Sunday, April 19, 2015

PROFIL
















DOA PERASMIAN SEMINAR PERSURATAN MELAYU 2014



Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim,

Engkau Maha Mengetahui, Kami berhimpun pada malam ini, bagi menyatakan rasa syukur kami pada Mu, atas limpah kurnia Mu mengizinkan kami melaksanakan Seminar Persuratan Melayu Johor bagi tahun 2014 dengan jaya. Tiada makna usaha kami tanpa restu Mu.

Ya Allah Ya Aziz Ya Jabbar,

Jadikanlah sepanjang hari berlangsungnya Seminar Persuratan Melayu ini, permulaannya rahmah, pertengahannya barakah, pengakhirannya maghfirah. Lantaran di bumi bertuah Johor yang indah, terakam dalam memori sejarah, pejuang bahasa, penggiat sastera, pencinta budaya, semakin resah, anak muda semakin tidak endah, persuratan Melayu disangka peninggalan penjajah, di zaman ICT yang menggugah, iman bisa semakin goyah..

Sedangkan dulunya dengan bahasa Melayu Islam tersebar, ulama Nusantara memang tersohor, Tun Jana Khatib berbahasa Melayu, Habib Noh wali Melayu.

Ya Allah Rabbiul Izzati

Kami mohon ke hadrat Mu Ilahi,
Engkau jadikan seminar ini
Sebagai wadah untuk kami bersatupadu,
Bekerjasama dan bantu membantu,
Membangun Negara dalam menghadapi alaf baru

Agar

Bahasa Melayu dapat diangkat,
Persuratan Melayu dimartabat,
Penulis dan masyarakat semakin rapat,
Pejuang terdahulu senantiasa diingat,
Rasa cinta kepada bahasa kian erat
Di bawah payung raja Melayu berdaulat

Ya Allah Ya Hannan Ya Mannan,

Lorongkan keimanan
Mantapkan kecekalan
Permudahkan urusan
Capaikan wawasan
Pancarkan kesungguhan
Demi kami bekerja untuk watan
Penutur Bahasa Melayu mendapat perlindungan
Dari mereka yang ingin menjahanamkan
Tulisan Jawi daripada penulisan
Kerana ia penyambung warisan.


Akhirnya Ya Allah,

Kami mohon pada Mu Tuhan
Agar Melayu tidak ketinggalan
Kuasa tetap dalam pegangan
Anak cucu dapat diselamatkan