu seperti qazaf dan mencuri, ianya tidak boleh ditarik balik.

Beberapa tindakan yang dianggap sebagai menarik balik pengakuan yang telah dibuat (Manla Khasru, 1319H):

a.     Menyebut sendiri penarikan balik samada sebelum atau semasa hukuman sedang berlangsung

b.     Cabut lari sewaktu hukuman sedang dijalankan.

c.     Berlaku percanggahan dalam pengakuan-pengakuan yang dilakukan.



2.3  Bukti keadaan (al-Qarinah)




Istilah yang digunakan dalam Bahasa Arab bagi menggambarkan bukti keadaan ialah Qarinah. Dari segi bahasa, perkataan Qarinah memberi erti perkaitan yang rapat dan berterusan. Kedudukan qarinah sebagai bukti terhadap jenayah sentiasa tidak sama. Ia bergantung kepada sekuat mana perkaitan dengan jenayah tersebut. Kadangkala ianya memberi pertunjuk yang amat meyakinkan dan kadang-kadang ia hanya memberi pertunjuk yang kecil sahaja. Semuanya banyak bergantung kepada penilaian yang bijaksana yang dilakukan oleh seseorang.

Dalam kalangan para fuqaha Islam,  Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (1318H) merupakan tokoh yang paling memberi perhatian kepada kedudukan bukti atau Qarinah  sebagai satu bentuk keterangan  yang boleh digunakan di dalam mahkamah. Beliau telah menghuraikan dengan panjang lebar di dalam buku al-Turuq al-Hukmiyyah  fi al-Siyasah al-Syar’iyyah bagaimana  jenis keterangan seperti ini  perlu diterima oleh mahkamah  termasuk dalam kes-kes hudud.

Beliau menjelaskan bahawa maksud keterangan atau bayyinah ialah apa sahaja yang boleh menjelaskan kebenaran. Ini termasuklah dalam bentuk saksi samada bilangannya dua atau empat. Al-Qur’an sendiri katanya tidak pernah menggunakan istilah bayyinah bagi maksud pengertian saksi.

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berhujjah dengan hadis Rasulullah yang bermaksud supaya pihak pendakwa mengemukakan hujjah untuk membuktikan kebenaran dakwannya. Beliau tidak menolak penerimaan terhadap keterangan-keterangan dari jenis yang selain saksi. Malah berkemungkinan keterangan-keterangan jenis lain terutama keterangan-keterangan  yang bersifat bukti kejadian qarinat al-hal yang lebih meyakinkan daripada keterangan saksi.

Para fuqaha berbeza pendapat mengenai masalah penerimaan bukti atau qarinah terutama dalam kes-kes hudud. Persoalannya ialah sejauhmanakah penerimaannya dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.

Perbezaan pandangan antara ulama lebih ketara dalam kes perzinaan. Jumhur fuqaha terdiri daripada fuqaha Mazhab Hanafi, Syafie dan Hambali menolak keterangan secara qarinah secara total.mazhab Maliki pula berpendapat pada asanya qarinah boleh diterima  kecuali terbukti ianya tidak boleh diterima.

Dalam kes wanita hamil tanpa suami, terdapat perbincangan yang menarik dalam kitab-kitab fiqah. Fuqaha Mazhab Maliki berpendapat sekiranya wanita tersebut merupakan wanita tempatan dan tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa dia dipaksa untuk melakukan hubungan seks tersebut maka dia boleh dihukum berdasarkan bukti kehamilan. Mereka bersandarkan kepada kata-kata Khalifah Umar iaitu hukuman rejam wajib dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang berzina samada lelaki atau perempuan kalau sekiranya dia muhsan apabila ada keterangan saksi yakni al-bayyinah atau dia mengandung atau ada pengakuan. (Ibn al-Athir, 1318H).

Imam Malik menyebut dalam kitab Muwatta’

“Saya mendapat maklum bahawa Khalifah Uthman bin Affan telah dibawa kepadanya seorang perempuan yang melahirkan anak selepas baru mengandung enam bulan. Beliau memerintahkan supaya perempuan itu direjam.”

Perbezaan pandangan boleh diselesaikan dengan baik dengan penemuan terbaharu dalam bidang sains dan teknologi termasuk dalam bidang forensik. Apa yang penting dalam proses penyiasatan ialah menentukan tanpa keraguan yang munasabahsamada wanita hamil hasil perzinaan atau sebaliknya.

Bagaimana pula sekiranya barangan curi berada dalam simpanan tertuduh yang mendakwa bahawa barangan tersebutadalah miliknya.

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menulis dalam bukunya al-Turuq al-Hukmiyyah

“Para imam dan Khalifah al-Rasyidin sentiasa menjatuhkan hukuman potong tangan apabila barang curi berkenaan didapati berada dalam simpanan tertuduh. Bukti al-qarinah ini sebenarnya lebih kuat daripada saksi dan pengakuan. Kerana keterangan saksi dan pengakuan merupakan keterangan yang mungkin betul dan mungkin tidak. Sedangkan keberadaan harta berkenaan bersama tertuduh merupakan kenyataan yang jelas dan tidak boleh diragui lagi.”

Bagaimana pula kes apabila terdapat bau arak di mulut tertuduh atau dia memuntahkan arak? Ada fuqaha berpendapat bahawa hukuman hudud tidak boleh dikenakan ke atas orang berkenaan kerana terdapat keraguan samada ianya benar-benar bau arak atau tidak. Mungkin juga tidak dapat dipastikan samada dia mengambil arak atas pilihannya sendiri ataupun dipaksa oleh orang lain. Demikianlah pandangan jumhur ulama seperti Mazhab Hanafi, Syafie dan al-Thauri. Sementara satu golongan lagi berpandangan bahawa qarinah atau bukti seperti itu boleh diterima sebagai asas hukuman hudud ke atas tertuduh. Pandangan ini dipegang oleh fuqaha Mazhab Maliki dan sebahagian fuqaha Mazhab Hanbali.

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah mengatakan pendapat golongan yang menerima qarinah sebagai asas hukuman merupakan amalan yang diwarisi sejak zaman Khulafa al-Rasyidin lagi. Berdasarkan kepada ijtihad yang berasaskan kepada dalil-dalil umum nas al-Qur’an dan al-Hadis serta analisis terhadap keadaan hidup dan realiti penghakiman pada masa tersebut. Tradisi ijtihad dalam bidang ini perlu diteruskan bagi menegakkan keadilan kepada sesama manusia. 

Perbezaan pandangan fuqaha di atas terjadi lantaran tidak ada dalil-dalil khusus daripada al-Qur’ an dan al-Sunnah mengenai persoalan tersebut.pandangan-pandangan tersebut

2.4  Kenyataan  pakar (al-Khibrah)




Bagi menghilangkan keraguan, para hakim ada ketikanya memerlukan kepada khidmat serta pandangan pakar dalam membuat pertimbangan hukuman. Dalil merujuk kepada pandangan apakar ini terdapat dalam pengertian umum ayat

(Surah al-Nahl ayat 43)

Antara pandangan para fuqaha yang menunjukkan bahawa pandangan pakar boleh diterima sebagai keterangan dalam mahkamah untuk menentukan sesuatu hukuman adalah seperti berikut

Al-Sarakhsi menyebut

“Apabila pemerintah merasa ragu tentang harga barang yang dicuri itu dan para pakar juga berbeza pendapat tentangnya, di mana sebahagian daripada mereka menyebut ianya bernilai sepuluh dirham, sementara sebahagian yang lain mengatakan kurang dari itu, pencuri itu tidak boleh dihukum potong tangan. Kerana syarat cukup nisab perlu diambil kira secara hakiki, di mana ia dikira tidak tercapai kalau sekiranya para penilai  berbeza pendapat tentangnya.”

Ibnu Qudamah berkata

“Apabila ada perbezaan pendapat samada luka yang dialami itu parah atau tidak atau ada perbezaan pendapat tentang penyakit yang dihadapi seseorang, sekurang-kurangnya dua orang doktor perlu memberi pandangan masing-masing. Bagaimanapun, kalau hanya ada seorang doktor sahaja, seorang pun cukup.”

Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah pula berkata

“Para guru saya menjelaskan dalam keadaan yang memerlukan, kesaksian seorang lelaki tanpa sumpah pun boleh diterima. Pandangan ini dinukilkan oleh al-Kharqi dalam Mukhtasarnya. Kata  beliau keterangan seorang doktor yang adil boleh diterima dalam menentukan kadar luka sekiranya pandangan seorang doktor lagi tidak dapat diperolehi.”

2.5  Pengetahuan Hakim (Maklumat al-Qadhi)




Apa yang dimaksudkan dengan pengetahuan hakim ialah maklumat yang diperolehi oleh hakim di luar mahkamah sebagai orang biasa dan bukannya maklumat yang yang diperolehi oleh hakim melalui proses perbicaraan kes berkenaan. Sebagai contohnya, hakim melihat sendiri kejadian kes berkenaan atau mendengar mengenainya daripada orang ramai.



Mengenai pengetahuan atau maklumat hakim ini boleh diterimapakai sebagai asas dalam menentukan hukuman, para fuqaha berselisih pendapat.



Menurut Mazhab Syafie, maklumat yang diperolehi oleh hakim secara biasa di luar mahkamah tidak boleh digunakan sebagai asas dalam penentuan hukum. Namun sekiranya maklumat tersebut diperolehinya daripada dua orang saksi yang dikenali sebagai orang yang adil maka ianya boleh dijadikan asas pertimbangan dalam menjatuhkan hukuman.



Mazhab Hanafi berpendapat maklumat tersebut maklumat tersebut tidak boleh diterima dalam kes-kes hudud namun dibolehkan dalam kes-kes yang berkaitan dengan hak individu. Jenayah hudud menyentuh hak Allah yakni hak masyarakat umum sedangkan hakim mewakili kepentingan mereka.



Mazhab Zahiri berpendapat bahawa hakim perlu menggunakan maklumat peribadinya itu dalam semua kes termasuk kes-kes hudud. Ibnu Hazm berkata asas yang paling kukuh ialah pengetahuannya sendiri, kemudian pengakuan dan kemudian baru keterangan saksi.



2.6  Dokumen (al-Kitabah)




Maksud Kitabah ialah dokumen yang boleh menjadi dalil atau petunjuk kepada berlakunya jenayah berkenaan. Antara contohnya ialah tertuduh menulis mengaku melakukan jenayah berkenaan.



Ada pandangan yang menerima dokumen sebagai salah satu bentuk keterangan yang boleh mensabitkan kesalahan dalam kes-kes sivil namun dalam kes-kes jenayah, hanya pengakuan dalam bentuk tulisan sahaja yang boleh diterima. Itupun diterima sebagai pengakuan yakni al-Iqrar sahaja.



2.7  Sumpah (al-Yamin)




Ada tiga jenis sumpah mengikut fuqaha yang mungkin berlaku di mahkamah.

1.     Sumpah pendakwa

2.     Sumpah orang yang terdakwa

3.     Sumpah saksi

Sumpah pihak pendakwa boleh berlaku dalam dua bentuk. Pertamanya, dalam bentuk qasamah. Ia bermaksud sumpah bagi tujuan untuk mensabitkan kesalahan ke atas yang terdakwa berasaskan bukti awal yang ada.



Sumpah qasamah ini secara popularnya berlaku dalam kes pembunuhan. Terdapat perselisihan ulama samada ia merupakan cara untuk mensabitkan kes atau menolak sabitan kes.



Dalam jenayah hudud, ia hanya boleh berbangkit dalam kes mencuri. Ia diterima dengan syarat ada bukti awal iaitu keberadaan barang yang dicuri bersama tertuduh.



Adalah menjadi kaedah umum dalam Syariah Islamiah pihak pendakwa perlu membawa saksi untuk membuktikan dakwaannya.sekiranya tiada saksi maka dakwaan itu tidak boleh disabitkan. Dalam kes mencuri, pendakwa akan diberi peluang untuk bersumpah dengan syarat terdapat bukti bahawa barang yang dicuri itu ada bersama yang tertuduh.



Bentuk yang kedua ialah sumpah yang ditolak. Sumpah seperti ini juga boleh berlaku dalam kes mencuri dan juga kes qazaf.kalau seseorang mendakwa seseorang yang lain dengan satu kesalahan tetapi tidak ada saksi untuk mensabitkan kesalahan itu dan tertuduh tidak mengaku salah maka tidak ada kesalahan yang boleh disabitkan. Namun dalam kes tuduhan mencuri, hakim atas permintaan pendakwa boleh meminta tertuduh bersumpah bagi membersihkan dirinya daripada pertuduhan.



Pandangan Mazhab Syafie dalam kes qazaf, sekiranya pihak yang melakukan qazaf itu tidak mempunyai saksi untuk menyokong pertuduhannya, dia boleh meminta tetruduh qazaf bersumpah membersihkan dirinya. Sekiranya tertuduh qazaf enggan bersumpah maka qazaf dikira benar dan pihak yang menuduh qazaf terlepas daripada hukuman. Sumpah seperti ini hanya boleh berlaku dalam kes qazaf sahaja dan tidak dalam kes-kes hudud yang lain. Ini disebabkan kes qazaf merupakan pencerobohan terhadap kepentingan individu tidak seperti jenayah hudud yang lain di mana pihak yang diceroboh ialah melibatkan kepentingan awam.



Pandangan fuqaha mazhab lain pula mengatakan bahawa sumpah seperti ini tidak boleh diterima dalam apa sahaja kes hudud termasuk qazaf. Dalam kalangan mereka yang mengatakan boleh pula, tetapi melibatkan hokum takzir dan bukannya hukuman hudud.



Sumpah pihak yang kena dakwa tidak boleh berlaku dalam kes hudud. Tujuan hakim meminta tertuduh bersumpah untuk bertindak balik sekiranya dia enggan atas dasar berlaku keengganan yang boleh mengembalikan peluang bersumpah kepada pihak yang mendakwa. Oleh kerana dalam kes hudud sumpah yang dikembalikan itu tidak boleh diterimapakai maka sumpah yang terdakwa tidak berbangkit.



Walaubagaimanapun dalam kes mencuri, sumpah seperti ini boleh diterimapakai bagi tujuan mensabitkan hukuman ganti rugi harta yang dicuri sahaja dan bukan hukuman hudud potong tangan iaitu sama dengan sumpah qasamah.

3.     ANALISIS DNA SEBAGAI BUKTI DAKWAAN DAN TUNTUTAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM




Salah satu daripada kandungan  dalam pembuktian melalui qarinah adalah penggunaan pakar dalam menentukan nasab. Pada masa kini, fakta yang relevan dalam menentukan nasab ialah melibatkan pengenalpastian melalui pengecaman DNA. Penggunaan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) telah digunakan secara meluas dalam Mahkamah Sivil dan telah banyak pensabitan atau pengguguran kes disokong oleh pakar DNA. Sebagai contohnya kes pembunuhan Noritta Samsudin pada tahun 2003 menunjukkan bahawa di antara sebab tertuduh dibebaskan adalah kerana terdapat DNA orang yang tidak dikenali pada jasad mangsa. (Utusan Malaysia 20 Mei 2004).  Maka ujian DNA dapat menentukan keputusan mahkamah.



Penemuan DNA di makmal saintifik pada zaman moden telah banyak mempengaruhi siasatan masakini. Namun pada zaman sebelumnya bangsa Arab telah mempunyai kaedah tersendiri dalam menentukan nasab. Buktinya wujud Qa’if iaitu orang yang mahir mengenai susur keturunan dengan melihat kepada urat tapak kaki. Bagi kes yang menggunakan khidmat Qa’if maka pensabitan itu dibuat melalui jalan yang dipanggil qiyafah. Dalam bidang sains, qiyafah dirujuk dengan perkataan Anthroposcopy atau physiognomy. (Muhammad Rafaat Othman, 1992).  Ia merujuk kepada kemahiran  mengenalpasti susur galur keturunan seseorang apabila berlakunya percampuran keturunan tersebut.

Qiyafah vs DNA




Perbincangan mengenai Qiyafah dan DNA merupakan campuran antara perbahasan tentang keterangan pakar dan keterangan dokumen. Qiyafah ialah pembuktian mensabitkan nasab berasaskan persamaan antara seorang dengan seorang yang lain. (Dr Karim Zaidan, 1993).



Jumhur ulama sepakat mengharuskan amalan Qiyafah. Imam Abu Hanifah menolaknya dengan hujah ia berasaskan tekaan semata-mata. Shofian Ahmad (2006) menjelaskan perbezaan pendapat ini dan membuat kesimpulan bahawa pendapat jumhur adalah pendapat terpilih  kerana ada asas nas al-Qur’an dan al-Sunnah yang kukuh.



Imam Malik berpendapat bilangan pakar Qiyafah yang diperlukan dalam sabitan nasab adalah dua orang. Jika hanya ada seorang, masih boleh diterima namun jika pendapatnya bercanggah dengan pakar Qiyafah yang lain maka keterangannya akan digugurkan. (Dr Karim Zaidan, 1993).



Penggunaan ujian DNA dapat menentukan hubungan biologi antara anak, ibu dan bapa tanpa nikah. (Siti Zalikhah Md Nor, 2008). DNA juga merupakan kaedah pembuktian yang paling kontemporari dan mudah disamping mempunyai ketepatan yang tinggi iaitu sebanyak 99.99%. (Zulfakar Ramlee, 2003). Kaedah ini hamper sama dengan Qiyafah atau physiognomy  (Muhammad Rawas Qalahjiy, 1998) yang telah diperkenalkan sejak zaman Nabi s.a.w. dan dipraktikkan oleh para sahabat. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, 1991).



Struktur awal DNA telah dicadangkan oleh Watson dan Crick dalam “Molecular Structure Of Nukleic Acid” manakala Erwin Chargraft dari Universiti Columbia telah mencadangkan dalam tahun 1950 bahawa semua sampel DNA mengandungi 4 nekletida yang sama. Dr Alex Jeyreys merupakan pakar yang membawa hasil kerjanya terhadap DNA dan memberi keterangan mengenai ujian DNA di mahkamah pada tahun 1986.



Semenjak itu, keterangan DNA adalah keterangan pakar (pakar forensic) yang penting dan digunakan di mahkamah bagi membuktikan identiti pesalah jenayah. (Akhzailina Md Akhir, 2000).  Di Malaysia, penggunaan DNA telah meluas digunakan di Mahkamah Sivil manakala Hakim Mahkamah Syariah telah mula menggunapakai DNA sebagai bayyinah atau pembuktian kes bagi sabitan pengesahan status nasab bagi kes Harta Pusaka, Hak Penjagaan Anak (Hadhanah) dan Jenayah Syariah dalam kes persetubuhan haram.



Sheikh Nizar al-Shu’aybi sewaktu Persidangan ke 16 bagi Forum Islamic World League telah menjelaskan keadaan-keadaan yang membolehkan DNA diterima sebagai satu kaedah pembuktian  bagi kesalahan ta’zir sahaja seperti untuk menyelesaikan pertikaian keturunan akibat kesilapan berkahwin dengan darah daging sendiri,untuk mengenalpasti bayi yang baru lahir di hospital  dan mencari keluarga yang hilang akibat bencana dan peperangan.  



Penggunaan kaedah saintifik untuk mencari bukti telah digunakan semenjak zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Rasulullah pernah menghidu bau mulut seseorang untuk mengetahui samada seseorang berada di bawah pengaruh arak atau tidak.



Sayyidina Ali pernah menggunakan air panas untuk menyiasat kesan melekit pada kain seorang perempuan untuk mengetahui samada ianya kesan air mani atau sebaliknya. Kedua-dua contoh ini menunjukkan mengenai peranan sains dalam mengenalpasti sesuatu. Pencapaian dalam bidang sains dan teknologi seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan telah meletakkan sesuatu keterangan pada tahap yakin atau tanpa keraguan yang munasabah seperti penemuan cap jari, ujian DNA, ujian darah, forensic voiceprints, imageprints, faceprints dan sebagainya. Fenomena ini telah memperkayakan kaedah pembuktian dalam Undang-undang Keterangan Islam. Ianya mengukuhkan kekuatan bukti seiring dengan kecanggihan jenayah.



Penerimaan sebarang bentuk keterangan baru perlu menepati prinsip yang telah digariskan serta bertepatan dengan maqasid syariah. Penerimaan bahan-bahan saintifik dan teknologi moden tidak boleh terus diterima. Walaupun secara zahir nampak seperti lebih jelas keterangannya, ia tidak seharusnya menggantikan semua bentuk keterangan yang telah ditetapkan dalam Islam contohnya pembuktian dalam kes hudud dan qisas. Ini adalah disebabkan falsafah pembuktian Undang-undang Islam bertujuan untuk mendidik dan bukan menghukumseperti Undang-undang Barat.

4.     SYARAT-SYARAT KESAKSIAN DALAM ISLAM




Dalam soal syarat-syarat saksi, penulis akan menyentuh dua aspek penting  iaitu

      i.         Peruntukan berkaitan saksi dalam Undang-undang  Mahkamah Syariah di Malaysia dengan merujuk kepada Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah  Melaka 2012

     ii.         Kesaksian menurut Mazhab Syafie berdasrakan kepada kitab utama mazhab

4.1 Menurut Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Melaka 2002




Menurut Undang-undang, syarat-syarat saksi dijelaskan dalam Seksyen 83(1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah  Melaka 2002 seperti berikut:

“Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, semua orang Islam adalah kompeten untuk memberikan syahadah  atau bayyinah sebagai saksi dengan syarat  bahawa mereka adalah aqil, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka.”



Namun, subseksyen 83(2) sehingga (7) menyebutkan bahawa orang yang tidak memenuhi syarat-syarat untuk memberikan syahadah masih boleh memberikan keterangan sebagai saksi atas dasar bayyinah dan bukan syahadah.



Peruntukan-peruntukan mengenai perkara tersebut adalah seperti berikut:

83(2) Seorang yang bukan Islam adalah berwibawa  untuk memberikan bayyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

Huraian: Bayyinah seorang pakar bukan Islam terhadap seseorang Islam boleh diterima, jika dikehendakki.



83(3) Seseorang yang tidak adil ialah berwibawa untuk memberikan bayyinah tetapi tidak berwibawa memberikan syahadah.



83(4) Seseorang yang belum baligh atau seseorang yang tak sempurna akal adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah tetapi tidak berwibawa memberikan syahadah.

Huraian: Bayyinah seorang yang belum dewasa dalam kes kecederaan yang dilakukan oleh beberapa orang yang belum dewasa ke atas yang lain boleh diterima dengan syarat bahawa mereka tiada perselisihan faham dan mereka berada di tempat kejadian itu.



83(5) Seseorang yang mempunyai ingatan yang lemah atau yang pelupa atau mengidap hilang ingatan adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah tetapi tidak berwibawa memberikan syahadah.



83(6) Seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan baiknya dengan dan mempunyai kepentingan dengan pihak menentang adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah tetapi tidak berwibawa memberikan syahadah.
83(7) Seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan buruknya dengan pihak menentang adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah tetapi tidak berwibawa untuk memberikan syahadah.

4.2 Kelayakan saksi menurut Mazhab Syafie


Secara umumnya, syarat-syarat saksi menurut Imam Nawawi ialah beragama Islam, merdeka, mukallaf, adil menjaga maruah dan tidak ada tohmahan. (al-Ramli, 1938). Syarat beragama Islam, dewasa dan berakal dikatakan sebagai telah diterima secara ijma’ oleh ulama.
Perbincangan syarat-syarat saksi adalah seperti berikut:

a.     Muslim dan baligh.


Syafie menjelaskan bahawa kanak-kanak, hamba dan orang kafir tidak diterima kesaksian mereka. Namun jika semasa menyampaikan kesaksian saksi berkenaan telah baligh, telah merdeka dan telah memeluk Islam, maka ia diterima. Kesaksian orang kafir ke atas Muslim tidak diterima dan begitu juga kesaksian orang kafir ke atas orang kafir yang lain. Pendapat ini tidak sealiran dengan  pandangan Imam Abu Hanifah yang menerima kesaksian kafir ke atas kafir dan Imam Ahmad yang menerima dalam kes wasiat. (al-Sharbini, 1997).

b.     Adil


Adil bermaksud meninggalkan dosa besar dan tidak berterusan atas dosa kecil. (Al-Ramli, 1938). Terdapat dalam kalangan ulama Syafie yang menerima kesaksian orang  fasiq berdasarkan dharurat (al-amthal fa al-amthal) kerana tidak ada yang adil namun pendapat ini ditolak oleh ulama lain seperti Ibn Abd Salam kerana bercanggah dengan maslahat. (al-Ramli, 1938).

c.     Menjaga maruah


Orang yang tidak bermaruah biasanya tidak malu dan akan melakukan apa sahaja tanpa segan silu seperti yang dinyatakan Rasulullah s.a.w. (Hadis riwayat Bukhari, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad). Imam Nawai mentafsirkan bermaruah sebagai berakhlak dengan akhlak yang boleh diterima berdasarkan zaman dan tempat  serta urf  termasuklah makan di pasar, berjalan dengan kepala tidak bertutup, mencium isteri di hadapan khalayak ramai, banyak bercerita, banyak ketawa, menyanyi dan banyak bermain.

d.     Tiada tohmahan


Syarat ini menekankan bahawa sesiapa .perkara ini boleh timbul akibat hubungan baik atau permusuhan.sahaja yang mempunyai tohmahan akan menyebabkan kesaksiannya ditolak. Ini disebabkan ia boleh menimbulkan keraguan dan menjejaskan kebenaran saksi. (al-Ramli, 1938).  Tohmah bermaksud ada kepentingan yang boleh dicapai atau ada kemudharatan yang boleh ditolak dengan kesaksian tersebut.

e.     Boleh melihat


Al-Syafie menerima saksi buta jika semasa sabit kesaksian ia masih nampak. (al-Syafie, t.t.). Kes-kes yang boleh dilihat perlu dibuktikan dengan penglihatan. Saksi bisu boleh diterima bagi sesetengah kes kerana kesaksian boleh disempurnakan dengan penglihatan walaupun saksinya tidak boleh bercakap. Bagi kes-kes yang faktanya adalah lafaz seperti akad nikah maka diperlukan saksi yang boleh melihat dan mendengar. Tidak memadai dengan mendengar sahaja kerana tidak dapat disabitkan secara berat sangka (ghalabah al-zan) tentang siapa yang melafazkan. Ini ialah kerana suara sahaja masih mengandungi syubhat. (al-Ramli, 1938). 
Sebagai umat Islam sayugia diingatkan bahawa penerimaan sebarang bentuk keterangan baru perlu menepati prinsip yang telah digariskan serta bertepatan dengan maqasid syariah. Penerimaan bahan-bahan saintifik dan teknologi moden tidak boleh terus diterima. Walaupun secara zahir nampak seperti lebih jelas keterangannya, ia tidak seharusnya menggantikan semua bentuk keterangan yang telah ditetapkan dalam Islam contohnya pembuktian dalam kes hudud dan qisas. Ini adalah disebabkan falsafah pembuktian Undang-undang Islam bertujuan untuk mendidik dan bukan menghukum seperti Undang-undang Barat. 
Persoalan samada mahkamah terikat atau tidak dengan kaedah tertentu dalam menerima atau menolak sesuatu kes masih boleh diperbincangkan kerana ianya merupakan khilafiah dalam kalangan para ulama semenjak zaman klasik lagi.
Apa yang penting ialah Islam mempunyai kaedah yang ketat dalam menerima keterangan yang boleh mensabitkan  apa sahaja kes. Islam mahu supaya keadilan dapat ditegakkan secara maksimum di mahkamah dan sekiranya melibatkan kes-kes hudud ianya merupakan perkara besar melibatkan hukum yang perlu diselesaikan dengan cara yang terbaik.
Sesungguhnya Islam telah meletakkan syarat-syarat yang ketat dalam menerima keterangan-keterangan samada ianya berbentuk saksi, pengakuan atau bukti keadaan qarinah walaupun dalam keadaan biasa kaedah-kaedah ini merupakan kaedah-kaedah yang kukuh. Kaedah Islam juga tidak menutup ruang bagi perkembangan kaedah pembuktian dengan menerima kaedah-kaedah seperti  pengetahuan hakim, penerimaan dokumen, pandangan pakar dan sumpah sebagai bahan bukti  yang boleh diterima dalam mahkamah. 
Para fuqaha berbeza pandangan dalam hal ini namun sebagai umat Islam kita hendaklah menjadikan perselisihan pandangan ulama ini sebagai asas dalam mencari jalan penyelesaian kepada perkembangan fiqah selaras dengan kemajuan dan perkembangan teknologi semasa. Apa yang penting ialah keadilan dapat ditegakkan dan mengelakkan mana-mana pihak daripada teraniaya serta tertindas.    
Hukuman hudud yang dilihat berat sebenarnya apabila diteliti melalui beban pembuktian maka ternyata ia dikawal oleh kaedah pembuktian yang ketat bagi menjamin keadilan kepada semua pihak.







No comments:

Post a Comment