Friday, January 1, 2010

SELAMAT TAHUN BARU CIKGU...

Alhamdulillah diizinkan Allah kita telah dipanjangkan umur untuk terus menghirup udara segar kemerdekaan pada tahun 2010 ini.

Aspek yang paling penting dalam hidup kita ialah pendidikan. Walaupun mungkin di antara kita ramai yang bukan dari kalangan pendidik samada di peringkat pra sekolah, rendah, menengah mahupun pra universiti, kolej atau universiti, dunia pendidikan tetap mewarnai hidup kita semua walau di tahap mana atau peringkat mana sekalipun penglibatan kita.

Sekurang-kurangnya semua kita sedang terlibat atau pernah terlibat dengan dunia pendidikan. Ibubapa akan sibuk dengan urusan pembelian buku dan peralatan tulisnya, pakaian sekolah dan perkakasannya dan pasti tidak ketinggalan semua yuran dan urusan kewangan yang lain.

Kadangkala sebahagian besar bonus yang diterima (sekiranya ada) akan digunakan untuk melangsaikan urusan perbelanjaan persediaan anak-anak untuk kembali ke sekolah. Demikianlah tingginya kesedaran ibubapa dan begitulah besarnya pengharapan ibubapa terhadap institusi pendidikan hinggakan "intan payung" mereka diserahkan kepada guru-guru untuk disekolahkan agar "buah hati pengarang jantung" menjadi insan kamil dan bukan sampah masyarakat.

Dan tugas guru semakin mencabar dewasa ini hinggakan mereka perlu mempunyai kemampuan untuk melaksanakan tugas "multi-dimensional", "multi-tasking" dan "multi-disciplinary". Kepelbagaian dimensi dan peranan telah dijayakan oleh cikgu-cikgu waktu pra dan pasca kemerdekaan dan kini beban (?) guru semakin bertambah seiring dengan penggandaan harapan oleh ibubapa kepada cikgu.

Cikgu dalam melaksanakan tanggungjawab profession keguruannya kadangkala mesti berperanan sebagai seorang usahawan, pekerja kilang, polis atau tentera dan juga doktor.

Bagaimana cikgu dapat berperanan sebagai seorang usahawan? Bukan bermakna cikgu melibatkan diri dalam bidang perniagaan termasuk MLM (Meniaga Lewat Malam) seperti Hai O, Imtiyaz, Zhulian dan sebagainya. Saya tidak pula berminat untuk membincangkan mengenai cikgu-cikgu yang menjalankan perniagaan seperti ini kerana ianya memerlukan platform yang lain bagi membahaskannya. Ada maklumat yang saya dengar kononnya ada kumpulan ustaz-ustaz yang memang kuat kerja dan "group binding" mereka (dengan izin) dalam Hai O dan memandu kereta mewah Honda dan mungkin mereka telah pun membincangkannya samada halal atau haram, syar'i atau tidak kerana pastinya bukan produk dari Carlsberg atau yang sama waktu dengannya, tetapi yang diinginkan serta diharapkan oleh ibubapa yang sanggup bergolok bergadai untuk menyekolahkan anak-anak mereka ialah ciri-ciri keusahawanan cikgu dalam mengajar anak-anak mereka.

Maksud cikgu umpama usahawan ialah cikgu akan berusaha untuk menjadi "usahawan sosial" yang boleh mengadun sumber-sumber yang terhad di sekeliling mereka supaya berjaya melahirkan keuntungan dari segi melahirkan graduan sekolah yang seimbang.

Di antara ciri-ciri usahawan yang perlu ada pada diri seorang cikgu ialah:

1. Inisiatif

Cikgu akan melakukan sesuatu usaha sebelum terpaksa melakukannya. Bermakna cikgu mesti proaktif merancang dan melakukan kerja yang mendatangkan hasil yang memberangsangkan. Cikgu juga giat mengembangkan program atau aktiviti pendidikan.

2. Melihat dan merebut peluang

Sentiasa mencari dan melihat peluang yang ada di sekelilingnya serta mampu merebut peluang-peluang tersebut. Cikgu mampu merebut peluang dengan menggunakan teknologi baharu, mendapatkan bantuan kewangan, peralatan atau lain-lain bantuan yang bleh meningkatkan prestasi anak didiknya.

3. Mempunyai kecekalan

Cikgu cekal dalam mencari jalan bagi mengatasi halangan kepada pencapaian matlamat dan juga mencari penyelesaian kepada masalah yang lebih besar tanpa mudah menyerah kalah.

4. Mencari maklumat

Cikgu melakukan penyelidikan atau tinjauan dalam usaha mendapatkan maklumbalas bagi menghasilkan murid yang berjaya. Bertanya sendiri dengan pelanggan (anak murid) tentang kehendak-kehendak mereka. Cikgu perlu melakukan kajian dan penganalisisannya. Perlu juga mnggunakan rangkaian maklumat serta rakan-rakan untuk mendapatkan maklumat baharu dan berguna.

5. Menitikberatkan mutu kerja yang tinggi

Cikgu mesti mempunyai keinginan yang tinggi untuk memberikan perkhidmatan yang bermutu. Perlu juga cikgu membuat perbandingan mutu kerja sendiri dengan mutu kerja orang lain atau sekolah lain supaya berada pada peringkat yang lebih baik.

6. Mempunyai komitmen kepada kerja

Sikap seorang usahawan ialah cikgu mesti memberikan tumpuan kepada anak murid dan sekolah dan sanggup melakukan pengorbanan peribadi demi mencapai matlamat. Menerima tanggungjawab untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan (anak murid) dan sanggup mengambil alih kerja untuk memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan.

7. Orientasi ke arah kecekapan

Seseorang cikgu akan sentiasa berusaha untuk melakukan sesuatu dengan kos yang lebih rendah dan pantas. Menggunakan kaedah pengurusan terkini untuk menambahbaik kecekapan sendiri dan juga sekolah. Cikgu juga perlu mengambilkira kos atau keuntungan hasil sesuatu pembaharuan, perubahan atau tindakan.

8. Membuat perancangan yang sistematik

Cikgu mesti mengatur langkah yang sistematik dan mudah dilaksanakan. Mengatur rancangan yang dapat mengatasi masalah yang dijangkakan. Menilai dan memilih beberapa alternatif untuk membuat keputusan. Cikgu harus mengambil pendekatan yang logik dan sistematik untuk mencapai matlamat.

9. Mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah

Cikgu seharusnya mempunyai kemahiran dalam mencari jalan atau kaedah baru untuk menyelesaikan masalah secara inovatif.

10. Keyakinan diri

Antara sifat keusahawanan yang perlu ada dalam diri guru ialah yakin iaitu tidak takut kepada kegagalan dan bersedia melakukan perubahan dari semasa ke semasa.

11. Ketegasan

Maksud ketegasan ialah seseorang usahawan mampu menyuarakan masalah dan mampu mengambil tindakan walaupun mendapat tentangan dari orang lain. Cikgu perlu ada ketegasan seperti ini dalam melaksanakan tugasan.

12. Kemampuan meyakinkan orang lain

Kemampuan menonjolkan diri supaya dapat meyakinkan anak murid dan ibubapa dalam memberikan khidmat mengajar terbaik. Mampu juga meyakinkan orang bagi mendapatkan bantuan atau modal dan akhirnya mampu meyakinkan pelanggan (anak murid dan ibubapa) akan kemahiran diri, kualiti dan kemampuan sekolah.

13. Kemampuan mempunyai strategi pengaruh

Lima pengaruh yang boleh digunakan oleh cikgu:

  • Pengaruh berdasarkan kuasa mutlak
  • Pengaruh berdasarkan kuasa menghukum
  • Pengaruh berdasarkan kuasa memberi ganjaran
  • Pengaruh berdasarkan kuasa kepakaran
  • Pengaruh berdasarkan kuasa memberi teladan
Sekiranya cikgu-cikgu mempunyai nilai dan sifat atau ciri keusahawanan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran, sebagai Guru Disiplin, Guru Bimbingan dan Kaunseling dan lain-lain termasuk kegiatan ko-kurikulum, maka Insya Allah kaum guru atau lebih mesra dipanggil cikgu akan dipandang tinggi bukan disebabkan kelebihan material mereka tetapi kepakaran dan "suri teladan" yang sememangnya menjadi rujukan masyarakat sejak dahulu seperti yang dabadikan Sasterawan Negara Usman Awang yang sering diulang dan dihayati apabila tiba masa yang khusus mengenang jasa warga pendidik.

Terima kasih kepada semua guru yang telah mendidik saya dari tadika (di Mesir), sekolah rendah, menengah dan universiti. Kerana cikgu lah, saya diberi amanah besar untuk mendidik rakyat agar bersyukur kepada Allah kerana menjadi rakyat Malaysia dan tidak menderhaka kepada orang yang telah berjasa mendewasakan kita....

SELAMAT TAHUN BARU CIKGUU......
TERIMA KASIH CIKGU...


No comments:

Post a Comment