Saturday, December 29, 2012

10 TIP MENULIS


1.   Menulislah pada setiap hari. Kita akan semakin semakin mahir dari sehari ke sehari.
2. Jangan bosan dengan penulisan kita. Kalau kita bosan dengan penulisan kita, orang lain akan lebih bosan membaca tulisan kita.
3.  Jadikan menulis sebagai rutin harian kita. Berdisiplin dalam meneruskan rutin.
4. Banyakkan membaca buku. Seorang penulis adalah penggemar buku.
5. Senaraikan perkataan, buku, nama tempat, barangan dan lain-lain yang menjadi kegemaran kita.
6.   Sentiasa bawa buku catatan dan pen ke mana sahaja kita pergi.
7.    Jadikan menulis samada cerita, idea, pandangan ataupun berita sebagai amalan harian.
8.   Cuba menulis dengan pelbagai gaya penulisan.
9 Latih diri menulis dengan menggunakan kedua-dua belah tangan kiri dan kanan sebagai satu keseronokan.
10. Teruskan menulis dan menulis dan menulis.

Thursday, December 27, 2012

TUKANG KAYU DAN RUMAHNYA



 Seorang tukang kayu tua berjumpa dengan majikannya. Dia berhasrat untuk berhenti kerja. Baginya biarlah dia menghabiskan masa senjanya bersama keluarga.

Majikannya berasa sangat sedih dan amat berat hati untuk melepaskan tukang kayu yang mahir dan banyak berjasa itu. Namun apakan dayanya untuk menghalang maksud tukang kayu tersebut.

“Baiklah.” Kata majikan kepada tukang kayu. “Kalau itulah kemahuanmu, saya tidak dapat menghalang. Cuma saya ada satu permintaan sahaja sebelum kamu bersara.”

“Apakah permintaan tuan?” Tanya si tukang kayu.

“Kamu buatkan sebuah rumah untuk saya dan selepas itu kamu bersaralah.” Jawab majikan.

Dalam keadaan terpaksa, tukang kayu bersetuju walaupun jauh di sudut hatinya terasa berat sekali dengan permintaan majikannya. Kalau boleh, dia ingin berhenti kerja pada saat itu juga.

Tukang kayu itu memulakan kerja-kerja pembinaan rumah. Hatinya tidak dicurahkan sepenuhnya untuk membina rumah tersebut menyebabkan dia melakukan kerja secara sambil lewa sahaja. Bahan-bahan binaannya kurang bermutu. Dia membuat rumah tersebut dengan tergesa-gesa dan sudah tidak mementingkan kualiti lagi sebagaimana sebelumnya.

Akhirnya, siaplah sebuah sebuah rumah namun hasilnya bukan lah sebuah rumah yang berkualiti tinggi. Binaannya secara ala kadar sahaja. Sedangkan sebelumnya , tukang kayu ini sangat baik hasil kerjanya menyebabkan dia disayangi oleh majikannya.

Kemudian datanglah majikan untuk melihat hasil rumah yang dimintanya. Selesai meninjau ke dalam dan luar rumah, majikan pergi berjumpa dengan tukang kayu dan menyerahkan kunci rumah kepadanya sambil berkata,

“Saya hadiahkan rumah ini kepada kamu sebagai tanda penghargaan kami terhadap khidmat yang telah kamu curahkan selama ini.”

Alangkah terkejutnya tukang kayu itu. Dia berasa sangat malu dan menyesal atas kerjanya itu. Kalau lah dia tahu bahawa rumah yang dia bina itu untuk dirinya, pasti dia akan membina dengan baik sekali namun apakan daya nasi sudah menjadi bubur. Maka terpaksalah dia tinggal di dalam sebuah rumah yang tidak berapa elok akibat perbuatan atau hasil kerjanya sendiri.

Pengajaran kisah

1.       Manusia yang melakukan kerja dengan ikhlas selalu disayangi oleh majikan dan orangramai.
2.       Apabila kerja tidak sepenuh hati, maka hasil yang diperolehi tidak memberangsangkan.
3.       Ramai manusia yang ketika diberi peluang tidak menggunakan kesempatan yang ada untuk melakukan yang terbaik.
4.       Kita akan mendapat hasil sebagaimana usaha yang kita lakukan. Kalau bersungguh-sungguh maka hasilnya juga lumayan. Sebagai pelajar, belajarlah bersungguh-sungguh dan sebagai pekerja, bekerjalah supaya kita mendapat RUMAH yang berkualiti..



ADAB GURU MENURUT IMAM GHAZALI


Selain murid, guru juga mempunyai adab yg mesti diamalkan

 Pertama:

Mempunyai perasaan belas kasihan dan memperlakukan anak murid sebagaimana anak sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya aku bagi kalian adalah bagaikan bapa terhadap anaknya.”

Kedua:

Tidak meminta upah mengajar, tidak bertujuan mencari imbalan ataupun mengharapkan ucapan terima kasih sebaliknya mengajar semata-mata kerana Allah dan bertaqarrub kepadaNya.

Ketiga: 

Tidak meninggalkan nasihat kepada murid sama sekali seperti melarangnya daripada usaha untuk beralih kepada satu tingkatan sebelum berhak menerimanya dan mendalami ilmu tersembunyi sebelum menguasai ilmu yang jelas.guru hendaklah sentiasa memngingatkan amnak muridnya agar ikhlas menuntut ilmu kerana Allah dan bukannya untuk meraih pangkat, kekuasaan mahupun harta.

Keempat:

Mencegah anak muridnya daripada akhlak tercela secara langsung atau terang-terangan, dengan kasih sayang dan bukan celaan. Kerana terang-terangan boleh mengurangi kewibawaan, dan menimbulkan keberanian untuk membangkang dan merangsang sikap keras.

Kelima:

Guru yang arif dalam bidangnya tidak mencela ilmu-ilmu yang bukan bidangnya. Seseorang guru yang khusus pada sesuatu bidangnya harus memperluaskan pandangan murid pada ilmu-ilmu lain juga. Guru juga hendaklah memantapkan pengetahuan muridnya terhadap bidang yang diajarnya.

Keenam:

Membataskan ilmu sesuai dengan kemampuan pemahaman muridnya dan tidak menyampaikan perkara-perkara yang tidak mampu dijangkau oleh anak muridnya yang boleh membuat anak murid enggan belajar kerana kemampuan akal manusia terbatas.

Ketujuh:

Kepada anak murid yang mempunyai kemampuan yang terbatas, sebaiknya disampaikan kepadanya hal-hal yang jelas dan sesuai dengannya dan tidak disebut kepada anak murid bahawa ada lagi ilmu yang tidak boleh disampaikan kepada mereka. Ini akan membuat anak murid hilang minat, membuat hatinya goncang dan menunjukkan bakhilnya penyampaian ilmu terhadap dirinya sebab setiap orang yakin bahwa dirinya layak menerima ilmu yang mendalam.

Kelapan:

Guru hendaklah mengamalkan ilmunya. Perbuatannya tidak mendustakan perkataannya kerana ilmu diketahui dengan mata hati dan amal diketahui dengan mata.

Monday, December 3, 2012

CAMPURTANGAN AMERIKA



Amerika Syarikat telah menjadikan "Houla massacre" atau pembunuhan beramai-ramai di Houla sebagai alasan untuk campur tangan dalam humanitarian intervention kepada Syria.

Campur tangan kemanusiaan yang dimaksudkan ialah dengan menghantar bala tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) bagi menyokong pemberontak bersenjata menggulingkan Bashar Al-Assad.
Rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa
Menurut kenyataan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), serangan pada 25 Mei 2012 telah mengakibatkan seramai 108 orang terbunuh di Houla termasuk 34 wanita dan 49 kanak-kanak.

Amerika-Israel hanya mahukan minyak mentah yang banyak bagi menyokong pembangunan tamadun mereka. Penguasaan sumber minyak dunia membantu Amerika menghalang kebangkitan China sebagai kuasa besar ekonomi dunia.

Penguasaan Amerika di Syria pula menjamin keselamatan Israel di Timur Tengah.
Perniagaan senjata membantu ekonomi Amerika Syarikat
 Data "Stockholm International Peace Research Institute" pada 17 April 2011 menunjukkan perbelanjaan ketenteraan dunia pada tahun 2011 adalah sebanyak AS$1.738 trilion. Sekiranya 10 peratus sahaja daripada AS$1.738 trilion ini digunakan untuk membeli makanan, masalah kebuluran dunia dapat diselesaikan. Daripada jumlah tersebut, 41 peratus atau AS$711 bilion adalah dari kerajaan Amerika Syarikat.
Untuk apa tentera Amerika dihantar ke serata dunia
 Berlaku peningkatan perbelanjaan ketenteraan antarabangsa sebanyak AS$138 bilion pada tahun 2011 berbanding tahun sebelumnya 2010.

Apa yang merisaukan kita negara-negara Arab juga tidak ketinggalan dalam menyumbang kepada industri persenjataan dengan membelanjakan AS$130 bilion bagi membeli senjata dari negara pengeluar senjata.
Bukankah lebih baik wang digunakan untuk membiayai ilmuwan
Houla telah menyebabkan majoriti umat Islam seluruh dunia menyokong supaya  pemerintahan Bashar Al-Assad digulingkankan.
Berjayakah dasar luar Obama?
 Kejatuhan kepimpinan Assad membawa kepada pembentukan "Syria Baru" yang akan menyertai Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan lain-lain negara menjadi pelindung kepada agenda Zionis Israel.

Inilah pola baru politik dunia yang ditunjangi oleh Amerika Syarikat. Umat Islam mesti bangkit dari mimpi yang didodoi oleh dajjal dunia.

PENDIDIKAN DI MALAYSIA - Satu pemikiran


Aminuddin Baki tokoh pendidikan negara
PENDIDIKAN BERSIFAT DINAMIK

Pertama, untuk menjayakan pembentukan insan baik, pendidikan negara perlu dikembangkan berasaskan falsafah pembangunan insan dan falsafah pendidikan hikmah. Kedua-dua, pembangunan insan dan pendidikan hikmah, merujuk kepada pembangunan diri yang menyeluruh.

Konsep pembangunan diri yang menyeluruh boleh dilihat dari dua perspektif. Pertama, pembangunan diri perlu meliputi kerohanian (SQ), intelektual (IQ), emosi (EQ), moral (MQ), sosial (SQ), estetika (AQ), dan fizikal (PQ). Kedua, ia perlu mengembangkan pelbagai kecerdasan. Menurut Howard Gardner (1993, 2000) kecerdasan-kecerdasan tersebut ialah: berbahasa/linguistic, logik-matematik, pergerakan badan/bodily kinesthetic, keruangan/spatial, muzik, bergaul/interpersonal, mengenal diri/intrapersonal, kealaman/naturalistic, dan kewujudan/existential. Falsafah yang tersirat dalam teori pelbagai kecerdasan ialah bahawa tiap pelajar mepunyai kecerdasan dan boleh belajar serta mencapai kejayaan.

Sebenarnya untuk menjayakan falsafah pembangunan insan dan pendidikan hikmah kita tidak perlu menggubal teks falsafah yang baru. Kita telahpun memiliki falsafah pendidikan kebangsaan yang sesuai dan selaras dengan hasrat kedua-duanya. Falsafah ini telah digubal dan diisytiharkan secara rasmi pada tahun 1987/88, telah dimasukkan dalam Akta Pendidikan 1996, dan telah dimasukkan juga dalam PPPM 2013-2025. Walau bagaimanapun, kesungguhan untuk melaksanakan kehendak-kehendak falsafah ini dalam kurikulum dan pendidikan di sekolah hanya bertahan kira-kira satu dekad, dan selepas itu semangat tersebut telah pudar. Kini yang tinggal hanyalah catatan dan retorika.

Kedua, kehendak-kehendak falsafah ini (pembangunan insan dan hikmah) perlu diterjemahkan secara konkrit dalam kurikulum dan kokurikulum dan semua aktiviti pendidikan di sekolah.  Kurikulum yang disediakan hendaklah seimbang dan mencakupi  disiplin-disiplin ilmu sains-matematik, bahasa, sains sosial, kemanusiaan, kesenian, pendidikan jasmani. Semua pelajar perlu mengikuti subjek-subjek ini untuk membolehkan semua domain dan kecerdasan dapat dipupuk dan dikembangkan.

Ketiga, selain daripada ilmu dan kemahiran, penekanan yang sama perlu diberikan kepada komponen nilai. Untuk memastikan komponen nilai ini tidak diabaikan, KBSM telah memilih strategi Nilai-Nilai Murni Merentas Kurikulum (NMMK). Maksudnya pengajaran dan penerapan nilai-nilai murni disepadukan dengan semua disiplin ilmu. Walau bagaimanapun, strategi NMMK ini mengalami nasib yang sama dengan FPK. Justeru itu kepentingan nilai dalam pendidikan dan strategi NMMK perlu dipugar dan semarakkan.
Pendidikan negara tidak seharusnya mengikut acuan Barat secara keseluruhannya
Keempat, satu subjek yang tertumpu kepada perpaduan dan pembentukan perwatakan bangsa perlu digubal dan diajar di sekolah, terutamanya peringkat menengah. Tujuannya ialah supaya semua pelajar dan generasi muda dapat memiliki pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni yang dikongsi bersama oleh masyarakat Malaysia. Setiap pelajar perlu engetahui dan memahami tentang sejarah, agama, budaya, adat resam dan pantang larang tiap bangsa/etnik di negara ini. Tujuannya ialah untuk mengelakkan kejahilan dan kekeliruan yang boleh mencetuskan masalah antara etnik dan juga perbalahan. Di samping itu, subjek ini perlu menekankan kepada kemahiran sosial – komunikasi dan interaksi, khususny dalam masyarakat majmuk. Akhirnya subjek ini perlu memupuk nilai-nilai umum yang universal yang menjurus kepada pembentukan perwatakan dan keperibadian bangsa Malaysia.     

Kelima, kandungan kurikulum, termasuk jumlah subjek, perlu disemak semula agar tidak membebankan para pelajar. Kurikulum yang disediakan perlu besifat luwes/fleksibel agar guru dapat menyesuaikannya dengan keadaan pelajar dan keadaan setempat. Di samping itu, ruang perlu disediakan untuk meraikan kebijaksanaan dan kebudayaan setempat, dan komponen setempat itu dimasukkan dalam kurikulum sebagai bahagian yang terpadu/integral dalam subjek tertentu, atau sebagai subjek yang berasingan. Komponen tempatan dalam kurikulum ini perlu diberikan pengiktirafan yang sewajar. 

Keenam, proses pendidikan mesti bersifat manusiawi dan tidak mekanikal. Ini boleh dilakukan dengan mengurangkan atau menghilangkan tumpuan kepada peperiksaan. Maksudnya budaya mengajar dan budaya sekolah tidak lagi didominasi dan ditentukan oleh peperiksaan. Guru berperanan untuk membimbing, membantu, menunjuk ajar dan mendidik pelajar. Pendekatan ini menjadikan diri pelajar itu utama dan sentral dalam proses pendidikan di bilik darjah dan di sekolah. Ini juga bermakna bahawa proses pengajaran-pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada pemindahan maklumat/ilmu dan kemahiran, malahan yang lebih penting lagi ialah pemahaman terhadap ilmu dan kemanfaatannya serta pemupukan nilai-nilai, kesedaran dan keinsafan dalam diri pelajar.

Ketujuh, usaha untuk memupuk persefahaman, kerjasama, sifat kesalingan dalam banyak perkara, seeperti saling hormat-menghormati, dan perpaduan, perlu ditingkatkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh di sekolah. Sesungguhnya ruang dan peluang untuk belajar, berkomunikasi dan berinteraksi bersama-sama, hanya terbuka luas di sekolah. Pelajar-pelajar akan berada di sekolah selama lima atau jam sehari dan selama 9, 10 atau 11 tahun atau lebih lagi. Peluang ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya dan untuk tujuan itu perlu ada kesungguhan dan kemahuan politik/political wii untuk menangani kekangan dalam sistem persekolahan dan realiti sosiopolitik.