Monday, May 9, 2011

ELEMEN-ELEMEN SEBUAH NEGARA

Ciri-ciri atau elemen yang membentuk sesebuah negara adalah seperti berikut:

• Tanahair
• Rakyat
• Kerajaan
• Kedaulatan

TANAHAIR

Kedudukan Malaysia berada pada lokasi yang sangat strategik bagi Dunia Barat dan Dunia Timur sejak dahulukala lagi. Sebagai sebuah negara yang berada di garisan Khatulistiwa, negara memiliki flora dan fauna yang kaya dan menarik pelancong. Tanah yang subur membolehkan negara melaksanakan aktiviti perladangan berskala besar bagi tanaman getah dan kelapa sawit. Secara umumnya, negara bebas dari bencana alam yang serius seperti tanah runtuh, gempa bumi, tanah kering kontang dan gunung berapi.

Dunia telah mengiktiraf Kepulauan Tioman dan Sipadan sebagai antara khazanah alam semulajadi terbaik di seluruh dunia. Malaysia sebagai sebuah negara maritim memiliki laluan Selat Melaka antara yang paling sibuk dengan wujudnya Pelabuhan Kelang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

RAKYAT

Pada awal abad ke 16, penjajahan Barat ke atas Tanah Melayu telah mengubah landskap negara daripada sebuah negara yang menjadi tempat bermastautin satu bangsa sahaja iaitu Melayu kepada sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik. Etnik yang pelbagai ini menjadi aset negara yang amat berharga.

Usaha kerajaan yang berterusan telah menurunkan kadar kemiskinan antara kaum. Sebagai contohnya dalam tempoh tidak sampai 40 tahun (1970 hingga 2007), kadar miskin telah menurun. Bagi kaum Melayu, kadar miskin telah turun sebanyak 61% (1970-66%) kepada 5.1%, Cina turun sebanyak 21% (1970-21.6%) kepada 0.6% dan bagi kaum India turun 32% (1970-34.5%) kepada 2.5%.

Dari segi bilangan jutawan dan billionaire telah menunjukkan peningkatan yang ketara. Status sosioekonomi rakyat telah meningkat pada peringkat nasional malah apa yang penting ialah jurang antara etnik telah dapat dikurangkan.

Kemerdekaan serta kemakmuran yang kita nikmati memungkinkan kita untuk melahirkan tokoh korporat, juara sukan, pencipta produk tertinggi samada peringkat nasional mahupun di persada antarabangsa.




KERAJAAN

Kemerdekaan negara yang dicapai pada tahun 1957 memberi peluang kepada kita untuk bangkit semula setelah dijajah selama 446 tahun 7 hari oleh penjajah Barat dan Timur. Kebijaksanaan pemimpin mendapatkan kemerdekaan serta perancangan strategik pemimpin kini dan terdahulu telah mengangkat nama negara di mata dunia. Kesinambungan perjuangan Perdana Menteri telah berjaya mewujudkan kestabilan politik, sosial dan ekonomi berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara,

KEDAULATAN

Secara mudahnya, Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Malaysia mempunyai sempadan tanahair yang diakui dunia, mempunyai Perlembagaan Persekutuan, memiliki Rukunegara yang mantap, undang-undang yang adil dan mengambilkira semua kaum dengan kepelbagaian agama dan budaya berpaksikan kepada keamanan dan keselamatan. Sebarang ancaman terhadap kedaulatan negara telah dapat ditangani dengan secara bijaksana olah pemimpin kita menyebabkan negara dipilih untuk mengetuai persidangan antarabangsa di peringkat negara-negara ASEAN dan antarabangsa. Pandangan pemimpin kita dalam menanagni konflik antarabangsa disegani oleh negara-negara dunia. Peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan ASEAN menjadi bukti kedaulatan Malaysia di persada antarabangsa.

No comments:

Post a Comment