Sunday, July 21, 2013

MEMBACA AL-QUR’AN PADA BULAN RAMADAN


Salah satu amalan yang disunatkan pada bulan Ramadan ialah membaca al-Qur’an.

Untuk mendapatkan manfaat terbaik daripada membaca al-Qur’an, kita hendaklah menghampiri al-Qur’an dengan cara yang betul.

Dr Khurram Murad dalam bukunya “Way to the Qur’an” menyebutkan beberapa prasyarat untuk mendapat manfaat daripada pembacaan kitab suci ini.

Pertama: Bacalah al-Qur’an dengan keyakinan bahawa ia adalah kalam Allah. Kitab ini bukan buku biasa tetapi merupakan hidayah dari Allah swt.  Bayangkan keagungan Ilahi dan rahmatNya menurunkan kitab sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita insan yang kerdil.

Kedua: Fokuskan niat membaca al-Qur’an hanyalah bagi mendapatkan pertunjukNya, mendekatkan diri kepadaNya serta mencari keredaanNya.

Ketiga: Pastikan kita bersyukur dengan nikmat al-Qur’an yang kita baca. Keinsafan kita akan nilai al-Qur’an akan memudahkan kita menerima pengajaran yang terkandung dalam ayat-ayatnya.

Keempat: Terima lah dengan yakin tanpa sebarang keraguan setiap ayat al-Qur’an dan pengajaran di dalamnya. Tidak ada satu ayat pun yang tidak relevan dengan hidup manusia.

Kelima: Sediakan diri untuk memahami dan mengikut semua perintah Allah dan kalau perlu menukar cara hidup kita daripada yang tidak baik kepada yang lebih baik.

Keenam: Sentiasa ingat bahawa syaitan akan sentiasa mencari jalan untuk menghalang kita daripada mendekati al-Qur’an dan menyibukkan kita dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada dunia dan lebih-lebih lagi urusan akhirat.

Ketujuh: Yakinlah bahawa Allah akan membimbing kita ke arah mendapat pahala yang besar dari bacaan al-Qur’an kita. Dengan rahmatNya kita dianugerahkan al-Qur’an dan dengan rahmatNya juga kita dibimbing oleh Allah swt untuk memahami serta menghayati al-Qur’an.

Kesempatan dalam bulan Ramadan ini seeloknya kita gunakan untuk memperbaiki mutu bacaan al-Qur’an.   

No comments:

Post a Comment