Friday, August 19, 2011

GIGIHNYA MUBALLIGH KRISTIAN



Sayyidina Ali pernah berkata: Kebenaran yang tidak dirancang akan dikalahkan oleh kebatilan yang disusun dengan rapi. Maksudnya semua kita tahu iaitu benar tapi tidak dirancang dengan baik akan kalah dengan orang yang tidak benar namun menyusun strategi kerjanya.

Kata-kata ini diucap oleh baginda Sayyidina Ali selepas Perang Siffin dan Majlis Tahkim yang menyaksikan kemenangan lebih berpihak kepada Muawiyah.

Demikian kisah dua orang sahabat Rasulullah s.a.w. yang ulama tidak berani menghukum walau sebesar debu tapak kaki kuda yang berlari merentas padang pasir.

Antara pendakwah Islam dan penyebar ajaran Kristian, manakah yang lebih terancang? Jawabannya boleh sahaja diberikan oleh semua kita.

Penyebar ajaran Kristian menggunakan pendekatan lebih bersifat kemanusiaan. Mereka mencari golongan yang bermasalah yang perlu dibantu. Anak-anak orang miskin diberikan tuisyen percuma. Pada setiap ulangtahun kelahiran menghadiahkan wang tunai RM300 dan hadiah iringan, membantu menyelesaikan masalah hutang, memberi wang tunai bagi membeli makanan dan ubat-ubatan bagi mereka yang sakit, menyediakan pengangkutan percuma untuk ke gereja pada setiap minggu, menziarahi orang sakit, memberi perhatian kepada orang yang sedang nazak di wad hospital serta menghulurkan pertolongan kepada keluarga mereka. Semua ini mampu dilakukan kerana mereka adalah gerakan missionari yang mempunyai dana kewangan yang sangat besar di peringkat antarabangsa sehingga mampu membiayai keperluan dan membayar “gaji” para petugas tanpa mengira masa dan tempat.

Mereka bijak menggunakan “touching point” seperti pendidikan, kesihatan dan memerhatikan kebajikan kumpulan yang ingin ditarik.

Kepada golongan muda, yang suka bersosial kaedah “Social Club” sangat berkesan bagi merapati mereka. Remaja yang suka kepada hidup bebas lepas lebih mudah ditarik kerana mereka tidak mahu hidup mereka dikongkong dengan peraturan.

Kaedah memberi wang, rokok, pakaian dan barangan keperluan kepada orang asli oleh muballigh Kristian sejak sekian lama mudah difahami. Ini kerana masyarakat orang asli tidak dapat melihat secara abstrak akan kepentngan aqidah yang benar. Pernah dikatakan seorang pendakwah Islam membawakan hadis bermula dengan “Qala..” dan seorang penyebar Kristian mebawa “Coca Cola”..maka orang asli lebih berminat dengan Coca Cola.

Saya pernah diajar oleh pensyarah saya bahawa kita berdakwah mesti menggunakan pendekatan yang menyebabkan orang asli tertarik kepada cara hidup Islam bukan kerana material yang kita mampu berikan kepada mereka. Ini kerana penghayatan aqidah Islam berasaskan kepada keimanan yang teguh dan nilai ini jauh lebih bermakna daripada kepentingan hidup duniawi. Kisah sahabat yang sanggup meninggalkan hartabenda di Mekah demi berhijrah ke Madinah, sumbangan para sahabat untuk berjihad dan sifat zuhud yang melingkari hidup mereka menjadi penyuntik motivasi berdakwah.

Apakah pemikiran orang Melayu Islam kini sudah menyamai pemikiran orang asli pada satu masa dulu? Lebih mementingkan Coca Cola daripada “Qala..”.lebih penting rokok dari solat, lebih mahu wang daripada aqidah yang benar?





No comments:

Post a Comment