Monday, July 4, 2011

LIMA SENDI UTAMA NEGARA



YAB Perdana Menteri Malaysia sewaktu berucap dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri telah menggariskan lima sendi utama kepada negara Malaysia bagi menjamin keutuhan dan keunggulan.

Lima sendi utama tersebut ialah keharmonian, kestabilan politik, pasaran terbuka, Perlembagaan Persekutuan dan dasar yang berterusan.

Datuk Seri Najib sebenarnya mengulangi ingatan demi ingatan yang telah beliau berikan kepada seluruh rakyat sebagai mesej penting yang mesti dihayati supaya negara terselamat daripada sebarang anasir subversif yang cuba didalangi oleh mereka yang berniat jahat untuk menimbulkan suasana tegang dalam negara.

Lima sendi utama tersebut ditegaskan kembali oleh Perdana Menteri sebagai memudahkan pemahaman kita terhadap kepentingan menghayati falsafah Rukunegara dan semangat Perlembagaan Persekutuan yang telah manjadi pedoman sejak merdeka demi mengekalkan keharmonian antara kaum.

Rakyat sama-sama bertanggungjawab mengekalkan keharmonian antara kaum. Sebarang isu sensitif dan menghiris perasaan kaum lain mesti dielakkan demi mengekalkan perpaduan yang telah sekian lama terjalin. Kalau kita dapat mengekalkan keharmonian selama lebih 50 tahun mengapakah kita tidak berusaha untuk terus mengekalkan keharmonian tersebut. Keharmonian yang ada menimbulkan rasa tidak senang kepada musuh yang sentiasa ingin memecahkan hubungan baik yang dipertahankan selama ini. Mereka irihati dengan keamanan yang kita miliki dan keharmonian yang terjalin kemas di sanubari rakyat.

Keharmonian negara berkait rapat dengan kestabilan politik. Pihak yang tidak puashati dengan kegagalan mereka merampas Kerajaan Persekutuan sedang menggunakan apa sahaja cara untuk merosakkan kestabilan dan keselamatan negara. Anasir-anasir yang berada di dalam negara sendiri ingin menumbangkan kerajaan dengan cara tidak sah melalui penganjuran demonstrasi dan suasana kacau bilau yang mereka adakan bagi membuktikan kononnya kerajaan yang memerintah gagal memberikan jaminan keselamatan kepada rakyat.

Negara mengamalkan sistem ekonomi lassez faire dan pasaran terbuka memberikan peluang yang samarata kepada mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan. Usaha kerajaan memberikan subsidi dan kemudahan-kemudahan lain membantu meningkatkan usahawan Melayu tidak mengenepikan kebajikan rakyat. Usaha kerajaan menubuhkan Klinik 1Malaysia, kedai rakyat dan sebagainya adalah bukti kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat. Kebajikan rakyat tetap terpelihara di samping mengejar pembangunan ekonomi yang berdaya saing dalam pasaran terbuka. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan direalisasikan melalui beberapa program transformasi melibatkan sektor awam dan swasta.

Perlembagaan Persekutuan yang luhur menjadi tonggak kepada perpaduan kaum. Perlembagaan Persekutuan tidak harus dipertikaikan. Negara dapat mencapai tahap pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan lantaran perlembagaan memberikan ruang kepada semua rakyat untuk hidup dengan aman dan damai yang memungkinkan segala aktiviti ekonomi dapat dilaksanakan dengan amat baik. Hak rakyat dilindungi, keadilan ditegakkan, kekacauan diharamkan maka lahirlah masyarakat yang bekerja menyumbang kepada pembangunan negara.

Dasar-dasar negara yang berterusan dalam menyusun semula masyarakat, menggalakkan wujudnya masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera, menyuburkan penggunaan teknologi moden bagi mengoptimumkan pengeluaran serta memaksimumkan keuntungan bagi melonjakkan Keluaran Negara Kasar dan KNK bagi kesejahteraan rakyat membuktikan bahawa kerajaan konsisten dalam memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Maka janganlah kita rosakkan apa yang telah kita nikmati sekarang. Kita mesti menentang semua rancangan jahat mereka yang cemburu dengan kedamaian sebagai nikmat kemerdekaan.

No comments:

Post a Comment