Sunday, July 10, 2011

APA UNTUNGNYA BERTELAGAH



Kita sebaiknya kalau mengaku seorang yang berpendidikan maka seharusnya kita dapat melihat secara keseluruhan dan tidak memisah-misahkan beberapa pertimbangan sehingga melupakan kepada maudhu’ asal tujuan perbincangan kita.

Apa yang menjadi taktik penyokong pembangkang ialah mengajak kita berhujjah tetapi mereka cepat akan “twist” atau “spin” hingga melarikan diri daripada berbincang secara ilmiah.

Sebagai contohnya mereka akan meminta untuk menyenaraikan beberapa kategori ulama. Sudah pasti mereka tidak mahu membincangkan mengenai pembahagian kategori ulama seperti ulama tauhid atau usul, ulama fiqah, ulama tasawwuf dan sebagainya atau pembahagian ulama seperti ulama silam atau kontemporer dan sebagainya.

Apa yang mereka mahu ialah membahagikan ulama kepada ulama baik dan ulama jahat. Ulama jahat ialah ulama yang menyokong kerajaan. Ulama yang dengan terang-terangan memegang jawatan dalam parti PAS sewaktu masih berkhidmat dengan kerajaan akan dianggap berani menentang kemungkaran kononnya.

Kalau benar hebat serta berani mengapa tidak meletak jawatan sahaja dan terus bergiat aktif dalam politik? Bagi kita yang pernah bekerja dengan jabatan kerajaan barangkali kita pernah mendengar ucapan daripada mufti Negara ASEAN seperti Mufti Kemboja Tuan Haji Yusof.

Mufti Kemboja dilantik dari kalangan ulama termasuk imam yang dengan persetujuan mereka bersama maka dilantik Mufti yang akan menjalankan tugas. Gaji mufti tidak disediakan peruntukan dan untuk menyara keluarga, mufti bekerja sebagai nelayan. Jawatan mufti yang dipegang bukan untuk menyara keluarga tetapi lebih kepada tanggungjawab membela kedudukan agama Islam dalam negara serta memelihara kepentingan umat Islam di sana.

Teringat saya kepada salah sebuah jamaah Islam dulu yang menubuhkan sekolah tadika Islam. Mereka membuat kertaskerja menubuhkan sekolah tadika malangnya mereka sendiri tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut. Bahkan mereka sendiri bertugas sebagai Guru Pendidika Islam di sekolah-sekolah menengah kerajaan kerana gaji lumayan yang diberikan oleh kerajaan lantaran memiliki ijazah daripada universiti.

Ada juga bekas pegawai tinggi agama yang berkhidmat dengan kerajaan setelah pencen (pastinya duit pencen tetap diambil maklum kerana haknya) bergiat dengan NGO atau parti politik dan mulalah “menyerang” kononnya kerajaan tidak pernah berniat ikhlas memperjuangkan Islam. Maka sebenarnya yang tidak ikhlas dalam memperjuangkan Islam ialah dirinya kerana beliau lah pegawai kerajaan tersebut yang dibayar gaji serta elaun oleh kerajaan.

Maka saya sekadar ingin bertanya: Ulama kategori manakah beliau ini? Dulu ulama jahat selepas pencen baru bertukar menjadi ulama baik?

Ulama ialah pejuang Islam kerana mereka pewaris Nabi. Sudah pasti niat mereka untuk mendaulatkan Islam dalam Negara. Slogan Negara Islam dilaungkan hingga serak suara berceramah.disebutkan dengan nada yang jelas dan garang bahawa sesiapa yang tidak ada cita-cita langsung untuk menegakkan Negara Islam samada dalam diri, keluarga, masyarakat dan Negara maka pilih sahaja samada mahu mati sebagai Yahudi, Nasrani atau sebarang mati seperti matinya seorang yang jahiliyyah.

Demi kepentingan politik maka istilah Negara Islam ditukar pula kepada istilah Negara Berkebajikan.

Maka bilakah masa dikatakan sebagai ulama baik dan ulama jahat. Saya sekadar ingin bertanya..wallahu a’lam..

No comments:

Post a Comment