Wednesday, December 2, 2009

DOAKAN YANG BAIK SAHAJA

Lebih 1,000 rakyat Kelantan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan berhimpun di pekarangan pejabat Menteri Besar di Kota Darul Naim semalam.

Perhimpunan itu bertujuan menyerahkan memorandum mendesak Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan. Ini berikutan isu doa Nik Abdul Aziz supaya Allah memusnahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

Utusan Malaysia melaporkan perhimpunan tersebut.

Kita hormati hasrat sebahagian rakyat Kelantan yang mahukan Tuan Guru melatak jawatan. Mereka punya alasan tersendiri untuk berbuat demikian. Tetapi janganlah sehingga kita katakan rakyat Kelantan yang berhimpun itu tidak akan masuk syurga. Tidak masuk syurga hanya kerana mereka melawan ulamak. Melawan cakap ulamak bermakna melawan Islam sebab ulamak adalah pewaris Nabi.

Saya pernah menulis di dalam blog peribadi saya ini sedikit masa dulu bahawa saya pernah bertanya kepada seorang penceramah terkenal bergelar Datuk sewaktu saya mengambil beliau di lapanganterbang Senai untuk dibawa berceramah Maulid al-Rasul di Masjid Jamik Pekan Nanas. Beliau menyebut,” I swear that Nik Aziz is an ulamak but he is not a good politician.” Maksudnya beliau lebih cenderung agar Nik Aziz menjadi full time ulamak daripada menjadi seorang ahli politik.

Salah satu ‘kerja’ utama ulamak ialah berdoa. Ini sebenarnya bukan kerja seorang ulamak tetapi berdoa adalah tuntutan Allah kepada setiap manusia beriman. Berdoa menunjukkan ciri kelemahan manusia yang tidak dapat melakukan sesuatu melainkan dengan izin Allah.

Semua orang dituntut berdoa. Namun umat Islam pun tahu ada orang yang doanya makbul dan ada yang sia-sia sahaja berdoa. Namun berdoa adalah ibadah. Kita selalu minta orang alim atau orang yang kuat amalan salehnya iaitu abid suoaya mendoakan kita berjaya samada dalam pelajaran atau apa sahaja aktiviti kehidupan kita.

Saya pernah minta Dato’ Nooh Gadot waktu itu Mufti Kerajaan Negeri Johor mendoakan saya bila saya membayar bayaran ‘car wash’ kereta beliau di Taman Nong Chik, Johor Bahru.

Saya selalu mohon abah doakan saya supaya saya selamat dalam pekerjaan saya dan kehidupan.

Begitu besar peranan doa dalam kehidupan. Nabi s.a.w. mendoakan penduduk Taif dan Allah perkenankan akhirnya anak cucu mereka menerima Islam hingga kini.

Allah menyuruh kita berdoa yang baik-baik. Doakan yang baik-baik bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain. Doa supaya diampunkan dosa-dosa kita dan saudara-saudara Islam kita.

Kadangkala kita buat solat hajat dan pastinya mendoakan saudara kita umat Islam di Palestin, Afghanistan, Bosnia Herzegovina, Ambon, Aceh dan mana-mana bahagian dunia ini yang ada umat Islam.

Jadi mengapa kita doakan supaya jiran kita ditimpa bala oleh Allah Taala? Bukankah bala kalau diturunkan bukan sahaja akan mengenai musuh yang ada dalam negara bahkan dengan kita sekali yang ada di tempat tersebut? Sebab itu Allah perintahkan supaya Rasul-rasul terdahulu berserta pengikut baginda meninggalkan tempat atau negeri berkenaan sebelum Allah menurunkan bala.

Apa yang patut menjadi renungan kepada kita semua dalam isu Nik Aziz mendoakan kecelakaan orang lain (kalau boleh saya sebutkan begitu) ialah pandangan orang Islam awam dan juga orang bukan Islam terhadap institusi ulamak dan peranan doa.

Apakah boleh kita katakan kepada orang lain, “Kalau kau tak tolong aku, aku doakan kau tak selamat dan perniagaan kau akan rugi.” Ataupun ,”Kalau kau tak bagi apa yang aku minta, tunggulah bala dari Allah ke atas kau.”

Ini menunjukkan bahawa (kalau yang becakap begitu adalah saya), seolah-olah saya confident doa saya makbul. Jadi jaga-jagalah kamu. Ini dikhuatiri akan menanam sifat takbur dalam diri saya.

Pandangan orang juga akan berlaku begini. Saya sendiri tidak dapat menunjukkan contoh sebagai seorang Muslim yang baik (ini saya akui sendiri) bagaimana pula saya akan mendoakan supaya orang lain tidak selamat.

Alangkah baiknya kalau kita doakan begini:

“Ya Allah Ya Tuhan kami! Engkau berilah hidayah kepada pemimpin-pemimpin negara ini supaya mereka dapat menegakkan syariat Islam yang mungkin kami sendiri tidak mampu dan tidak terdaya untuk melakukannya. Jadikanlah kami sebagai penolong kepada kebenaran tanpa mengira siapa yang melakukannya.”

Amin Ya Rabb al-Alamin...!

No comments:

Post a Comment