Sunday, November 1, 2009

BURUNG PIPIT BANTU PADAMKAN API YANG MEMBAKAR NABI IBRAHIM

Pada zaman purba, nama negara Babylon sangat terkenal. Dalam matapelajaran sejarah, kita mengenali nama Raja Nebuchadnezar yang telah membina Taman Tergantung Babylon yang disenaraikan sebagai antara tujuh benda ajaib di dunia kategori zaman purba. Mungkin Raja Nebuchadnezar ialah Raja Namrud yang disebutkan dalam al-Qur'an.

Negara Babylon dianugerahkan Allah dengan nikmat tanah yang luas dan subur. Hasil petanian yang banyak menjadikan negara tersebut makmur dan sejahtera. Bangsa Babylon ini merupakan bangsa yang awal mencapai ketamaddunan yang tinggi. Raja yang memerintah Babylon ialah Raja Namrud bin Kan'an. Namun segala nikmat pemberian Allah ini tidak disyukuri oleh mereka dan kaum ini mengamalkan kepercayaan menyembah berhala.

Nabi Ibrahim diutus oleh Allah untuk berdakwah kepada kaum Babylon ini. Baginda menyeru ayahnya Azar seorang pembuat patung berhala dan keluarganya supaya menyembah Allah tetapi seruan dan ajakan Nabi Ibrahim tidak langsung diendahkan oleh mereka.

Baginda telah pergi ke istana Raja Namrud berdakwah kepada raja serta pembesar-pembesar namun seruan baginda itu ditolak mentah-mentah oleh mereka.

Menjadi tradisi rakyat Babylon iaitu pada setiap tahun, mereka akan mengadakan perayaan besar-besaran. Pada hari perayaan itu, mereka akan berhimpun di satu tempat keramaian yang besar dan meninggalkan tempat pemujaan berhala.

Setelah semua kaum Babylon keluar dan sibuk dengan perayaan mereka, Nabi Ibrahim alaihis salam pun mula menjalankan rancangan baginda. Baginda masuk ke tempat penyembahan berhala dan memecahkan semua patung berhala dengan menggunakan sebilah kapak kecuali sebuah patung berhala yang paling besar. Baginda pun menggantungkan kapak tadi di leher patung yang paling besar itu.

Apabila kaum Babylon pulang semula ke tempat penyembahan berhala, mereka terkejut melihat semua 'tuhan' mereka hancur berkecai. seorang telah berkata:"Ini pastinya perbuatan Ibrahim. Mari kita cari dia".

Mereka mencari Nabi Ibrahim dan berjaya menangkap baginda. Raja Namrud mahu supaya Nabi Ibrahim dibawa ke hadapan orangramai supaya menjadi saksi atas perbuatan jenayahnya.

Raja Namrud bertanya:"Kamukah yang telah memecahkan semua patung-patung itu?"

Nabi Ibrahim menjawab: "Bukan aku yang memecahkan patung itu tetapi patung yang paling besar itulah yang melakukannya".

Raja Namrud semakin marah terasa seolah-olah Nabi Ibrahim mempersendakannya.

Lalu Namrud berkata:"Bukankah patung besar itu tidak boleh bergerak jadi bagaimanakah ia boleh melakukannya?"

Nabi Ibrahim menempelak:"Kalau begitu mengapa kamu semua menyembah patung yang tidak terdaya melakukan apa-apa. Tidakkah kamu boleh berfikir?"

Kemarahan Namrud tidak dapat dibendung lagi. Dia merasa sangat terhina kerana seorang raja besar sepertinya diperlakukan sebegitu rupa oleh seorang rakyat biasa. Namrud seterusnya mengeluarkan perintah supaya Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup.

Setelah satu timbunan kayu api yang besar tersedia, api pun dinyalakan. Nabi Ibrahim diikat dan diletakkan di atas pelontar lalu dicampakkan ke dalam api yang sedang marak itu.

Ketika Nabi Ibrahim dibakar, burung-burung yang berterbangan juga menyaksikan peristiwa tersebut. Ada seekor burung pipit yang berasa kasihan melihat baginda yang dibakar hidup-hidup itu. Burung pipit itu mahu menolong Nabi Ibrahim.

Burung pipit itu terbang mencari air. Ia menyedut dan menyimpan air tersebut di dalam paruhnya yang kecil itu. Burung-burung lain kehairanan melihat perlakuan burung pipit.

"Wahai pipit! Apa yang engkau mahu lakukan?" tanya burung-burung yang lain.

"Aku mahu membantu Nabi Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim," jawab burung pipit.

"Macam mana kamu mahu padamkan api itu? Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil. Sia-sia sahaja usaha kamu itu," kata burung yang lain pula.

Walaubagaimanapun, burung pipit tidak berputus asa dan meneruskan usahanya untuk membantu Nabi Ibrahim. Lalu ia membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang marak. Dengan izin Allah, api yang marak itu semakin berkurangan. Itu ahaja yang ia mampu lakukan untuk membantu Nabi Ibrahim. Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, burung pipit tetap berpuashati. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu Nabi Ibrahim.

Setelah kayu-kayu itu menjadi bara, maka orangramai menghampiri unggun api yang telah menjadi bara. Burung pipit itu merasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah semakin kuat dan ia terbang dengan rasa kesyukuran.

Rakyat Babylon terkejut apabila mendapati Nabi Ibrahim keluar dengan selamat tidak melecur sedikit pun.

Demikianlah burung pipit yang kecil itupun mahu berbakti membantu Nabi Ibrahim dalam batas keupayaannya sendiri. Apatah lagi kita manusia yang diberikan akal dan jasmani yang lebih hebat daripada burung pipit. Tidak mahukah kita memberikan sedikoit sumbangan terhadap Dakwah Islamiah demi menegakkan agama tercinta ini?























No comments:

Post a Comment