Thursday, October 27, 2016

PLURALISME DAN PERSAMAAN AGAMA


Golongan pluralisme agama membawa ideologi yang menjurus kepada persamaan antara agama. Maka dengan sebab itu, toleransi antara agama perlu dilakukan kerana mereka beranggapan bahawa semua kepercayaan yang menyuruh membuat kebaikan adalah merupakan agama dan semua agama menuju ke arah satu jalan yang sama iaitu menuju kepada Allah dan keselamatan hidup di akhirat walaupun dengan jalan serta pendekatan yang kelihatan berbeza antara satu sama lain.

Golongan yang berfahaman bahawa semua agama pada dasarnya adalah sama mendakwa kononnya mereka merujuk kepada ayat 62 Surah al-Baqarah dan ayat 69 Surah al-Ma’idah. Bagi mencapai maksud tafsiran yang sebenar-benarnya, kita mesti merujuk kepada kitab-kitab tafsir yang muktabar seperti al-Tabari, Hamka, al-Razi, Wahbah al-Zuhaili, al-Qurtubi dan Muhammad Quraish.

Benarkah semua agama adalah sama? Golongan yang mengatakan bahawa semua agama sama sahaja sebenarnya mendokong fahaman liberalisme. Fahaman ini juga disebut sinkretisme  bermaksud satu aliran yang mendamaikan  antara ideology atau dogma yang berbeza. Pendokong fahaman liberal ini berhujjah bahawa maksud perkataan “Islam” ialah berserah diri dan taat kepada Allah. Lantaran itu, semua ajaran yang menyeru kepada perkara yang sama dikatakan sebagai menyamai dengan Islam justeru boleh dipanggil sebagai orang Islam atau Muslim.

Mereka juga mendakwa bahawa perkataan “Iman” bermaksud kepercayaan kepada Tuhan juga digunapakai kepada sesiapa sahaja yang beriman atau percaya kepada kewujudan Tuhan tanpa mengira agama apa sekalipun. Dengan pendapat ini, tidak boleh sesiapa pun mendakwa bahawa agamanya yang paling benar kerana kebenaran agama itu sendiri bersifat relatif.

Al-Attas menjelaskan:
Hanya ada satu agama wahyu yang asli dan nama yang diberikan Allah adalah Islam  dan orang-orang yang mengikuti agama ini dipuji oleh Allah sebagai yang terbaik di antara manusia. Islam bukan semata-mata sebuah  katakerja (submission), ia juga sebuah agama yang menjelskan  cara kepasrahan yang benar sekaligus menjelaskan  defiisi agama secara umum  iaitu kepasrahan terhadap Tuhan. (Nur Farhana Abdul Rahman dan Idris Zakaria, 2010).


Semua agama yang diturunkan Allah adalah Islam bermula dari zaman Nabi Adam dan Nabi Muhammad saw merupakan rasul terakhir yang menyempurnakan ajaran-ajaran sebelumnya. Pandangan Nurcholish Madjid yang menyamatarafkan ajaran Yahudi dan Nasrani dengan ajaran Islam kononnya semua ajaran berasal daripada Nabi Ibrahim sebagai asas kepada ajaran monoteisme merupakan metod pentafsiran yang secara salah dan bukan maksud Surah al-Baqarah ayat 62 dan Surah al-Ma’idah ayat 69.     

Friday, October 21, 2016

HERMENEUTIKA BUKAN TAFSIR AL-QUR'AN

Al-Qur’an sebagai kitab rujukan dan sumber utama pengajaran Islam bukan sahaja menarik minat pemikir Islam tetapi juga bukan Islam untuk mengkaji isi kandungannya. Selama berkurun lamanya, umat Islam berpegang kepada tafsiran yang ma’thur iaitu tafsiran ayat al-Qur’an dengan ayat al-Qur’an, tafsir ayat dengan hadith, tafsir ayat denga pandangan sahabat dan tafsir ayat al-Qur’an dengan pendapat golongan tabi’in. Maksud tafsir bil ma’thur ialah tafsir ayat al-Qur’an dengan sandaran yang kukuh seperti sandaran kepada Nabi Muhammad saw, para sahabat dan tabi’in sahaja. Tafsir bil ra’yi yakni pandangan akal dalam mentafsirkan ayat al-Qur’an diikat dengan peraturan yang ketat mengambilkira keilmuan serta kefahaman para mufassir yang dikawal rapi dengan adab yang wajib diamalkan oleh mereka. Golongan pentafsir terdiri daripada golongan salaf mahupun khalaf tidak pernah mentafsirkan ayat al-Qur’an menggunakan logik akal semata-mata lebih-lebih lagi mentafsirkan ayat al-Qur’an mengikut hawa nafsu mereka.

Akhir-akhir ini, ada golongan yang mahukan supaya al-Qur’an ditafsirkan dengan metod baru kononnya tafsiran terdahulu sudah tidak sesuai dengan perkembangan semasa. Golongan ini tidak berpuashati dengan tafsiran yang sedia ada dan mahukan perubahan. Sebenarnya ketidakfahama mereka ini disebabkan terpengaruh dengan pemikiran liberalisme Barat yang ternyata menyesatkan.
Metod yang dinamakan metod hermeneutika ini tidak pernah dijumpai dalam mana-mana metod tafsir ulama Islam terkemuka bahkan ianya digunakan dalam menghuraikan kitab Bible oleh pendeta Kristian. Sudah pasti ianya diambil dari budaya penulis Barat yang cenderung menafikan unsur wahyu dalam penulisan mereka. Kemudahan internet dan kegilaan manusia kepada mempercayai tulisan di alam maya memungkinkan metod hermeneutika ini diterima oleh pembaca yang tidak mempunyai asas ilmu yang kukuh.  Lebih membimbangkan beberapa penulis Indonesia menulis mengenai kepentingan hermeneutika dalam tafsir ayat al-Qur’an.

Dari aspek etimologi, perkataan “hermeneutika” berasal daripada perkataan Greek atau Yunani hermeneuin yang bermaksud tafsir, penjelasan serta penterjemahan (Fahmi Salim, 2010). Dari segi istilahnya pula, hermeneutika dikaitkan dengan pentafsiran kata-kata dan teks dan dapat diterjemahkan kepada bahasa dan keadaan semasa pembaca (Nashruddin Baidan, 2005).  
Hermeneutika sebagai modul analisis data, ia berkaitan dengan pengertian data teks  terutama berkaitan dengan pemaknaan suatu ungkapan teks.

Jelasnya istilah Hermeneutika tidak berkaitan sama sekali dengan tafsir al-Qur’an. Istilah hermeneutika ini merujuk kepada pentafsiran teks moden yang berbeza daripada metod pentafsiran yang menjadi amalan para ulama silam Islam. Bahkan Hermeneutika telah menjadi metod pentafsiran Bible kerana beberapa sebab antaranya  pakar Bible sendiri tidak yakin dengan kesahihan teks terebut, tidak wujud sebarang laporan mengenai teks Bible yang boleh diterima umum ditambah lagi dengan tiada kelompok manusia yang menghafal teks Bible yang telah hilang (Adian dan Abdurrahman, 2007).

Metod hermeneutika hanya sesuai dengan pentafsiran teks Bible sebagaimana tertera dalam Ensiklopedia Britannica 1985 sebagai “kajian tentang kaedah-kaedah umum untuk mentafsir Bible dan tujuan utama hermeneutika  dan metod-metod takwil  Yahudi dan Nasrani sepanjang sejarahnya adalah unuk menyingkap kebenaran  dan nilai Bible (Fahmi Salim, 2010).   




   

MASYARAKAT DAN KETELUSAN MAKLUMAT


Rakyat ternanti-nanti pembentangan bajet 2017. Pelbagai spekulasi telah kita dengar daripada bantuan yang semakin meningkat serta imbuhan atau nikmat yang bakal diperolehi oleh kakitangan awam.

Antara yang paling dinantikan oleh rakyat ialah kenaikan gaji ataupun peruntukan baru juga pelepasan cukai-cukai tertentu. Debaran juga menanti samada GST akan dinaikkan atau diturunkan atau pengenalan cukai-cukai baru pastinya bagi manfaat rakyat dan negara.

Untuk perancangan terbaik, negara memerlukan data-data yang lengkap dan menyeluruh. Tanpa data yang lengkap dan betul, sukar untuk merancang dengan baik.

Saya tidak suka menuduh tanpa bukti yang jelas. Persoalan yang perlu difikirkan ialah berapa jumlah semua syarikat yang ada dalam pendaftaran syarikat dan berapa pula syarikat yang mendaftar dengan GST? Yang membayar belum tentu..


Mungkin data syarikat dalam negara kita tidak lengkap sebelum ini, maka usaha kerajaan untuk menyenaraikan nama semua syarikat merupakan langkah yang sangat bijak bagi mengawal serta merancang ekonomi negara. Samada bersetuju atau tidak dengan GST persoalan yang perlu dibincangkan dalam sesi yang lain. Apa yang perlu diselesaikan ialah pendaftaran GST bagi semua syarikat mesti dibereskan.

Syarikat Datuk Vida patut dipuji kerana beliau berani menghadapi pendakwaan daripada agensi kerajaan samada dalam bentuk tidak mendaftar atau tidak membayar cukai yang patut diselesaikan, syarikat beliau berani berhadapan dan bukannya lari daripada masalah.

Bagaimana pula dengan syarikat-syarikat bukan Melayu yang berani menaikkan harga berganda-ganda dan dalam masa yang sama melarikan diri daripada membayar cukai dan terlepas begitu sahaja. Pasti ada lantaran itu disebut oleh pihak kerajaan.

Fenomena memalsukan maklumat bermula daripada peringkat sekolah lagi. Umum mengetahui bahawa ada pelajar yang memalsukan alamat rumah ibubapa dan penjaga, meletakkan nombor telefon palsu, tamat tempoh dan sebagainya sehingga menyukarkn usaha menjejaki pelajar yang ponteng sekolah, tidak hadir dalam dewan peperiksaan namun yang ajaibnya segala bentuk bantuan daripada pihak kerajaan sepeti BR1M, bantuan awal persekolahan tidak pernah gagal sampai ke tangan mereka. Apakah ada usaha memastikan bantuan sampai tetapi kesalahan mereka tidak dinyatakan dengan telus..

Fenomena menyorokkan maklumat bukan sahaja pada peringkat GST tetapi bermula seawal persekolahan….sekadar melontarkan persoalan..tuduhan di mahkamah… 

 





Sunday, October 2, 2016

ULAMA MALAYSIA SEMAKIN MENINGGALKAN KITA

Semakin hari kita berhadapan dengan berita kematian. Kematian yang sudah pasti tidak dapat dielakkan namun yang lebih menggusarkan kita ialah seorang demi seorang ulama pergi meninggalkan kita.

Pada zaman awal-awal kemerdekaan, masjid-masjid kita diisi dengan pengajian kitab-kitab tradisi diajar oleh tok-tok guru yang mendapat pengajian dari negara-negara Timur Tengah. Semakin lama mereka mengaji di sana maka semakin alimlah mereka pada sudut pandangan masyarakat.

Tidak dapat dinafikan bahawa orang-orang pondok terlibat dengan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah sejak awal-awal kebangkitan semangat nesionalisme. Tidak terdapat pandangan yang mengaitkan perjuangan menuntut kemerdekaan ini dengan semangat “asobiyyah” kerana bangsa penjajah yang ditentang merupakan golongan penjajah kafir.

Madrasah Ihya’ al-Sharif, Ustaz Abu Bakar Baqir dan beberapa pemimpin lain seperti Haji Abd Rahman Limbong, Tok Janggut dan lain-lain orang agama meniupkan semangat benci kepada penjajah. Perjuangan menuntut kemerdekaan disinonimkan dengan semangat jihad membebaskan negara daripada pemaksaan sistem penjajah yang bertentangan dengan Islam.

Tokoh-tokoh agama yang berjasa mendidik masyarakat merupakan mereka yang mendapat pendidikan agama Islam secara formal dan berguru dengan ulama-ulama tersohor dunia. Sheikh-sheikh al-Azhar, guru-guru Universiti Islam Madinah, Kuwait, Morocco dan juga Sudan serta Jordan.
 
Ustaz Haron Din sukar dicari gantinya
Sebelum merdeka lagi, Raja-raja Melayu telah bersetuju untuk menubuhkan Kolej Islam Malaya (KIM) pada tahun 1955. Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah telah mewaqafkan istana baginda di Klang untuk dibna bangunan kolej tersebut. Sultan Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke sana dan pastinya memberi dana penubuhan kpd institusi pengajian Islam tertinggi pada masa itu.
 
Dr Abd Aziz Hanafi ilmunya mengkagumkan
Tokoh-tokoh yang lahir dari Kolej Islam Malaya telah menjadi ulama negara seperti Ustaz Haron Din, Ustaz Daeng Sanusi Daeng Mariok, Tan Sri Harussani Zakaria sekadar menyebut beberapa nama.

Ketokohan mereka sukar ditandingi, tawadhu’ tidak meninggi diri, menasihat dengan hikmah dan mengajar dengan amanah.

Mereka tidak mengejar populariti dan berani memperkatakan yang hak walaupun mendapat tentangan daripada sesetengah pihak yang menjaga kepentingan masing-masing.
 
Prof Kamal Hasan tokoh pemikir Islam
Ustaz Haron Din tidak pernah berceramah dengan menggunakan kata-kata seperti bodoh dop, menate beruk, kalu bodoh ngaji lah wei tetapi menggunakan perkataan-perkataan yang memerlukan pendengar menggunakan akal budi untuk memahaminya.

Pengajian Ustaz Haron Din samada dalam kuliah universiti atau di masjid penuh dengan hikmah serta pengajaran kepada pendengar yang mencari kebenaran dan bukannya keseronokan. Walaupun tidak bersetuju dengan sesuatu pandangan, Ustaz Haron Din tetap menggunakan analogy serta penghujjahan yang sangat berhikmah. Sebagai contohnya Ustaz Haron Din pernah berkata:
 
Dr Sidek Baba pemikir pendidikan
“Negara Islam ialah sebuah negara yang perlembagaannya merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Kerajaan Bani Umayyah dan Abbasiah merupakan Negara Islam Cuma ada dalam kalangan pemimpinnya yang fasiq. Ini berbeza dengan mana-mana negara yang perlembagaannya tidak Islamik maka pemimpinnya tidak boleh dikatakan fasiq kerana istilah pemimpin fasiq apabila negaranya sudah menggubal Perlembagaan yang Islamik.”

Ustaz Haron Din juga mengajar bahawa sekiranya negara mengamalkan undang-undang Islam maka Allah swt akan menjaga negara dari sebarang keburukan dunia dan azab pada Hari Akhirat.
 
Dr Mohd Nur Manuti pengajaranya sangat menarik
Pengajaran beliau disampaikan dengan ilmiah dengan tiada lawak jenaka berlebihan, cerita-cerita yang lagha jauh sekali daripada mengkafirkan orang lain, menyindir dengan tujuan menjatuhkan orang lain dan mendakwa beliau lah yang paling alim dalam bidang syariah Islam.

Sewaktu negara kecoh dengan isu purdah, pandangan beliau cukup meyakinkan. Hujjah beliau: saya tidak memakai serban, saya hanya memakai kupiah putih. Walaupun saya memakai kupiah putih, saya tidak pernah mengatakan bahawa memakai serban tidak sesuai dipakai di Malaysia. Nak pakai, pakai dan jangan menghukum orang lain.

Pada tahun 1988, saya mengikuti kuliah Fiqah Harian Ustaz pada hari Rabu. Ustaz mengumumkan kuliah ditangguhkan pada minggu berikutnya kerana dititah mengiringi Permaisuri Agong berubat di luarnegara. Baginda permaisuri meminta ustaz untuk berdoa dan membaca al-Qur’an sepanjang baginda menjalani pembedahan. Demikianlah kepercayaan pemimpin negara terhadap keperibadian ustaz.

Sifat tawadhu’ ustaz begitu terserlah hinggakan kad jemputan kahwin anak beliau hanya ditulis Ustaz Haron Din dan Kak Jah mempersilakan…..

Semoga Allah swt menempatkan tuan guru Ustaz Haron Din dalam kalangan para syuhada' dan salihin di sisi Allah swt..

Generasi masakini memerlukan pendidik agama seperti almarhum Ustaz Haron Din, Ustaz Mohd Nur Manuti, almarhum Ustaz Abd Aziz hanafi, Prof Kamal Hasan, Dr Sidek Baba dan bukannya ustaz celebriti, ustaz lawak jenaka dan yang seangkatan dengannya..             



Friday, September 30, 2016

PERLANGGARAN DISIPLIN SEKOLAH DAN KANUN KESEKSAAN


Pihak sekolah boleh mengambil tindakan ke atas pelajar yang melanggar disiplin sekolah. Rujukan kepada tindakan ialah Ordinan Pelajaran 1957 dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.


Sekiranya pelajar atau guru melanggar undang-undang negara termasuk yang terlibat dengan Kanun Kesiksaan maka pihak polis boleh merujuk kepada pendakwaraya samada untuk membuat pendakwaan atau tidak.


Semua warga sekolah seharusnya memahami Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin) 1959 serta pekeliling-pekeliling ikhtisas dari Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menjaga kepentingan diri masing-masing melibatkan pentadbir, guru, pekerja dan pelajar.mereka yang terlibat dengan instituis pendidikan seperti sekolah juga merupakan warganegara Malaysia yang berada di sesebuah institusi milik kerajaan.


Sekiranya guru mengambil tindakan selain daripada tatacara sedia ada, guru juga boleh dihadapkan ke mahkamah. Adakah murid tidak boleh dihadapkan ke mahkamah atas alas an masih tidak dapat membezakan antara perkara yang baik dan yang buruk kerana masih dalam proses pembelajaran atau dikeranakan campurtangan pihak-pihak tertentu?


Peruntukan di bawah Kanun Keseksaan

Peruntukan di bawah Kanun Kesiksaan seharusnya diketahui oleh semua warganegara termasuk kaum pendidik:

Seksyen 323: Seksaan kerana sengaja menyebabkan cedera

Barang siapa, kecuali dalam hal yang diperuntukkan oleh Seksyen 334, dengan sengaja menyebabkan cedera, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda yang sampai dua ribu ringgit, atau dengan kedua-duanya.

Seksyen 324:Dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.

Barang siapa, kecuali dalam hal yang diperuntukkan oleh Seksyen 334, dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan apa-apa alat untuk menembak, menikam atau memotong, atau apa-apa alat yang, jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang, mungkin menyebabkan kematian, atay dengan jalan menggunakan api atau apa-apa benda hangat, atau dengan jalan menggunakan apa-apa racun atau apa-apa benda melecur, atau dengan jalan menggunakan apa-apa benda letupan, atau dengan jalan menggunakan apa-apa benda yang merbahaya kepada tubuh manusia apabila dihisap, ditelan atau dimasukkan ke dalam darahnya, atau dengan jalan menggunakan apa-apa haiwan, hendaklah disiksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat  dengan jari ampai  atau rotan,  atau dengan mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu.

Seksyen 325: Seksaan kerana dengan sengaja  menyebabkan cedera parah

Barang siapa, kecuali dalam hal yang diperuntukkan  oleh Seksyen 335, dengan sengaja menyebabkan cedera parah, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan bolehlah juga dikenakan denda.

Seksyen 326: Dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya

Barang siapa, kecuali dalam hal yang diperuntukkan oleh Seksyen 335, dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan apa-apa alat untuk menembak, menikam atau memotong, atau apa-apa alat yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang, mungkin menyebabkan kematian, atau dengan jalan menggunakan api atau apa--apa benda hangat, atau dengan jalan menggunakan apa-apa racun atau apa-apa benda melecur atau dengan jalan menggunakan apa-apa benda letupan,  atau dengan jalan menggunakan apa-apa benda yang merbahaya  kepada tubuh manusia apabila dihisap, ditelan atau dimasukkan ke dalam darahnya, atau dengan jalan menggunakan apa-apa haiwan, hendaklah diseksa dengan penjara yang boleh sampai dua puluh tahun dan bolehlah juga dikenakan  denda atau sebat dengan jari ampai atau rotan.

Seksyen 320: Cedera parah

Hanya jenis-jenis cedera yang berikut sahaja dinamakan sebagai 'parah'.

Pertama          Hilang tenaga kelelakian

Kedua            Hilang selama-lamanya penglihatan salah satu mata

Ketiga            Hilang selama-lamanya pendengaran salah satu telinga

Keempat        Hilang sesuatu anggota atau sendi

Kelima           Binasa atau lemah selama-lamanya daya sesuatu anggota atau sendi

Keenam         Cacat selama-lamanya kepala atau muka

Ketujuh          Patah atau retak tulang atau selisih sendi

Kelapan        Apa-apa cedera yang membahayakan nyawa atau menyebabkan orang yang tercedera itu menderita kesakitan tubuh yang amat sangat, atau tidak boleh menjalankan pekerjaannya yang biasa selama dua puluh hari.




    





   

SEKOLAH DAN POLITIK


Bukan menjadi rahsia lagi kepada veteran yang masih hidup bahawa pada zaman awal kemerdekaan negara seorang tukang kebun sekolah boleh menukarkan Guru Besar sekolah lantaran tukang kebun sekolah tersebut merupakan AJK Bahagian UMNO.
Sebuah parti politik pejuang kemerdekaan dicalarkan maruahnya kerana perilaku ahli peringkat cawangan sahaja. Fikir-fikirkanlah yang mendapat tempias lebih-lebih lagi kuyup ialah Perdana Menteri yang tidak terlibat dengan perkara seperti ini. Siapakah yang menjadi hantu sebenarnya? Pemuda cawangan yang mendapat tender tiga kantin sekaligus punya perangai, daripada PM, TPM dan Menteri Pelajaran dipersalahkan dan dicadangkan supaya ditukar dalam PRU. Inilah perangai sesetengah pemimpin UMNO cawangan..padahnya UMNO dan BN yang bakal ditolak..



Tuesday, September 27, 2016

ATTENTION DEFICIT DISORDER


Attention Deficit Disorder (ADD) dikaitkan dengan daya tumpuan pelajar yang kurang di dalam kelas. Pelajar tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada sesi di dalam kelas sedangkan daya tumpuan terhadap pembelajaran sangat penting bagi memastikan keberkesanan sesi PdP.


Antara ciri-ciri ADD ialah:

  • Pelajar terganggu dengan perkara-perkara di luar kelas.
  • Pelajar sukar mematuhi arahan guru.
  • Sukar memberi tumpuan dalam kelas.
  • Sukar melaksanakan latihan.
  • Suka berangan-angan dalam kelas.
  • Tidak membawa alat tulis ke sekolah.
  • Tidak membawa buku ke sekolah mengikut jadual waktu.
  • Pelajar suka menyampuk semasa guru sedang mengajar.



 Antara kaedah yang boleh dilaksanakan:

1. Murid terlibat dalam proses pdp.

  1. Murid membaca petikan/bahan.
  2. Murid menulis idea atau jawapan di papan tulis.
  3. Menerima semua jawapan murid.
  4. Menggalakkan murid memberi jawapan samada betul atau salah.
  5. Merangsang murid dengan menggunakan clue atau petunjuk.


2. Murid menilai jawapan rakan.

  1. Murid mengenalpasti kata kunci.
  2. Murid menggunakan perkataan yang tepat.
  3. Murid memberi maksud perkataan dengan tepat.


3. Murid menambahbaik atau mengedit supaya menepati kehendak soalan.

  1. Menggantikan perkataan dengan yang lebih tepat.
  2. Menambahkan isi.
  3. Menggugurkan isi.


4. Murid menyalin jawapan yang menepati kehendak soalan 100%.buku Latihan menjadi rujukan jawapan mengikut kehendak soalan.

  1. Elak daripada memberikan ulasan negatif terhadap jawapan pelajar.
  2. Elak kaedah penerangan atau penceritaan.
  3. Pelajar yang sepatutnya mengemukakan jawapan bukannya guru.







Sunday, September 18, 2016

ISLAMOPHOBIA KEMPEN ZIONIS YAHUDI

Secara ringkasnya, istilah Islamophobia dikaitkan dengan ketakutan terhadap umat Islam yang kononnya bersifat ganas di dalam menghadapi apa saja isu malahan sehingga ke peringkat antarabangsa. Penyelesaiannya melalui aktiviti keganasan dan tidak melalui saluran diplomasi sepert rundingan dan sebagainya.


Presiden Barrack Obama berucap di tapak World Trade Centre pada hari mengingati peristiwa 11 September 2001 dengan nada memujuk berkata bahawa yang bersalah bukannya ajaran Islam yang menganjurkan keganasan tetapi penganut Islam yang mentafsir ajaran Islam secara salah. Mungkin itu cara Obama untuk mengambil hati jutaan Muslim Americans yang membentuk peratusan yang tidak sedikit dari kalangan pengundi Amerika.


Pandangan orientalis yang bias (terdapat orientalis yang memeluk Islam)masih tetap menyebutkan dakwah islamiah berkembang melalui mata pedang yang ditampilkan dengan siri-siri peperangan zaman nabi diikuti usaha memerangi golongan murtad oleh Khaifah Abu Bakar.

Aspek ketenteraan diberikan penekanan pada zaman Bani Umayyah dengan penubuhan Kementerian Pertahanan (Diwan al-Jundi) yang membayar gaji tentera, menjaga kebajikan mereka serta menyediakan latihan ketenteraan pada musim sejuk dan  musim panas.


Disiplin ketenteraan yang kuat melalui penanaman semangat jihad yang kental telah memperluaskan wilayah Islam sehingga ke Andalus, Sind dan Eropah.

Selain misi mempertahankan diri, negeri-negeri terjajah mempelawa tentera Islam untuk membebaskan mereka dari belenggu penjajahan yang zalim kepada pemerintahan Islam. Tentera Islam menerima pelawaan tersebut dengan misi membebaskan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan hakiki kepada Allah swt.

Sudah pasti tiada siapa yang menjemput tentera-tentera Amerika melainkan musuh-musuh Islam bagi menimbulkan huru-hara dan kekacauan dalam kalangan negara-negara Islam.

Serangan ke atas World Trade Centre 2001, serangan terhadap keretapi bawah tanah di Madrid 2004 dan pembunuhan keluarga anti Islam Theo Van Gogh dijadikan justifikasi menghalalkan jenayah perang Amerika ke atas Dunia Islam.


Kempen War On Terror oleh George Bush dilancarkan ke atas bumi Afghanistan, Iraq serta membiarkan tentera Israel memusnahkan Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Wajarkah ini dijadikan lesen oleh AS dengan memperalatkan PBB membunuh jutaan rakyat yang tidak berdosa dan tidak mempu melawan regim zionis Yahudi?

Malangnya ada sesetengah Negara Islam yang akur seolah-olah mengizinkan kekejaman terrorist tersebut.

Mungkin Negara-negara Islam tersebut dikaburi oleh laporan media CNN, BBC, Wall Street Journal yang membuat pemberitaan yang tidak sahih dan bersifat provokatif.

Kewujudan kumpulan militant Islam seperti Jamaah Islamiah Indonesia, Black Widow Chechnya, Abu Sayyaf, Boko Haram dan lain-lain adalah reaksi protes terhadap siri keganasan zionis antarabangsa.    



Tuesday, September 13, 2016

HUJAN RAHMAT AIDIL ADHA


Aidil Adha tiba lagi dan disambut oleh seluruh umat Islam samada tetamu Allah di hadapan Kaabah mahupun tetamu Allah yang memenuhi ruang solat di ribuan masjid serata negara.

Seorang sahabat korporat pergi ke Mekah paling lewat dan pulang ke tanahair paling awal. sehari Sebelum berlepas dia masih lagi sibuk bekerja. Dia tidak lah sesibuk mana untuk bersiap menunaikan haji lantaran sudah biasa menunaikan haji dan umrah tidak sepertimana orang-orang biasa yang belajar selama lima tahun dengan berkursus dan hanya sempat membayangkan segala rukun haji, wajib haji serta perkara yang berkaitan dengannya dan hanya akan mengalaminya sendiri setelah sampai ke Tanah Suci.

Bila-bila masa sahaja dia boleh mengerjakan haji kerana mampu untuk tidak berebut-rebut mengikut kuota dan sebagainya. Pakej hajinya pasti mahal. Itulah untungnya orang yang ada banyak wang. Bila teringin pasti tidak kempunan. Rindu Kaabah menggamit perasaan. Alangkah bertuahnya orang seperti kawan saya ini.

Mungkin dia menginap di bilik mewah bertaraf lima bintang. Dari atas katil sahaja sudah terlihat menara indah menjulang tinggi dengan lampu bergemerlapan. Pemandangan yang jauh berbeza dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. apatah lagi pada zaman Nabi Ibrahim. Bukankah Nabi Ibrahim telah mendoakan agar tanah yang tandus dulunya menjadi kawasan yang sentiasa dikunjungi manusia dengan pelbagai rezeki yang melimpah ruah kini. Doa Nabi Ibrahim makbul dengan bukti di depan mata namun ia juga bermakna rezeki hanya akan datang kepada orang yang rajin berusaha. Kalau orang kapitalis yang bijak membuat marketing plan pasti berjaya. Allah Maha Pemurah memberi rezeki kepada orang yang rajin berusaha.

Persoalannya siapakah yang memenuhi saf-saf hadapan Masjidil Haram saban waktu. Adakah penghuni bilik mewah bertaraf lima bintang atau hotel tidak berbintang.

Menginap di Zam-zam Tower dan bersolat di tepi tingkat bilik Kaabah View sungguh nyaman tanpa kesinambungan saf di Masjidil Haram kemudian layan Astro..rasa nikmat macam dalam syurga...berapa kos penginapan mungkin boleh membiayai ratusan golongan marhaen mengerjakan haji. 





Sunday, September 4, 2016

DI ATAS RUNTUHAN MELAKA LAMA - HAJI ABD MALIK KARIM AMRULLAH

HAMKA Permata Nusantara


 
Di atas runtuhan Melaka lama
Penyair  termenung seorang diri
Ingat Melayu kala jayanya
Pusat kebenaran nenek bahari.

Di sini dahulu Laksamana Hang Tuah
Satria moyang Melayu sejati
Jaya perkasa gagah dan mewah
“Tidak Melayu hilang di dunia”.

Di sini dahulu payung berkembang
Megah Bendahara Seri Maharaja
Bendahara cerdik tumpuan dagang
Lubuk budi laut bicara

Pun banyak pula penjual negeri
Mengharap emas perak bertimba
Untuk keuntungan diri sendiri
Biarlah bangsa menjadi hamba.

Inilah sebab bangsaku jatuh
Baik dahulu atau sekarang
Inilah sebab kakinya lumpuh
Menjadi budak jajahan orang.

Sakitnya bangsaku bukan di luar
Tapi terhunjam di dalam nyawa
Walau diubat walau ditawar
Semangat hancur apakah daya.

Janji Tuhan sudah tajalli
Mulialah umat yang teguh iman
Allah tak pernah mungkir  janji
Tarikh riwayat jadi pedoman.

Malang mujur nasibnya bangsa
Turun dan naik silih berganti
Terhenyak lemah naik perkasa
Tergantung atas usaha sendiri.

Riwayat lama tutuplah sudah
Sekarang buka lembaran baru
Baik hentikan termenung gundah
Apalah guna lama terharu.

Bangunlah kekasih ku umat Melayu
Belahan asal satu turunan
Bercampur darah dari dahulu
Persamaan nasib jadi kenangan.

Semangat yang lemah buanglah jauh
Jiwa yang kecil segera besarkan
Yakin percaya iman pun teguh
Zaman hadapan penuh harapan.