Thursday, May 26, 2011

POLITIK MELAYU: PERLUKAH DILETAKKAN CALON MELAYU DALAM SEMUA KAWASAN MAJORITI PENGUNDI MELAYU PADA PILIHANRAYA UMUM KE 13




Kebelakangan ini sering kita mendengar perkataan “rasis” dilemparkan kepada mereka yang bercakap mengenai Ketuanan Melayu serta keperluan mempertahankannya sebagai asas pembentukan negara bangsa sejak tanahair mencapai kemerdekaan. Ketuanan Melayu adalah konsep yang berteraskan kepada persetujuan dalam pakatan murni yang telah membentuk Kontrak Sosial dalam konteks Persekutuan Tanah Melayu.

Persefahaman yang berbentuk “Kontrak Sosial” adalah merupakan perkara biasa di negara-negara lain di dunia yang dirangka bersesuaian dengan keperluan masing-masing. Dalam konteks Persekutuan Tanah Melayu, ketiga-tiga kaum atau etnik utama telah bersepakat dalam beberapa perkara bagi mewujudkan kestabilan politik serta keharmonian negara sebagai asas kepada pembinaan kedaulatan negara pasca penjajah.

Kejayaan mempertahankan semangat Kontrak Sosial ditonjolkan melalui kerjasama parti UMNO, MCA dan MIC yang mewakili tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India dalam sebuah gabungan parti Perikatan. Pilihanraya sejak tahun 1959 telah membuktikan bahawa “cara berfikir” seperti ini memungkinkan gabungan ini mendapat mandate rakyat sebagai manifestasi perkongsian kuasa sebagai asas kepada kemakmuran negara.

Walaupun buku “Malay Dilemma” buah fikiran Dr Mahathir Mohamad tidak disenangi hingga membawa kepada pengharamannya, ianya tidak bermaksud mengajak pembaca supaya bersikap rasis namun sebaliknya untuk menyedarkan masyarakat Melayu supaya berusaha bersungguh-sungguh menngkatkan taraf dan kualiti hidup dalam kerangka Kontrak Sosial.

Kerjasama ini diteruskan dengan gabungan Perikatan ditukar kepada Barisan Nasional pada tahun 1974 di bawah pimpinan Tun Razak hingga kelihatan hanya BN sahajalah mampu memerintah negara dengan baik serta dapat diterima oleh semua kaum.

Keputusan terus memihak kepada BN dengan meraih keputusan cemerlang dalam PRU 11 pada tahun 2004 yang telah meletakkan parti berkenaan dalam keadaan yang sungguh selesa. Kemerosotan pengaruh BN dalam PRU 10 pada tahun 1999 diubati dengan kemenangan besar PRU 11.

Keputusan PRU 12 pada tahun 2008 telah merubah landskap politik negara. BN masih diberi mandat membentuk Kerajaan Persekutuan dan telah hilang 5 buah Kerajaan negeri.

Ingatan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa orang Melayu akan hilang kuasa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan Persekutuan dapat difahami dengan melihat kepada jadual di bawah.

Kerusi Melayu yang mewakili suara orang Melayu dalam Dewan Rakyat tidak seharusnya dilihat daripada bilangan kerusi wakil rakyat Melayu dalam Dewan Rakyat sahaja tanpa mengira parti. Sebagai contohnya, walaupun wakil Rakyat Melayu tersebut terdiri dari kaum Melayu tetapi dari parti DAP, PAS atau PKR, ianya tidak boleh kita sebutkan sebagai mewakili kepentingan Melayu. Berdasarkan kepada maksud Tun Dr Mahathir, parti selain UMNO yang meletakkan calon dari kaum Melayu hanya dijadikan sebagai “alat” untuk memenuhi agenda serta kepentingan pemimpin mereka. Keadaan yang berlaku selepas PRU 12 menyaksikan parti PAS tidak berupaya mempertahankan kepentingan Melayu di negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak sebelum diambil alih oleh BN.

Realiti semasa menunjukkan daripada 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Negara, parti Umno menang 78 kerusi, MCA 15 kerusi, MIC tiga kerusi dan Gerakan 2 kerusi.. Di Sabah dan Sarawak, PRS mendapat enam kerusi, SUPP enam, PBB 14, PBRS satu, LDP satu, UPKO empat, SPDP empat dan PBS tiga.
Sementara parti pembangkang pula, PKR 30, DAP 28, PAS 23, PSM satu dan Bebas satu kerusi.
PRU 12 menunjukkan perubahan aliran dan juga sikap pengundi. Antara aliran tersebut ialah:
a) Calon Melayu daripada BN kalah dalam kawasan majoriti Melayu.
b) Calon Cina daripada BN tidak diterima dalam kawasan majoriti Melayu atau Cina
c) Calon pembangkang bukan Melayu mendapat sokongan dalam kawasan Melayu.
d) Calon pembangkang Melayu mendapat sokongan dalam kawasan bukan Melayu.

Antara persoalan yang perlu difikirkan ialah:
1. Perlukah dikekalkan formula kuota pembahagian calon pilihanraya mengikut kaum seperti yang diamalkan sebelum ini dalam PRU 13 nanti bagi mengekalkan Ketuanan Melayu?
2. Menjelang setiap pilihan raya ada sahaja tuntutan penambahan dan pertukaran kerusi oleh parti komponen BN. Antaranya ialah sebagaimana berlaku dengan penambahan kerusi Parlimen dan DUN di Negeri Johor. Parti komponen mungkin akan membuat beberapa tuntutan samada pertambahan kuota ataupun beberapa pindaan dalam pelaksanaan dasar kerajaan yang melibatkan kaum.
3. Adakah kerusi Umno atau BN akan terkorban semata-mata ingin mempertahankan kuota agihan kerusi antara kaum? Kebijaksanaan sangat penting untuk memilih samada bagi menjaga hati parti komponen tetapi mengecewakan harapan rakyat selaku pengundi terbanyak dalam sesuatu kawasan pilihanraya yang akan menyumbang kepada kekalahan.
4. Pada PRU ke 12, UMNO lebih banyak memenangi kerusi berbanding parti komponen lain dalam BN. Ramai calon Gerakan, MCA dan MIC tewas dan wajarkah kesalahan kekalahan mereka diletakkan kepada UMNO.
5. Bolehkah kita letakkan asas pembahagian kerusi ialah mengikut majoriti kaum. Berdasarkan kepada idea ini, parti komponen yang berteraskan kaum akan diberi kerusi di mana majoriti kaumnya yang tertinggi dalam kawasan tersebut.
6. Bolehkah kuota ini dikekalkan sedangkan orang Melayu kini telah berpecah kepada sekurang-kurangnya tiga kelompok pengundi iaitu penyokong UMNO, PAS dan PKR. Dengan kata lain, Melayu bukan sahaja mempunyai pengaruh yang besar didalam BN yang merupakan parti pemerintah, tetapi Melayu juga mempunyai pengaruh yang majoriti di dalam parti pembangkang. Sekiranya parti-parti Melayu ini dapat bergabung, apakah kesannya kepada landskap politik negara?

7. Apakah senario hari ini semakin menguatkan suara Melayu dalam Dewan Rakyat atau semakin menghakis Ketuanan Melayu yang mnenjadi asas kepada perpaduan nasional selama ini?

No comments:

Post a Comment