Sunday, September 27, 2009

NASIHAT MAHATHIR MASIH PERLU

YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad masih hebat. Dalam usia beliau 80an, beliau masih boleh menulis, mengingati fakta, memberi ucapan yang punya pesona tersendiri, berhujjah dengan begitu baik yang mungkin tidak dapat ditandingi oleh orang lebih muda.

Beliau seorang pejuang nasionalis. Hidupnya penuh dengan ranjau sehingga diterima sebagai seorang negarawan ulung. Ucapannya dinanti oleh seluruh dunia.

Setelah bersara dari jawatan Perdana Menteri, beliau tidak bersara daripada terus memberikan pandangan. Selain dari memenuhi undangan untuk memberi ucapan, beliau juga menulis dalam blog. Banyak isu disentuh dan pendirian Tun konsisten sama seperti ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri.

Apa yang perlu kita pelajari dari Tun? Antaranya ialah semangat perjuangan yang kental. Semangat kental ini terbentuk kerana beliau pernah hidup sengsara dalam zaman penjajahan. Penjajahan Siam dan Jepun serta British banyak memberi kesan kepada jiwa nasionalis beliau. Azam begitu kuat untuk mendapatkan pemerintahan sendiri lantaran tidak rela melihat bangsa dijajah.

Saya rasa Tun antara orang yang boleh dijadikan rujukan untuk melihat bagaimana Muslim minoriti ditindas di negara lain sedangkan minoriti bukan Islam di negara kita diberikan layanan begitu baik. Tun boleh menunjukkan fakta bagaimana dulunya orang bukan Melayu diberikan kerakyatan sebagai balasan penerimaan mereka terhadap Kontrak Sosial. Keberanian ini amat dikagumi hinggakan beliau tidak kisah kalau ada orang yang tidak bersetuju dengan beliau termasuk memberikan gelaran yang tidak enak didengar kepada eorang negarawan.

Dalam soal hubungan antara kaum di Malaysia, nasihat Tun juga drasakan sangat berkesan. Kita tentu masih ingat bagaimana Tun dapat menyelesaikan masalah dalam parti komponen Barisan Nasional dengan baik. Segala masalah apabila mendapat 'sentuhan' dari Tun ianya akan senyap dan selesai. Maka komponen pun terus bekerja untuk mendapat sokongan rakyat berbilang kaum.

Sewaktu negara berhadapan dengan krisis kewangan pada tahun 1997 dan 1998, pendekatan Tun telah diakui oleh pakar-pakar ekonomi dunia. Dalam keadaan kemelesetan ekonomi, kakitangan awam masih mendapat bonus setengah bulan pada satu tahun. Namun selepas itu, kembali menikmati bonus sebulan gaji.

Tun DrMahathir percaya ekonomi negara perlu di'generate'. Contohnya kalau kita simpan air dalam tempayan, air tersebut tidak akan berkembang. Ianya tidak berfaedah sebaliknya boleh menjadi sarang nyamuk aedes. Sebaliknya sekiranya air tersebut digunakan untuk menyiram tanaman, kita akan dapat hasilnya dan dapat lebih banyak air lagi berbanding kita simpan sahaja air tersebut tanpa menggunakannya. Teori ekonomi Tun ternyata berjaya membawa kemakmuran negara.

Dalam hubungan negara serantau, diplomasi Tun disegani oleh negara jiran. Pandangan beliau dihargai oleh pemimpin ASEAN dan negara Dunia Ketiga. Apabila beliau berucap mengenai hubungan Malaysia-Singapura, rakyat di kedua-dua negara dapat menerima dengan baik.

Apa yang dimaksudkan di sini, pandangan Dr Mahathir masih sangat diperlukan dengan tidak menafikan kehebatan pemimpin semasa. Cuma janganlah disalahgunakan perlantikan Tun Dr Mahathir sebagai penasihat kepada parti dan kerajaan. Wassalam.


No comments:

Post a Comment