Saturday, August 13, 2011

HIKAYAT DARI LONDON


Pernahkah kita fikirkan padahnya bila kita mentertawakan orang lain kononnya orang yang kita ketawakan tidak mampu menyelesaikan masalah yang bagi kita begitu mudah untuk menanganinya.

Mungkin inilah yang patut kita katakan kepada negara Great Britain yang tebal dengan hak asasi manusia dengan kebebasan yang bernaung di bawah payung demokrasi ciptaan mereka.

Queen Elizabeth II memakai baju berwarna kuning sewaktu menerima kunjungan Datuk Seri Najib sebelum rusuhan tercetus.. Samada ianya sindiran kepada negara kita di hadapan PM kita atau sebaliknya dunia Melayu sekurang-kurangnya di Malaysia merasa tersindir sementara mereka yang menyokong perhimpunan Bersih 2.0 seolah mendapat kekuatan semangat atas nama hak asasi manusia.

Allah swt menunjukkan keganasan yang berlaku di Kota London serta beberapa buah bandar di Britain lebih besar rusuhan termasuk melibatkan kecederaan dan kematian. Di negara kita, ada puak-puak yang inignkan kematian supaya dapat melemparkan tuduhan kononnya polis Malaysia bertindak ganas ke atas para perusuh.

Kalau dalam hidup seharian seseorang individu tidak mampu mengamalkan nilai murni apakah jaminan kita bahawa mereka akan “bersopan” dan mampu mengawal perasaan marah yang membuak-buak ketika berada dalam perhimpunan aman. Kalau mahu secara aman bukankah lebih baik diadakan dalam kawasan yang tidak menganggu ketenteraman awam seperti di stadium umpamanya.

Rusuhan tersebut membuka peluang kepada perbuatan mencuri dan merompak premis perniagaan dan pembakaran kenderaan, bangunan, pasar raya malah balai polis oleh ribuan perusuh itu, juga seharusnya membuka mata rakyat negara ini betapa cekap dan tepatnya tindakan polis di Malaysia dalam menangani perhimpunan haram pada 9 Julai yang lalu.

Rusuhan itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak hati penduduk terhadap tindakan polis di Tottenham menembak mati seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah pada 4 Ogos.

Kira-kira 200 anggota keluarga lelaki dikenali Mark Duggan, 29, rakan-rakannya dan penduduk mengadakan perarakan bantahan yang bermula dengan tenang tetapi dalam beberapa jam kemudiannya bertukar menjadi rusuhan ganas.

Keganasan itu merebak ke beberapa bandar lain yang menyaksikan tindakan membakar harta benda awam, memecah masuk premis perniagaan dan merompak pelbagai barangan, malah ke tahap mengancam keselamatan dan nyawa pejalan kaki yang kebetulan lalu di situ.

Seorang pelajar Malaysia di London, Mohd Asyraf Haziq, 20, turut menjadi mangsa serangan ganas perusuh. Selain menjalani pembedahan rahang akibat dipukul, basikal dan beberapa barang lain miliknya telah dilarikan perusuh.

Rusuhan yang terburuk di England sejak beberapa abad itu mungkin disebabkan perusuh melihat polis di sana lemah. Ramai dari kalangan perusuh berkecenderungan untuk melakukan jenayah atau sememangnya penjenayah yang hanya menunggu kesempatan merompak.

Jika PDRM tidak bertindak cekap dan pantas menangani perhimpunan haram 9 Julai lepas, rusuhan seperti di sana boleh berlaku di Kuala Lumpur.

Anggota PDRM bersabar, bertindak tegas dan bijaksana sehingga perhimpunan haram selesai dalam masa beberapa jam sahaja dan tidak berhari-hari seperti di England.

Walau apapun puncanya. Kata Nurul Izzah punca perhimpunan di London akibat masalah ekonomi sedangkan di Malaysia terbit dari rasa tidak puashati penyokong pembangkang terhadap SPR. Soalnya, perhimpunan haram dengan janji secara aman bila disertai oleh mereka yang berkecenderungan mengganas akan memberi impak kepada keamanan serta keselamatan negara.

Sewaktu saya di Indonesia pada tahun 2000, kelihatan kumpulan “reformasi” sedang berarak ketika bersarapan pagi, seorang pekerja hotel beritahu saya, “Mereka dibayar untuk berarak”. Apakah di Malaysia juga dibayar?

Pembangkang terus ambil keempatan kata berapa banyak yang mesti dibayar kerana bilangan yang hadir terlalu ramai, jawab saya, mereka dibayar dengan janji-janji manis kalau PR berkuasa mentadbir Kerajaan Persekutuan. Kasihan mereka golongan kecewa yang tersisih dari arus perdana politik mahupun ekonomi. Jarang orang bersyukur atas apa yang mereka miliki hasil keamanan negara.

No comments:

Post a Comment