Sunday, July 10, 2011

PAK A. SAMAD SAID


Sejak dari dulu saya merupakan peminat dua samad dalam dunia sastera negara pastinya A.Samad Ismail dan A. Samad Said. Sajak mereka berdua saya telaah kerana saya pelajar aliran sastera di Kolej Islam Kelang pada tahun 80an.

Saya pernah mengikuti ceramah Pak Samad Ismail dalam bidang penulisan pada tahun 1993 dan saya masih belum berpeluang berjumpa Pak Samad Said hingga kini.

Pak Samad ingin menyerahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai protes terhadap SPR yang menjadi perjuangan beliau. Beliau dan rombongan pun masuk ke dalam kawasan Istana Negara pada 9 Julai yang lalu.

Pihak polis yang sedang berkawal meminta Pak Samad supaya meninggalkan kawasan istana kerana mendapat arahan tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke dalam kawasan istana. Kawasan istana sememangnya tidak boleh dimasuki sewenang-wenangnya pada hari biasa apatah lagi pada hari seluruh negara memerhati akan apa yang berlaku pada tarikh 9 Julai tersebut.

Polis mengulangi peringatan agar meninggalkan tempat tersebut. Mereka masih berdegil dan berkata hanya mahu menyerahkan memorandum kepada DYMM YDPA. Polis bertegas mereka tidak boleh masuk ke dalam istana walau dengan apa tujuan sekalipun.

Pak Samad kemudiannya mendakwa bahawa DYMM berkenan menerima beliau mengadap. Sekiranya benar pun, itu bukan urusan polis walau sekalipun Pak Samad boleh menunjukkan surat dari pihak istana yang menyatakan kesudian Tuanku untuk berjumpa dengan beliau.

Mereka berkata hanya mahu menyerahkan memorandum sahaja secara aman. Pak Samad, Istana Negara adalah kawasan larangan dan sekiranya Pak Samad ingin berjumpa dengan DYMM seperti Datuk Ambiga, pihak istana akan memaklumkan kepada pengawal supaya membenarkan tetamu masuk. Bukan mudah untuk berjumpa mengadap Tuanku dengan tanpa persediaan terlebih dahulu daripada pihak istana.

Datuk Ambiga mengadap Tuanku pada tarikh yang diperkenankan oleh Tuanku sendiri. Bila Tuanku berkenan menerima mengadap Ambiga, sesiapa pun tidak boleh berkata apa-apa walaupun mereka tidak bersetuju dengan peristiwa tersebut. Tapi lain halnya dengan Pak Samad. Kalau benar Tuanku bertitah boleh berjumpa, maka pastilah dengan tarikh dan tempat yang diperkenankan baginda walau di mana pun. Bukan dengan cara meredah istana begitu sahaja.

Kita hormat tugas pihak polis yang berkawal di situ. Mereka maminta berkali-kali dengan baik dan tegas supaya meninggalkan tempat tersebut dengan kadar segera.

Setelah pihak polis tidak membenarkan mereka masuk, seorang haji meminta pihak polis pula menyampaikan memo tersebut. Polis tidak boleh menerima kerana bukan tugas di bawah bidangkuasanya. Kalau polis menerima, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib kerana mencampuri urusan yang bukan tugasnya.

Dan polis telah memberi arahan supaya meninggalkan tempat sebelum tindakan kekerasan diambil. Polis tidak menggunakan kekerasan bahkan tidak menyentuh sedikit pun tubuh badan mereka walau dengan cara menepuk bahu konon menunjukkan kemesraan.

Saya kasihan kepada Pak Samad. Polis yang bertugas pun miungkin pernah menelaah sajak Pak Samad dalam kelas sewaktu belajar dulu. Sayangnya Pak Samad salah memilih jalan perjuangan.

Mungkin pak samad masih nostalgia dengan penulisan beliau menentang penjajah dulu tapi sedarlah Pak Samad, kita sudah merdeka sekarang dan janganlah jatuhkan nama baik Pak Samad pada mata kami semua yang pernah menikmati hasil karya Pak Samad.

No comments:

Post a Comment