Sunday, November 1, 2009

PROPOSAL KAJIAN

TOKOH ULAMAK SILAM NEGERI SELANGOR
DATO’ HJ MAHMAD MUHTAR BIN HJ MAHMAD SALLEH


Nama Datuk Hj Mokhtar Salleh atau di dalam kad pengenalan Hj Mahmad Muhtar bin Mahmad Saleh tidak dapat dipisahkan daripada sejarah perkembangan sekolah-sekolah agama di bawah tadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sebagai bekas guru agama sekembalinya dari menamatkan pengajian di Deoband, India dan kemudiannya bertugas di ibupejabat jabatan agama dalam bidang pelajaran setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Syariah Universiti al-Azhar untuk jangkamasa yang agak panjang, sudah pasti di sepanjang karier beliau, tumpuan serta usaha bagi mengangkat martabat sekolah-sekolah agama sentiasa menjadi agenda kerja beliau.

Beliau memulakan karier di jabatan agama sebagai Setiausaha Pelajaran (SUP), Jabatan Ugama Islam Selangor (JUIS) iaitu nama lama jabatan sebelum dipinda kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kemudian jawatan tersebut ditukarkan kepada nama Penolong Pengarah Pelajaran sesuai dengan perkembangan semasa itu. Tempoh berkhidmat secara khusus dalam bidang pelajaran Agama Islam yang agak lama pada tahun-tahun 70an dan 80an telah membawa kepada pencapaian dan peningkatan taraf sekolah-sekolah agama baik dari segi perkembangan fizikalnya mahupun kualiti guru-gurunya serta pengiktirafan sijil-sijil keluaran JAIS oleh beberapa universiti Islam luarnegara seperti al-Azhar, Madinah, Morocco dan sebagainya. Pengiktirafan terhadap usaha beliau ini telah dirakamkan di dalam Wikipedia, sebuah ensaiklopedia bebas:
Mokhtar Salleh
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
Datuk Haji Mokhtar Salleh merupakan seorang Penolong Pengarah di Bahagian Pelajaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Malaysia. Dalam tempoh perlantikannya antara 21 September 1970 dan 16 Oktober 1984, beliau bertanggungjawab untuk memperkenalkan dan menyelaraskan bidang akademik dan kokurikulum bagi semua sekolah di bawah JAIS.
Datuk Mokhtar berhasrat untuk menubuhkan dua buah sekolah agama di dalam setiap daerah Selangor untuk menjimatkan perbelanjaan pendidikan yang diagihkan kepada sekolah-sekolah JAIS.
Tanggagaji guru-guru agama JAIS juga menjadi agenda beliau dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka. Perjuangan ini menjadi satu kenyataan namun sepertimana yang disebutkan dalam biodata penganugerahan Tokoh Guru Jabatan Agama Islam Selangor yang diterima beliau, “Tanggagaji beliau sendiri tidak ada siapa yang memperjuangkannya.”
Ringkasnya, dalam jangkamasa dua dekad beliau memperjuangkan sekolah-sekolah agama sebagai Penolong Pengarah Pelajaran dan usaha-usaha beliau berterusan apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang pertama dari kalangan ‘orang dalam’ iaitu dari kalangan pegawai JAIS sendiri. Sebelum itu, jawatan Pengarah JAIS disandang oleh mereka dari kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), bekas majistret dan lain-lain lagi.
Sebaik sahaja dilantik ke jawatan Pengarah JAIS, beliau telah memaklumkan bahawa beliau bertekad untuk memberi tumpuan kepada bidang pendidikan dan dakwah di Negeri Selangor sebagaimana yang dilaporkan di dalam akhbar. Jawatan Pengarah JAIS yang disandang telah menempatkan beliau sebagai Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kesempatan ini digunakan bagi melibatkan rakan-rakan beliau di dalam MAIS sebagai Ahli Majlis bagi tujuan memperjuangkan sekolah-sekolah agama terutamanya aspek pengiktirafan sijil-sijil keluaran JAIS. Antara rakan-rakan yang dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam Selangor ialah Datuk Hj Zainal Abidin bin Abd Kadir dan Datuk Dr Hasan Ali.

Selain daripada melaksanakan tugas-tugas pentadbiran sebagai Penolong Pengarah Pelajaran dan Pengarah JAIS, beliau juga semasa hayatnya telah menyumbangkan khidmat bakti sebagai Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor. Kelulusan dan kelayakan akademik beliau sebagai pemegang Ijazah Sarjana Syariah dari Universiti al-Azhar sebenarnya melayakkan beliau untuk memegang jawatan Kadi atau Mufti namun beliau memilih jawatan Setiausaha Pelajaran waktu itu. Keilmuan beliau dalam bidang syariah Islamiyyah dan fatwa disalurkan melalui penglibatan di dalam Majlis Fatwa Negeri Selangor.

Sejak dari zaman muda lagi, beliau telah mengajar di masjid-masjid dan memenuhi undangan berceramah di seluruh Negeri Selangor. Kegigihan beliau mengajar berdasarkan kitab-kitab lama dan baru di masjid-masjid diteruskan hinggalah beliau semakin uzur dan tidak dapat meneruskan aktiviti tersebut lantaran keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Di sepanjang perjalanan karier beliau sebagai Pengarah JAIS, beberapa isu telah timbul yang menuntut penyelesaian dan ketegasan daripada pihak berkuasa agama negeri. Isu-isu seperti anti hadis oleh kumpulan serta penyokong Kassim Ahmad, isu Jemaah al-Arqam dan Aurad Muhammadiyyah, kes pemakaian purdah oleh siswi universiti dan dibuang oleh pihak pentadbir, isu tafsiran terhadap konsep mati syahid ekoran Peristiwa Memali, konsep Negara Islam adalah merupakan antara beberapa isu berbangkit bertepatan dengan era yang diberi nama “Zaman Kebangkitan Islam” atau “The Rising Tide Of Islam.” Kerajaan Persekutuan juga pada masa yang sama telah menubuhkan beberapa institusi Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan lain-lain sesuai dengan tuntutan umat yang telah meningkat kesedaran menghayati Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap. Pada masa ini juga, Jemaah al-Arqam telah mengeluarkan kenyataan mencabar supaya Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri diserahkan kepada mereka kerana mendakwa pengurusan mereka (al-Arqam) lebih berkesan daripada yang telah dilaksanakan oleh jabatan-jabatan agama Islam negeri-negeri.

Kehidupan yang menyiksakan sewaktu zaman penjajahan Jepun pastinya tidak dapat dilupakan oleh mereka yang telah melaluinya. Satu aspek yang menarik untuk dikaji ialah latarbelakang tokoh ini dalam perjalanan serta pengembaraannya mencari ilmu sampai ke luarnegara. Bermula dari kembara ilmunya ke sekolah pondok di utara tanahair, pengalaman menuntut ilmu di India serta belajar di perantauan di peringkat pasca-siswazah di Kahirah bersama anak dan isteri adalah liku-liku pencarian ilmu yang menuntut darjah kesabaran yang tinggi. Motivasi kendiri untuk belajar tanpa jemu merupakan antara sisi kehdupan yang boleh dijadkan panduan kepada generasi terkemudian.

Di dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan pula, kegiatan beliau sebagai Yang Dipertua Persatuan Ulamak Malaysia Negeri Selangor dan Pengerusi PEYATIM telah menambahkan jasa beliau dalam kegiatan kemasyarakatan.

Anugerah yang beliau perolehi seperti Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor, Tokoh Guru Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dan Tokoh Kolej Islam Darul Ehsan (KISDAR) sebagai bukti pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor terhadap jasa dan sumbangan beliau kepada pembinaan keilmuan dan tamadun di Negeri Selangor.

Maka kajian atau penulisan terhadap sumbangan serta pengorbanan tokoh ini dalam memperjuangkan syiar Islam wajar dihayati dan dijadikan penyuntik semangat kepada generasi terkemudian.
Al-Fatihah.




















KATA PENGANTAR

PRAKATA

SALASILAH KETURUNAN

PENDIDIKAN
Pendidikan Sistem Pondok
Pengajian di India
Pengajian di Mesir

KELUARGA

PENGALAMAN KERJAYA
Guru Agama JAIS
Penolong Pengarah Pelajaran JAIS
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor
Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor

PEMIKIRAN DAN PANDANGAN
Buletin JAIS/MAIS
Fatwa dan pemikiran
Anti hadis Kassim Ahmad
Peristiwa Memali
Aurad Muhammadiyah

ANUGERAH DAN TAULIAH
Pingat DSSA dan PPT
Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor
Tokoh Guru JAIS
Tokoh Kolej Islam Darul Ehsan (KISDAR)

SUMBANGAN TERHADAP PERKEMBANGAN PELAJARAN AGAMA ISLAM DI NEGERI SELANGOR
Perkembangan sekolah-sekolah agama
Perjuangan penyelarasan tanggagaji guru-guru Agama Negeri Selangor
Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Agama JAIS oleh Universiti al-Azhar dan Morocco
Perkembangan Maahad Tahfiz
LEPAI

SUMBANGAN TERHADAP PERKEMBANGAN DAKWAH DI NEGERI SELANGOR
Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Masjid Negeri Selangor
Aktiviti dakwah Negeri Selangor

AKTIVITI KEMASYARAKATAN
Yang Dipertua Persatuan Ulamak Malaysa (PUM) Cawangan Selangor
Pengerusi PEYATIM

PERIBADI DAN SIFAT UTAMA
Berani menyuarakan pandangan
Tegas dalam prinsip
Menerima pandangan daripada cendekiawan muda

LAMPIRAN KERATAN AKHBAR/MAJALAH/PENERBTAN

BIBLIOGRAFI
BIODATA PENULIS

No comments:

Post a Comment