Tuesday, August 9, 2016

EMPAYAR BRITISH

Empayar British merupakan antara empayar  terbesar dalam sejarah dunia. Kesan  penjajahan British banyak mempengaruhi apa yang kita lihat pada hari ini. Wilayah penguasaan empayar tersebut meliputi hampir satu perempat dunia serta mengawal lebih daripada 400 juta manusia melebihi satu perempat daripada penduduk dunia keseluruhannya.

Selepas berakhirnya Perang Dunia ke 2, wilayah-wilayah utama milik British telah mencapai kemerdekaan. Ramai yang beranggapan bahawa penjajahan British hanya berakhir apabila Hong Kong dikembalikan kepada Republik Rakyat China pada tahun 1997.

Dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti perdagangan, wang serta pengembaraan, penjajah British bermula dengan kumpulan Elizabethans melakukan penjajahan Amerika Utara. Pemerdagangan hamba menjadi asas kepada Empayar British di negara-negara Hindia Barat membuktikan bahawa kemakmuran yang dibawa ke Britain adalah atas kesengsaraan manusia lain. Namun, penjajahan di Amerika Utara berakhir apabila penduduk di sana enggan membayar cukai dan akhirnya mendapatkan kembali kemerdekaan mereka. Kehilangan 13 koloni pada tahun 1783 telah menjatuhkan keegoan empayar mereka.


Empayar British kemudiannya telah mengalihkan fokus mereka daripada wilayah-wilayah sekitar Amerika Utara kepada wilayah-wilayah di Pasifik, Asia dan Afrika. Kemenangan British mengalahkan penguasaan Napoleon Bonaparte dari Perancis pada tahun 1815 memberi peluang kepada Britain untuk menguasai wilayah-wilayah yang lebih besar di India dan Afrika lantaran tidak wujud lagi saingan kuasa besar pada ketika itu. Ini memberi peluang kepada Britain menjadi polis dunia serta memperkenalkan Pax Britannica kepada seluruh dunia.



No comments:

Post a Comment