Thursday, April 28, 2011

FARHANI BINTI ABD MUN'EM

Saturday, April 23, 2011

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH SEKOLAH AGAMA PEKAN NANAS








Alhamdulllah dan tahniah kepada Farhani kerana mendapat tempat pertama dan pelajar terbaik UPKK dan kepada Fathiyah dan Fadhilah yang mendapat hadiah masing-masing. Semoga mendapat kejayaan yang lebih gemilang pada masa-masa yang akan datang..insya Allah..

TULISAN DALAM JURNAL BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU


Tulisan saya bertajuk gaya Kepimpinan Guru Besar dan hubungannya dengan Faktor-faktor Kepimpinan di sekolah penerima Anugerah Sekolah Cmerlang di Negeri Melaka dimuatkan dalam jurnal Bahagian Pendidikan Guru tahun 2010. Alhamdulillah..

Friday, April 22, 2011

PESAN IMAM AL-GHAZALI



Jika kita jumpa kanak-kanak
-anggaplah mereka lebih mulia dari kita kerana mereka belum banyak melakukan dosa berbanding kita

Jika kita jumpa orang tua
-anggaplah mereka lebih mulia dari kita kerana mereka lebih banyak melakukan amal ibadah berbanding kita

Jika kita jumpa orang alim
-anggaplah mereka lebih mulia dari kita kerana mereka lebih banyak ilmu yang dipelajari dan diketahui

Jika kita jumpa orang jahil
-anggaplah mereka lebih mulia dari kita kerana mereka melakukan dosa dalam keadaan jahil sedangkan kita melakukan dosa dalam keadaan kita tahu

Jika kita jumpa orang jahat
-anggaplah mereka lebih mulia dari kita kerana mungkin satu hari mereka akan insaf dan bertaubat atas kesalahan mereka

Jika kita jumpa orang kafir
-katakan dalam hati bahawa pada satu hari nanti mereka akan diberi hidayah oleh Allah dan akan memeluk Islam maka dengan itu dosa-dosa mereka akan diampunkan Allah.

Kesimpulannya: Maka janganlah kamu berlagak sombong kononnya kamu lah yang paling baik amalan berbanding orang lain. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui..

Sunday, April 17, 2011

GAGASAN 1 MALAYSIA


Sejurus selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Dato’Seri Najib memperkenalkan Gagasan 1Malaysia

Gagasan 1Malaysia: Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan adalah satu falsafah induk yang merentas dasar dan pelaksanaan.

Matlamat akhir 1Malaysia adalah perpaduan nasional yang telah menjadi matlamat kebangsaan secara berterusan sejak negara mencapai kemerdekaannya 53 tahun dahulu. Ia telah lama menjadi keutamaan pentadbiran PM terdahulu bermula daripada Almarhum Tunku Abd Rahman.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini sebenarnya adalah meneruskan perjuangan serupa tetapi dicorakkan untuk mencapai bentuk perpaduan yang lebih sempurna sebagai matlamat perdana. Dan usaha ini juga tidak kita lakukan secara bermusim tetapi telah bermula sejak negara mencapai kemerdekaan dan sehingga kini berterusan tanpa noktah.

Memiliki gagasan ini perlu dilihat dan difahami sebagai aspek yang penting kerana sebuah negara majmuk seperti Malaysia, jika tidak disokong sebarang agenda perpaduan nasional, kesemua cita-cita kebangsaan lain seperti usaha mencapai taraf hidup lebih baik untuk setiap rakyat akan hanya tinggal menjadi angan-angan kosong.

Tanpa perpaduan nasional, kestabilan politik tidak akan wujud sedangkan itulah teras kepada segala-galanya.

Gagasan 1Malaysia tetap berpaksi pada Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Prinsip serta semangat Perlembagaan Negara akan sentiasa menjadi landasan kepada pembentukan perpaduan nasional.

Sunday, April 10, 2011

PENDIDIKAN AL-QUR’AN


TV3 telah menyiarkan dokumentari mengenai masalah sosial iaitu buang anak. Laporan menyebutkan bahawa seorang anak luar nikah lahir dalam setiap 17 minit di negara kita. Seorang doktor di Johor Bahru pernah berceramah dengan fakta bahawa masalah pembuangan bayi di daerah tersebut telah meningkat hinggakan statistik pembuangan bayi dikira secara harian bukan lagi dengan mingguan ataupun bulanan.

Saya ambil contoh masalah “buang anak di tepi jalan” sebagai antara gejala yang nampaknya semakin membimbangkan kita. Masalah penyalahgunaan dadah masih menghantui kita dengan anggaran dalam setiap 35 minit muncul seorang penagih baru sebagai tambahan kepada bilangan penagih sedia ada.

Kerajaan kita telah menyedari perlunya pembangunan dan kemajuan negara tidak hanya ditumpukan kepada aspek pembangunan material semata sebaliknya ia mesti dibangunkan secara holistik seperti dalam cabaran keempat wawasan 2020 iaitu bagi melahirkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika. Inilah acuan kemajuan kita yang tidak menjadikan negara Barat sebagai suri teladan dalam mencapai Wawasan 2020.

Fenomena yang menakutkan ini sepatutnya membawa kita supaya menyedari akan pentingnya kita kembali kepada Pendidikan al-Qur’an dalam membentuk Keluarga Sejahtera.

Syeikh Abu Hamid Al-Ghazali ketika membahaskan mengenai peranan ibubapa dalam pendidikan menyebutkan:

“Ketahuilah bahawa anak kecil merupakan amanah bagi kedua ibubapanya. Hatinya yang masih suci merupakan permata alami yang bersih dari pahatan dan bentukan. Dia sedia diberi pahatan apapun dan condong kepada apa saja yang ditunjukkan kepadanya. Jika dibiasakan dan diajarkan kebaikan, maka dia akan tumbuh dalam kebaikan dan berbahagialah kedua ibubapanya di dunia dan Akhirat, juga setiap pendidik dan gurunya. Akan tetapi jika dibiasakan keburukan dan dibiarkan sebagaimana binatang ternak, nescaya akan menjadi jahat dan binasa. Dosanya pun ditanggung oleh guru dan walinya. Maka hendaklah ibubapa memelihara, mendidik dan membina serta mengajarinya akhlak yang baik, menjaganya dari teman-teman jahat, tidak membiasakannya bersenang-senang dan tidak pula menjadikannya suka kemewahan, sehingga akan menghabiskan umurnya untuk mencari hal tersebut bila dewasa.”

Pendidikan al-Qur’an dapat kita ertikan sebagai pendidikan bagi menguasai kemahiran membaca al-Qur’an, dengan sebutan dan tajwid yang betul, memahami kandungan al-Qur’an seperti hukum halal dan haram, pengajaran dari kisah umat terdahulu yang tujuan akhir pendidikan al-Qur’an ialah meletakkan al-Qur’an sebagai panduan dan rujukan utama dalam setiap spektrum kehidupan.

DOA NABI SULAIMAN


بـســم الـلّـه الـرحــمـن الـرحيـم

Inilah doa yang pernah dipohon oleh Nabi Sulaiman a.s ketika menjangkau 40 tahun. Doa ini dipesan supaya menjadi amalan harian.

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ

شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ

صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِين


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata:

"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepa amu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".
Al-Ahkaf 15

Kita belajar dari Nabi Sulaiman a.s satu doa yang dirakamkan dalam al-Quraan. Sesuatu doa, selain dianggap sebagai ibadah, ia juga dianggap apa yang kita targetkan.

Apabila kita mengulang sesuatu doa itu, bermakna kita sangat inginkan perkara itu berlaku. Mukmin bijak yang rajin berdoa, sepatutnya akan melakarkan cita-citanya itu dan akan mengejarnya. Mengejar dengan disusuli dengan rangkaian amal-amal yang tertentu.

Ayuh! kita perhatikan doa tersebut satu persatu:
1. قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيّ
Kita diajar untuk memohon agar Allah mengilhamkan kepada kita, agar kita menjadi insan yang pandai bersyukur. Ramai manusia diatas muka bumi ini mudah lupa akan nikmat-nikmat Allah S.W.T yang terlalu banyak.

Salah satu cara untuk kita mudah bersyukur, kita hendaklah sentiasa menyebut-nyebut nikmat Allah S.W.T. Kita boleh lakukan secara bersendirian atau sebutkan kepada orang yang terdekat dengan kita; seperti suami, isteri, adik beradik dan anak-anak kita dan mungkin ahli usrah kita. وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Kita juga boleh menulis di atas kertas atau paparkan di skrin computer senarai nikmat-nikmat Allah, khusus yang dikurnia kepada kita. Sudah tentu kita akan mulakan dengan nikmat Iman, Islam dan nikmat berjemaah. Barulah diikuti dengan nikmat-nikmat lainnya.

Buruk mana keadaan ayah dan ibu kita (kalau ada), mereka tetap penyebab kelahiran kita, sekurang-kurangnya, mereka pembuka jalan untuk kita hidup di dunia dan kini kita bertemu Islam dan Iman.

Lebih dari itu, merekalah yang menyekolahkan kita, mengajar kita ilmu-ilmu asas, akhlak dan lain-lainnya. Kata Zamahsyari nikmat Allah yang dikurnia kepada mereka, sebenarnya adalah nikmat Allah kepada kita juga.

Sebab itu, carilah dan syukurilah nikmat-nikmat Allah kepada kita dan nikmat-nikmat Allah kepada kedua orang tua kita.
1. وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ
Kita juga memohon ilham Allah agar kita kini yang dah menjangkau 40an dan lebih, pandai memilih untuk beramal. Mungkin kita menyangka kita beramal bermacam-macam, dan semuanya amal solih.

Tetapi di dalam banyak-banyak amal kita, yang kita sangka solih itu, apakah menepati ridha Allah.
Kita juga berharap agar kita terus memilih amal-amal yang tepat di saat-saat penghujung kehidupan kita ini.

Sebagai contoh; adakah tepat di saat ini kita masih mengejar dunia dan kerjaya, lebih dari tugas dakwah dan jihad kita. Mungkin tepat dan mungkin tidak tepat.

Oleh itu kita menyemak amalan kita dan memohon agar Allah membantu kita untuk membuat keputusan dan beramal dengan tepat, dalam sesuatu perkara.
1. وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي
Dalam usia sebegini, mungkin ada yang sudah bercucu, fikiran kita sepatutnya sibuk memikir masa depan anak cucu kita. Kebimbangan, samada mereka mewarisi perjuangan ini, atau memadai menjadi Melayu (atau warga Malaysia) yang baik sahaja, atau memadai mereka dapat pekerjaan; yang mana banyak bermain di kepala kita? Atau kita masih mengejar kemanisan dunia. Dan tidak mempedulikan mereka.

Kita mengharap segala kebaikan menumpu dan menuju kepada anak zuriyat kita; mengiringi mereka bertemu dengan Allah S.W.T. Iman mereka, akhlak mereka, pasangan mereka, pelajaran mereka, pekerjaan mereka; semuanya bermain di fikiran seorang yang telah melebihi 40an.
1. إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ
Di saat ini, sewajarnya kita juga membanyakkan rasa bersalah kita sepanjang hidup kita. Dari mengungkit dosa-dosa silam yang besar, mahupun pengorbanan yang sedikit dan sangat kecil, yang kita berikan di jalan Allah, di usia kita muda bertenaga dulu.

Atau kita juga bayangkan rasa bersalah kerana kurang menguasai ilmu, tidak bersungguh belajar bahasa Arab, tidak meningkatkan diri dalam bidang yang kita lemah.

Atau kita juga bayangkan rasa bersalah kerana kurang beribadah, berzikir, berpuasa, bersedekah dan seumpamanya.

Dosa kita kepada Allah, dosa kita kepada al-Quraan, dosa kita kepada Rasul S.A.W, dosa kita kepada ibubapa, dosa kita kepada ulama’ dan para guru, dosa kita kepada jemaah, dosa kita kepada kaum keluarga, dosa kita kepada anak isteri atau suami, dosa kita di tempat kerja, kepada sahabat handai, jiran dan dosa kita kepada alam semesta apabila kita merosakkannya.

Maka terasa erti taubat kita, apabila kita mampu membayangkan kekesalan kita itu, ketika itu berguguranlah air mata kita.
1. وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Akhirnya kita mohon kepada Allah dan seolah-olah kita berjanji kita akan kekal sehingga mati kita; bahawa kita adalah seorang muslim yang iltizam dengan tuntutan-tuntutannya.

Kita tidak malu untuk mengisytihar bahawa kita menyerah diri kepada Allah, bersama-sama orang yang menyerah diri. Kita hidup dan mati bersama perjuangan Islam. Aqidah yang benar, ibadah yang sahih, akhlah yang indah, syariat yang adil; semuanya perjuangan kita.

Kita bersama muslimin yang lain, berterus terang mengatakan, yang hak itu hak dan yang batil itu batil. Kita tidak berpura-pura bersama yang batil kerana mengejar kelazatan dunia.

Kita bersama semua pejuang-pejuang Islam berterus terang untuk memerdekakan Masjidil-Aqsa.

Manisnya doa ini. Maka masukkan ia bersama wirid al-ma’thurat kita setiap hari.

Ulangkannya beberapa kali mengikut ketenangan yang kita kecapi. Di pagi hari, di malam hari, hadirkan maknanya.

DIALOG IBLIS DENGAN ALLAH S.W.T.


Anas bin Malik r.a. berkata: Iblis telah bertanya pada Allah, katanya : "Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan anak Adam tempat kediaman untuk mereka berteduh dan berzikir kepada Mu, oleh itu tunjukkanlah padaku tempat kediaman untukku."

Firman Allah: "Tempat kediamanmu adalah di dalam tandas."

Iblis bertanya lagi: "Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan anak Adam berkumpul di masjid, di manakah pula tempatku berkumpul?"

Firman Allah: "Tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, pesta, pusat membeli belah, kelab malam, tempat hiburan serta majlis-majlis maksiat."

Iblis bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau berikan anak Adam itu kitab (al-Quran) untuk mereka membacanya, tunjukkanlah apa pula bahan bacaanku?"

Firman Allah: "Bacaan untukmu ialah syair dan sajak yang melalaikan."

Iblis bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan kepada mereka cerita-cerita benar, apakah pula cerita bagiku?"

Firman Allah: "Cerita bagimu ialah kata-kata kesat dan dusta."

Iblis bertanya:"Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan azan kepada anak Adam untuk mereka memanggil orang sembahyang, apa pula azan untukku?"

Firman Allah: "Azan untukmu ialah seruling."

Iblis bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau telah menghantar utusan Mu dari para rasul dan juga nabi, siapakah yang menjadi utusanku?"

Firman Allah : "Para utusan mu terdiri daripada bomoh, tabib dan dukun yang mensyirikkan Aku."

Iblis Bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau berikan kitab suci al-Quran yang bertulis kepada mereka, apakah pula tulisan bagiku?"

Firman Allah: "Tulisanmu ialah tatu, gincu serta lukisan di badan."

Iblis bertanya:"Ya Tuhanku, Engkau berikan anak Adam perangkap, apakah pula perangkap bagiku?"

Firman Allah : "Perangkap bagimu ialah wanita."

Iblis bertanya: "Ya Tuhanku, Engkau berikan mereka minuman yang halal yang disebutkan nama-Mu, apakah pula minuman untukku?"

Firman Allah : "Minumanmu ialah sesuatu yang memabukkan serta tidak disebutkan nama Ku padanya."