Saturday, January 2, 2010

AL-FATIHAH BUAT TAN SRI MOHAMAD RAHMAT

Saya teringat pada satu malam sedang saya berehat di salah sebuah kedai mamak di Bandar Baru UDA, Johor Bahru setelah 'bekerja' dalam misi Pilihan Raya Umum 2004, ketika itu saya masih berkhidmat sebagai Pengarah BTN Johor.

Saya mula memesan minuman tika itu jam 12.00 tengah malam. Tak lama kemudian, saya bertiga dengan seorang sahabat AJK UMNO Bhg Pulai, ternampak sebuah kereta Mercedes kalau tak silap warna hitam masuk dan memakir di tepi kedai mamak tersebut.

Tiba-tiba saya lihat Tok Mat Rahmat keluar bersama pemandu dan mereka terus menuju ke meja kami kerana Ahli Jawatankuasa Bahagian beliau duduk semeja bersama saya.

Kami bertiga terkejut kerana tak menyangka kami akan bersama Tok Mat malam itu. Saya lihat Tok Mat sudah kurus berlawanan dengan gelarannya sebelum itu Mat Bulat. Dalam masa bersembang dengan kawan yang seorang lagi, beliau menyebut beliau mewarisi penyakit kencing manis dari ibunya. Tok Mat kata: "I dah 30 tahun kencing manis tau."

Malam itu, Tok Mat bersembang dengan saya mengenai politik, mengenai program SEMARAK yang beliau cadangkan kepada mantan Perdana Menteri Dr Mahathir dan beliau sebut kepada Dr Mahathir, "You mesti turun padang. Rakyat nak tengok you. Kalau tidak tak tau lah tapi terpulanglah kepada you." Cadangan Tok Mat itu telah memberi sokongan moral dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Dr Mahathir lantaran parti UMNO (Baru) masih muda akibat "kelahiran semula" setelah diharamkan di mahkamah.

Tok Mat sangat mesra dan ramah dan saya teringat dalam hati bagaimana saudara Yusof Chong suka benar meniru suara beliau ketika berucap. Malam itu saya dengar suara Tok Mat tidaklah seperti yang saudara Yusof Chong tiru. Banyak yang saya dengar dari Tok Mat, ada yang saya sudah lupa dan ada yang menjadi rahsia saya.

Itulah kali pertama dan terakhir saya bertentang mata dengan Tok Mat. Sebelum dan selepas perjumpaan itu, hubungan saya ialah dengan membantu UMNO Bhg Pulai melaksanakan program seminar dan kebetulan rakan-rakan saya ramai juga di bahagian Pulai termasuk anak Tok Mat, Datuk Nur Jazlan.

Kepada Datuk Nur Jazlan, bersabarlah dan kita doakan agar Allahyarham ditempatkan bersama -sama dengan para ulamak dan salihin. Al-Fatihah.


No comments:

Post a Comment