Sunday, July 21, 2013

MEMBACA AL-QUR’AN PADA BULAN RAMADAN


Salah satu amalan yang disunatkan pada bulan Ramadan ialah membaca al-Qur’an.

Untuk mendapatkan manfaat terbaik daripada membaca al-Qur’an, kita hendaklah menghampiri al-Qur’an dengan cara yang betul.

Dr Khurram Murad dalam bukunya “Way to the Qur’an” menyebutkan beberapa prasyarat untuk mendapat manfaat daripada pembacaan kitab suci ini.

Pertama: Bacalah al-Qur’an dengan keyakinan bahawa ia adalah kalam Allah. Kitab ini bukan buku biasa tetapi merupakan hidayah dari Allah swt.  Bayangkan keagungan Ilahi dan rahmatNya menurunkan kitab sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita insan yang kerdil.

Kedua: Fokuskan niat membaca al-Qur’an hanyalah bagi mendapatkan pertunjukNya, mendekatkan diri kepadaNya serta mencari keredaanNya.

Ketiga: Pastikan kita bersyukur dengan nikmat al-Qur’an yang kita baca. Keinsafan kita akan nilai al-Qur’an akan memudahkan kita menerima pengajaran yang terkandung dalam ayat-ayatnya.

Keempat: Terima lah dengan yakin tanpa sebarang keraguan setiap ayat al-Qur’an dan pengajaran di dalamnya. Tidak ada satu ayat pun yang tidak relevan dengan hidup manusia.

Kelima: Sediakan diri untuk memahami dan mengikut semua perintah Allah dan kalau perlu menukar cara hidup kita daripada yang tidak baik kepada yang lebih baik.

Keenam: Sentiasa ingat bahawa syaitan akan sentiasa mencari jalan untuk menghalang kita daripada mendekati al-Qur’an dan menyibukkan kita dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada dunia dan lebih-lebih lagi urusan akhirat.

Ketujuh: Yakinlah bahawa Allah akan membimbing kita ke arah mendapat pahala yang besar dari bacaan al-Qur’an kita. Dengan rahmatNya kita dianugerahkan al-Qur’an dan dengan rahmatNya juga kita dibimbing oleh Allah swt untuk memahami serta menghayati al-Qur’an.

Kesempatan dalam bulan Ramadan ini seeloknya kita gunakan untuk memperbaiki mutu bacaan al-Qur’an.   

KELEBIHAN ORANG YANG BERPUASA

 Mereka yang berpuasa akan mendapat keistimewaan pada Hari Akhirat nanti. Allah swt berjanji bahawa mereka akan mendapat rahmat, pahala dan keberkatan dari Allah swt.

Antara kelebihan orang yang berpuasa ialah:

Pertama: Orang yang berpuasa dengan sesungguhnya akan menjadi penghuni syurga. Sahal bin Saad berkata bahawa Nabi Muhammad saw bersabda:
“Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu yang disebut “al-Rayyan.” Akan diseru pada Hari Akhirat: Mana orang yang berpuasa? Apabila masuk orang yang terakhir dari kalangan orang yang berpuasa itu maka pintu tersebut akan ditutup.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua: Puasa akan menjadi pembela dan pemberi syafaat pada Hari Akhirat. Menurut Abdullah bin Umar (r.a.), Nabi Muhammad saw bersabda:
“Puasa dan al-Qur’an akan memberi syafaat bagi hamba pada Hari Akhirat. Berkata puasa: Ya Tuhan! Engkau larang dia makan dan memuaskan nafsu syahwat pada waktu siang, dan sekarang dia meminta syafaat padaku kerana itu. Dan berkata pula al-Qur’an: Engkau larang dia tidur pada waktu malam, sekarang dia meminta syafaat kepadaku mengenai itu. Maka syafaat kedua mereka diterima oleh Allah swt.” (Riwayat Ahmad).

Ketiga: orang yang berpuasa akan bergembira pada hari bertemu Tuhannya. Hadis dari Abu Hurairah (r.a.) bahawa Nabi saw bersabda:
“Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati. Di kala berbuka, dia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat dia menemui Tuhannya nanti, dia akan gembira kerana puasanya. (Riwayat Ahmad, Muslim dan al-Nasa’i).

Demikianlah kedudukan orang yang berpuasa di sisi Allah swt. Ibadat puasa sememangnya meletihkan fizikal, memerlukan kesabaran dan pengorbanan namun ganjarannya sangat besar pada hari kita bertemu Allah swt nanti. Syafaat menanti, syurga dijanji dan keampunan diberi.

MENINGKATKAN KUALITI BERPUASA


Rasulullah saw mengingatkan kita bahawa dalam kalangan orang yang berpuasa, ada manusia yang tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga sahaja. Ada pula manusia yang berpuasa dengan mendapat keberkatan dan pelbagai keistimewaan daripada Allah swt. Kita hendak pilih yang mana?
 
Syarat untuk meningkatkan kualiti puasa ialah:

Pertama: Memenuhi syarat lahiriah iaitu menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Kedua: menghidupkan sunat dan mengamalkan adab berpuasa sepeerti bersahur, menyegerakan berbuka, solat tarawih, membaca al-Qur’an serta bersedekah.

Ketiga: berusaha untuk membersihkan diri supaya puasa kita benar-benar menjadi puasa yang berada pada peringkat tertinggi di sisi Allah swt.

Menurut Said Hawwa dalam kitabnya al-Mustakhlas Fi Tazkiyyatun Nafsi, terdapat 6 syarat tambahan untuk mereka yang benar-benar ingin meninggikan kualiti puasa.

Pertama: Memejamkan mata atau menghalangnya daripada melihat dengan berlebih-lebihan kepada segala sesuatu yang tercela dan dibenci oleh agama. Ini bermaksud menjaga penglihatan daripada melihat apa yang mempesonakan mata sehingga lalai daripada mengingati Allah swt.

Kedua: Memelihara lisan daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Perbuatan bersenda gurau yang melampaui batasan, sengaja menyakitkan hati orang lain, mengeluarkan kata-kata yang sia-sia, mengumpat, berdusta, mengadu domba serta bertengkar pada perkara yang tidak menguntungkan. Sebaliknya kita hendaklah menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah swt termasuk membaca al-Qur’an atau buku-buku agama.

Ketiga: Menahan diri daripada mendengar perkara yang tidak sesuai pada ukuran agama. Elakkan diri daripada mendengar yang tidak elok sama seperti larangan mengeluarkan perkataan yang tercela. Menurut Islam, setiap perkara yang haram diucapkan maka menjadi haram juga mendengarnya.

Keempat: Menahan anggota-anggota tubuh yang lain agar tidak melakukan perbuatan dosa. Contohnya memelihara tangan dan kaki daripada melakukan maksiat. Perut tidak diisi dengan makanan yang syubhat a patah lagi dengan makanan yang haram.

Kelima: Mengawal nafsu daripada menyediakan dan memakan terlalu banyak makanan sehingga tidak larat lagi untuk menunaikan ibadat solat. Sekiranya ini berlaku maka matlamat untuk mengawal nafsu syahwat dengan ibadat puasa tidak tercapai.

Keenam: Mendidik hati agar sentiasa takut kalau amalan puasanya tidak diterima Allah swt. Orang yang takut amalannya tidak diterima akan berhati-hati agar tidak melakukan perkara-perkara yang mengurangkan atau membatalkan puasanya.

Marilah kita beristiqamah mengamalkan kenam-enam perkara yang telah disebutkan oleh Ustaz Said Hawwa supaya kualiti ibadat puasa akan dapat ditingkatkan.

BERDOA DALAM BULAN RAMADAN

Kita digalakkan supaya banyak berdoa pada bulan Ramadan.

Doa yang kita pohon kepada Allah swt terbahagi kepada 3 tingkat:

Tingkat pertama adalah doa meminta kebaikan serta faedah berbentuk duniawi. Ini adalah tingkat doa yang paling rendah. Dalam doa kategori ini, tidak ada doa yang kita minta selain dunia contohnya mohon harta berlimpah ruah, minta naik pangkat, minta lulus peperiksaan, minta agar mendapat banyak rezeki, minta mendapat jodoh dan sebagainya. Tidak menjadi kesalahan sekiranya kita berdoa seperti ini bahkan ianya digalakkan dan diberi pahala di sisi Allah swt.

Tingkat kedua ialah memohon kepada Allah swt agar diberikan pahala. Pada tingkat yang kedua ini, kita berdoa agar Allah swt membalas semua amalan kebaikan kita dengan balasan yang berlipat ganda. Pada penghujungnya, kita mohon agar dimasukkan ke dalam syurga serta dijauhkan dari azab api neraka. Doa pada tingkat ini lebih kepada keakhiratan dan nilainya di sisi Allah swt lebih tinggi daripada sekadar berdoa untuk kebaikan dunia sahaja.

Tingkat tertinggi berdoa adalah memohon rahmat dan keredaan Allah swt. Mendapat rahmat dan keredaan Allah sepatutnya menjadi cita-cita tertinggi yang seharusnya dimiliki oleh semua orang Islam. Imam Ibnu Athaillah dalam kitabnya al-Hikam menyebutkan bahawa “sebaik-baik doa yang harus engkau pohon kepada Allah swt ialah apa-apa yang Allah perintahkan kepada kamu.”

Berdasarkan kepada 3 tingkat berdoa, maka doa yang sepatutnya kita pohon kepada Allah swt ialah doa minta diberikan ketaatan kepada semua perintah Allah serta menjauhkan laranganNya dan istiqamah iaitu berterusan dalam beribadat kepada Allah swt.

Rasulullah saw telah memberikan contoh sebaik-baik doa iaitu: “Allahumma inna nas’aluka ridhaka waljannah wa na’uzubika min sakhatika wannar.” Maksudnya: “Ya Allah! Kami mohon kepadaMu keredhaan dan syurga dan kami berlindung kepadaMu daripada murkaMu dan azab api neraka.”

Kesimpulannya, sementara kita masih berada pada bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita berdoa sebanyak mungkin kepada Allah swt. Allah telah berjanji akan memakbulkan doa orang yang berpuasa dengan ikhlas dan ingatlah bahawa sebaik-baik doa ialah doa mohon keredhaan dan kasih sayang Allah.

Monday, July 1, 2013

KONSEP ALAM



1.       Alam ialah makhluk yang dicipta oleh Allah swt.

2.       Bahagian alam:

(a) Alam Musyahadah: Alam yang dapat ditanggapi oleh pancaindera manusia.contoh: manusia, tumbuhan dan bulan.

(b)  Alam Ghaib: Alam yang tidak dapat ditanggapi oleh akal dan pancaindera manusia. Contoh: alam akhirat, syurga, neraka, dosa, pahala dll.

3.      Hikmah kerahsiaan alam ghaib.

Ø  Menunjukkan kekuasaan Allah swt yang menjadikan seluruh alam mengikut kehendakNya.
Ø  Menguji iman manusia seperti rahsia tarikh berlakunya Kiamat.
Ø  Dapat mempertingkatkan ilmu manusia dengan cara mengkaji perkara ghaib.
Ø  Mengukuhkan iman kerana ia menjadikan seseorang patuh dengan perintah Allah.

DOA MESYUARAT PENANDAAN


Kami berkumpul pada pagi ini untuk menyatakan kesyukuran kami di atas nikmat yang Engkau berikan, nikmat keamanan dan kesihatan. Yang mana dengan nikmat itu kami dapat berkumpul untuk sama-sama berbincang, bertukar-tukar pendapat demi meningkatkan mutu penandaan kami.

Berkatilah majlis ini, kurniakanlah rahmat dan hidayah Mu agar mesyuarat pada pagi ini berjalan dengan lancar dan penuh dengan kebaikan. Semoga dengan inayah Mu jua kami mendapat idea-idea yang baik dan bernas bagi melonjakkan prestasi kerja kami.

Jadikanlah kami barisan pemeriksa kertas soalan yang jujur dan ikhlas dalam melaksanakan amanah, adil dalam pertimbangan, objektif dalam membuat penilaian, saksama tanpa mengira keturunan, selaras dalam pemarkahan, mematuhi peraturan peperiksaan, berdisiplin dan bertanggungjawab, memiliki komitmen yang tinggi sebagai manifestasi kesyukuran lantaran masih diberi kepercayaan melaksanakan tugas penandaan secara tekal dan tepat selaras dengan prinsip telus, tulus dan tuntas yang menjadi pegangan kami selama ini.

Oleh itu anugerahkanlah kami Ya Allah, kesetiaan sahabat sejati Abu Bakar al-Siddiq supaya kami dapat bekerja dalam pasukan, ketegasan Umar al-Khattab supaya sentiasa berdisiplin, sifat dermawan Uthman bin Affan agar kami tidak keterlaluan, semangat sanggup mempertaruhkan nyawa demi memikul tanggungjawab seperti Ali bin Abi Talib dan sifat tawadhu’ Imam Malik demi menjaga adab kerana kami sedar bahawa tinta para ulmuwan akan ditimbang sama berat dengan darah para syuhada pada Hari Akhirat kelak seperti yang telah diperingatkan oleh Imam al-Ghazali r.a.

Sihatkan tubuh badan kami, lindungilah kami dari segala perkara yang tidak diingini agar kami dapat menyelesaikan tugasan kami dalam jangkawaktu yang ditetapkan. Akhirnya Engkau masukkan kerja kami ini sebagai amalan yang akan diberi ganjaran yang sebaik-baiknya di sisi Mu.



KONSEP INSAN




1.       Insan ialah makhluk istimewa kerana boleh berfikir, menerima ilmu dan berkehendak.
2.       Asal kejadian manusia bermula daripada penciptaan Nabi Adam.
3.       Proses kejadian manusia

Nutfah (persenyawaan) - alaqah (segumpal darah) -  mudghah (seketul daging) -  tulang dan daging - janin (Allah tiupkan roh ketika berusia 4 bulan)

4.       Keistimewaan manusia

Ø  Memiliki akal fikiran untuk berfikir
Ø  Dilantik menjadi rasul untuk membimbing manusia
Ø  Berbudaya/bertamadun yang berusaha meningkatkan taraf hidup
Ø  Dilantik sebagai khalifah untuk memakmurkan alam
Ø  Mempunyai bentuk fizikal yang menarik berbanding makhluk lain

5.       Tanggungjawab manusia

a)      Kepada Allah

Ø  Menyembah Allah untuk memantapkan keimanan
Ø  Mentaati perintahNya seperti solat
Ø  Menjauhi laranganNya seperti tidak minum arak
Ø  Bersyukur atas nikmatNya dengan menggunakan nikmat dengan sebaiknya
Ø  Sentiasa mengingati Allah dengan cara berzikir

b)      Kepada sesama manusia

Ø  Memelihara hak-hak manusia seperti membantu jiran yang susah
Ø  Saling hormat-menghormati agar negara aman

c)       Kepada alam

Ø  Memakmurkan alam seperti membuat pembangunan secara terancang
Ø  Memelihara dan memulihara alam supaya tidak berlaku pencemaran