Wednesday, September 7, 2011

PEMIDATO TERBAIK NEGARA?



Mungkin terdapat beberapa tafsiran mengenai cara negara kita memperolehi kemerdekaan negara pada tanggal 31 bulan lapan 57..seperti lagu yang didendangkan dengan penuh semangat oleh Allahyarham Sudirman Hj Arshad.

Ramai yang telah terkorban semenjak Melaka ditawan Portugis pada tahun 1511. Pastinya tempoh selama 446 tahun 7 hari dijajah tidak terkira mereka yang berjuang membebaskan kembali negara dari cengkaman penjajah. Sekiranya kita hendak senaraikan nama-nama pejuang selama 400 tahun itu kita tidak akan mampu melakukannya. Masing-masing ada peranan Cuma sejarah tidak mampu untuk menceritakannya semua.

Sebab itu kalau kita hendak mengkaji sejarah penentangan anak watan terhadap penjajah, kita membahagikan kepada beberapa period. Apa yang pasti semangat untuk merdeka telah tertanam selama 446 tahun.

Ada peranan golongan agama termasuk gerakan reformis Islam yang pulang dari pengajian di Mesir. Mereka juga mendapat inspirasi memperjuangkan Nasionalisme Melayu hasil pemerhatian mereka sewaktu belajar di luarnegara.

Begitu juga dengan kebangkitan golongan pondok seperti di Gunung Semanggol, Perak yang mahu membebaskan negara dari tangan penjajah kafir.

Golongan guru dan penulis juga tidak dapat dinafikan akan sumbangan mereka terhadap meniupkan kesedaran rakyat untuk memerintah sendiri.

Maka sudah tentulah penentangan secara terpisah-pisah tidak mampu untuk memperjuangkan nasionalisme Melayu.

Anak raja dan bangsawan Melayu diberikan pendidikan oleh pentadbir British. Maktab Melayu Kuala Kangsar yang ditubuhkan pada tahun 1906 bertujuan untuk mendidik anak-anak golongan elit Melayu pada masa itu.

Sewaktu belajar di London, anak-anak bangsawan Melayu ini telah terbuka horizon pemikiran mereka dengan keadaan di seluruh dunia. India sebagai contohnya telah mencapai kemerdekaan daripada pihak British pada tahun 1947 iaitu 10 tahun lebih awal daripada Tanah Melayu. ini menyebabkan mereka berfikir mengapa pula Tanah Melayu tidak cuba untuk menuntut kemerdekaan juga daripada British?

Peluang pendidikan yang terbuka luas kepada mereka ini menyebabkan mereka berfikir untuk tidak meneruskan kehidupan di bawah penjajahan. Mereka telah belajar mengenai demokrasi, sistem Westminster dan perlembagaan negara. Mengapa tidak boleh merdeka walaupun British mempunyai kepentingan ekonomi di Tanah Melayu namun abad ke 20 memperlihatkan bahawa aktiviti perdagangan dan perniagaan akibat Revolusi Perindustrian boleh diteruskan tanpa perlu menjajah sesebuah Negara. Penjajahan mungkin perlu bagi menguasai ekonomi serta hasil bumi negara anak jajahan pada abad ke 15 dan 16. Dunia sedang berhadapan dengan kuasa ekonomi yang berbeza berbanding dengan zaman perlunya armada kapal yang hebat sebagai lambang kemajuan sesebuah negara seperti Portugal dan Sepanyol.

Maka atas dasar kefahaman tersebut, pemimpin UMNO dan Perikatan telah bersepakat untuk menuntut kemerdekaan daripada British iaitu Tanah Melayu menjadi sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat di samping menyediakan mekanisme bagi British masih boleh menjalankan aktiviti ekonomi mereka.

Kebangkitan semangat nasionalisme Melayu yang telah sekian lama bertapak dalam hati orang Melayu disusun dengan rapi mendapatkan persetujuan British agar Tanah Melayu merdeka. Pengalaman India merdeka menjadi inspirasi kepada rombongan menuntut kemerdekaan ini.

Sistem pentadbiran daerah dengan District Officer kini Pegawai Daerah (DO) diperkenalkan. Wujud skim perkhidmatan MCS (Malayan Civil Service) kini Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). System pengurusan dan pentadbiran tanah diperkenalkan dan kini menjadi begitu berkesan melalui pengenalan geran tanah.

Rakyat juga diajar untuk membentuk kerajaan dengan melalui sistem pilihanraya. 52 kawasan dibahagikan sebagai kawasan Parlimen. Parti yang menang akan membentuk kerajaan. Begitulah British mendidik kita bagaimana memilih pemimpin serta membentuk kerajaan.

Katalah kita tidak memilih cara begitu sebaliknya kita mengikut rentak mereka yang mahu merdeka bersama Gagasan Indonesia Raya. Cuba kita bayangkan sekarang mungkin keadaan negara kita tidak akan menjadi seperti pada hari ini. Kerana didikan yang akan kita terima akan berlainan daripada didikan British. Apakah dengan menerima gagasan Indonesia Raya itu kita akan menjadi lebih Islamik daripada sekarang? Tidak dinafikan mereka juga mempunyai cita-cita untuk memerdekakan negara ini pastinya!

Melihat kepada realiti hari ini, Indonesia berjaya menjadi negara yang mempunyai bilangan umat Islam yang ramai namun apakah sistem, perlembagaan dan segala-galanya akan menjadi serasi dengan syariat Islam sebenar.

Tidak siapa pun akan dapat menjangkakan atau meramal masa hadapan. Begitulah ikhlasnya para pejuang radikal atau golongan kiri dahulu. Mereka berjuang dengan cara yang mereka rasa berpeluang untuk menyumbang tenaga dan pemikiran ke arah merealisasikan negara berdaulat.

Oleh itu, peranan masing-masing kelompok pejuang tidak dinafikan maka apa salahnya anak-anak cucu cicit mereka pula mengiktiraf sumbangan UMNO dan parti Perikatan dalam memberikan kemerdekaan serta mengagihkan taraf kewarganegaraan yang melayakkan mereka mendapat biasiswa contohnya tanpa mengira ideologi parti.

Sekiranya PKM berjaya menubuhkan kerajaan di Tanah Melayu dalam tempoh darurat dari tahun 1948-1960 maka nenek moyang kita pasti melalui jalan yang lain daripada jalan yang telah pun tercatat dalam sejarah yang kita nikmati hasilnya sekarang.

Sejarah dipelajari untuk dihayati dan sebaliknya bukan untuk dikesali dan dicaci serta dinafi sumbangan sesiapa..

Apa yang penting sekarang ialah bagaimana untuk mengisi kemerdekaan negara bukannya mengungkit siapakah yang lebih berjasa kepada negara inipada masa yang lampau..

Maka debat tidak perlu buat masa ini..

No comments:

Post a Comment