Thursday, November 12, 2009

MUSOLLA AL-HAKIM

Pada Hari Khamis 12 November 2009, saya menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Musolla al-Hakim di SMK Tun Syed Nasir Ismail, Johor Bahru yang dahulunya dikenali sebagai SMK Majidi Baru. Majlis anugerah telah disempurnakan oleh Tuan Hj Supaat bin Tumin, Pengarah Pelajaran Johor.

Majlis diadakan di SMK Tun Syed Nasir Ismail kerana sekolah ini telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan Musolla al-Hakim (Smart Musolla) peringkat Negeri Johor. Majlis penganugerahan tidak diadakan di hotel atau tempat-tempat lain bagi memberi peluang hadirin untuk merasai sendiri kehebatan sekolah yang telah berjaya membolot anugerah.

Semua hadirin bersetuju pilihan panel hakim adalah tepat. Surau atau musolla sekolah ini mempunyai LCD yang boleh digunakan untuk proses Pengajaran dan Pembelajaran (P & P) atau apa sahaja majlis. Surau dilengkapi dengan alat pendingin hawa, TV dan ditampal dengan nama-nama syurga, nama Nabi-nabi dan Rasul-rasul, nama-nama Allah yang baik (Asma'ul Husna) dan info-info lain yang memikat rasa.

Di bahagian luar surau, diletakkan replika jenazah yang tersimpan di dalam bekas cermin. Replika jenazah yang telah siap dikapan dijadikan sebagai bahan pamiran bagi memudahkan pemahaman pelajar.

Replika Kaabah juga dipamirkan dengan dilabelkan bagi memudahkan pemahaman pelajar terhadap gambaran Baitullah yang menjadi kunjungan jutaan umat manusia yang menunaikan Rukun Islam kelima.

Bersebelahan dengan surau, terdapat replika kubur. Saya kata, "Kecilnya kubur ini mungkin kubur kanak-kanak. Dua pupu saya Ustazah Nabilah Jaafar yang mengajar di situ berkata, "Kubur Kanak-kanak dua tahun." Apa yang anehnya, replika kubur itu tidak menyeramkan sepertimana replika jenazah.

Saya bertanya kepada ustazah yang bersaudara dengan saya itu, "Tidak jadi isu ke replika jenazah ini?" Ini kerana dengar khabarnya ada sekolah yang mempunyai replika kubur sebelum ini akhirnya kubur 'dialihkan' ke tempat lain. Ustazah menjawab, "Pak guard (jaga) pun tidak lalu depan surau pada waktu malam kerana takutkan replika jenazah."

Surau tersebut juga mempunyai laman web sendiri yang boleh diakses.

Satu lagi yang menarik, sebahagian besar perbelanjaan surau lebihkurang RM170,000 diusahakan oleh AJK PIBG. Surau tersebut menelan kos sebanyak RM200,000. RM30,000 diperolehi daripada sumber-sumber yang lain.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada SMK Tun Syed Nasir Ismail, Johor Bahru dan semoga ianya menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain. Wassalam.

No comments:

Post a Comment