Monday, September 5, 2011

UNDI POS ANGKATAN TENTERA


Berikut saya paparkan tulisan oleh Let Kol. (B) Shobri Darus yang juga merupakan salah seorang mantan Pengarah Penilaian Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri..

DAKWAAN wujudnya manipulasi dalam proses pengundian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh empat bekas tentera telah mencetuskan pelbagai reaksi.

Malahan pendedahan yang dilakukan melalui sidang akhbar yang diatur oleh Pas, pada 17 Ogos lalu menarik perhatian pelbagai pihak terutama di kalangan pengikut dan ahli parti pembangkang, golongan anti-establishment dan rakyat yang inginkan kebenaran mengenai isu ini.

Apa pun sebelum kita membuat sebarang andaian, satu perkara yang harus difahami dan diakui ialah proses pengundian yang diamalkan oleh ATM sememangnya tidak boleh dipertikaikan atau diragui.

Sejak pilihan raya umum pertama hinggalah sekarang, ATM sentiasa memperkemaskan prosedur dan sistem pengendalian pengundian secara profesional, telus dan bersih seperti mana termaktub dalam Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 Seksyen 16.

Proses pengundian yang dilaksanakan oleh ATM tiada banyak bezanya seperti yang dilalui oleh pengundi awam, cuma ia dilakukan dalam kem atau pangkalan tentera dan dilaksanakan lebih awal.

Pembuangan undi lebih awal ini telah mengambil kira persekitaran, kondisi dan taburan pengundi tentera yang beroperasi di kawasan hutan belantara yang sukar dihubungi melalui jalan darat melainkan penggunaan pesawat udara (helikopter).

Adakalanya terdapat sebilangan kecil kertas undi tidak dapat disampaikan kepada warga ATM yang beroperasi atas sebab cuaca buruk dan sebagainya.

Namun kertas undi ini akan dikategorikan sebagai "kertas undi tidak dikembalikan". Pelaksanaan sebegini turut memudahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengiraan undi bagi mendapatkan keputusan pilihan raya mengikut jadual.

Di sepanjang proses pengundian sudah semestinya ia dikendalikan oleh SPR dan dihadiri serta disaksikan oleh wakil calon yang bertanding bagi memastikan tidak berlaku sebarang manipulasi sekali gus telus dan bersih.

Justeru, ATM tidak pernah memanipulasi kertas undi tentera malah tidak mungkin ia akan dimanipulasikan. Segala dakwaan bekas-bekas tentera berkenaan adalah palsu, tidak benar dan tidak berasas serta bermotifkan kepentingan peribadi dan politik.

Oleh itu tidak keterlaluan jika dikatakan dakwaan mereka berunsur fitnah manakala pihak berkepentingan terutamanya Pas memperalatkan mereka bagi menjejaskan imej ATM.
Kita seharusnya sedar bahawa ATM merupakan sebuah organisasi yang profesional dan berpendirian apolitikal.

Aspek keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa diutamakan oleh ATM sejajar dengan tonggak utamanya sebagai Perisai Pertahanan Negara.

Ketika ini terdapat banyak pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja cuba mencemarkan imej ATM.

Walau apa jua bentuk serangan, ATM diyakini dapat menghadapi cabaran kerana teras kekuatan semangat juang warganya tidak mudah goyah atau rapuh.
Hakikatnya, ATM tidak akan terpengaruh atau terjejas dengan pelbagai usaha pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecah belahkannya.

Justeru, semua pihak terutama pihak pembangkang disarankan agar tidak mencampuri urusan ATM kerana pasukan itu tidak mahu diheret mencampuri kancah politik tanah air.
Rakyat khususnya pihak pembangkang tidak perlu ragu dan sangsi terhadap proses pengundian ATM. Hak mengundi dan kebebasan untuk memilih kekal menjadi tanggungjawab setiap warga tentera tanpa sebarang unsur pengaruh atau arahan daripada semua lapisan kepimpinan ATM.

Track record parti pembangkang yang memenangi kawasan Parlimen dan DUN yang terdapat ribuan undi tentera seperti Parlimen Bayan Baru (1,200 undi), Ipoh Timur (1,600 undi), Subang (3,000 undi), Bukit Bintang (1,800 undi), Ketereh (2,300 undi), Bandar Kuching (3,100 undi) dan kawasan DUN berkaitan jelas membuktikan ATM tidak memanipulasikan proses pengundian tentera.

Jika tidak, mana mungkin parti pembangkang mampu memenangi kawasan Parlimen atau DUN tersebut.

Inilah sikap pembangkang, jika menang, kitalah segalanya tetapi jika kalah bertanding, pelbagai alasan dikemukakan tanpa mahu menerima kenyataan kelemahan dan ketidakupayaan diri sendiri secara individu atau kumpulan.

Kenyataan Panglima Angkatan Tentera pada 18 Ogos lalu mempamerkan mesej yang jelas akan amalan dan pendirian ATM yang telus lagi bersih dalam proses pengundiannya.

Semua bekas tentera turut disarankan untuk mengimbau kembali sumpah dan ikrar ketaatsetiaan yang dilafazkan ketika berkhidmat.

Apa pun masih belum terlambat untuk bekas tentera yang bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk balik ke pangkal jalan dan berganding bahu bersama ATM mempertahankan kedaulatan negara. Ternyata pihak pembangkang terutama Pas amat bimbang tentang undi tentera walaupun tidak wujud sebarang manipulasi.

Persoalannya, adakah mereka tidak yakin dengan kekuatan sendiri dan jentera parti serta sokongan rakyat kepada mereka atau sememangnya mereka mempunyai pelbagai kelemahan dan ketidakupayaan mentadbir negara sekali gus majoriti sokongan rakyat terus berpihak kepada BN yang diterajui UMNO.

Sekali lagi diperjelaskan bahawa ATM tidak pernah memanipulasi proses pengundian dan ia kekal dilaksanakan secara telus dan bersih - dulu, kini dan selamanya.

No comments:

Post a Comment