Sunday, September 6, 2009

KERENGGANGAN KERAJAAN DAN RAKYAT

Dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, sebarang isu yang boleh merenggangkan antara rakyat dengan kerajaan mestilah dipadamkan segera. Ini adalah kerana kuasa mengundi sangat penting yang boleh menentukan masa depan parti pemerintah. Lebih-lebih lagi apabila rakyat sesebuah negara sudah mendapat nikmat pendidikan tinggi. Rakyat boleh berfikir. Kalau dahulu ketika rakyat masih belum berpendidikan tinggi, mereka takut untuk menyuarakan perasaan tidak puashati. Pendidikan yang tinggi menyebabkan rakyat biasa sudah boleh membuat pemerhatian, analisis dan mengemukakan cadangan penambahbaikan. Sebab itu penjajah mengabaikan pendidikan supaya anak tanah jajahan tidak boleh berfikir bagi mempastikan kelangsungan pemerintahan mereka.

Salah satu aspek yang perlu dijaga bagi mendapat kepercayaan rakyat ialah melalui perkhidmatan agensi-agensi kerajaan. Peranan agensi atau bagi orang kampung lebih mudah disebut pejabat kerajaan sangat penting bagi membantu rakyat. Bagaimana kerajaan membantu rakyat? Sudah pasti melalui jabatan kerajaan yang berada di seluruh negara.

Menyedari kepentingan pegawai kerajaan sebagai tulang belakang atau barisan hadapan kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan, YBhg. Tun Dr Mahathir Mohamad di awal-awal pentadbiran beliau telah melaksanakan beberapa dasar pentadbiran seperti Bersih, Cekap Amanah, Dasar Pandang ke Timur, pemakaian tanda nama, punch kad kedatangan dan penambahbaikan sistem seperti Manual Prosedur Kerja, Fail Meja dan pelbagai lagi pembaharuan yang diperkenalkan bagi merapatkan kerenggangan antara rakyat dengan kerajaan. Bersih bagi mendapatkan kepercayaan rakyat lantas pegawai awam diwajibkan isytihar harta, cekap supaya segala amanah dapat dilaksanakan dengan cepat dan tepat, amanah supaya perkhidmatan awam dipandang tinggi, melihat contoh baik ke negara Timur seperti Jepun dan Korea. Pemakaian tanda nama diwajibkan supaya rakyat dapat mengadu pegawai mana yang tidak cekap, punch kad supaya pegawai tidak membuang masa dan pengenalan sistem fail bagi memudahkan pengesanan projek-projek kerajaan. Adakah pegawai kerajaan sebelum Dr Mahathir tidak cekap sehingga Dr Mahathir membuat pembaharuan? Bukan Mahathir tidak percaya. Cuma perlu ada bukti bahawa kerajaan serius. Perlu ada sistem supaya sesiapa yang tidak puashati boleh membuat semakan. Inilah professionalisme namanya. Nak semak? Silakan. SPRM mahu selongkar? Segalanya akan diceritakan dalam fail.

Imej kerajaan yang bersih, cekap, membantu rakyat adalah tercermin melalui jabatan kerajaan. Maka pembangkang kalau mahu malukan kerajaan tuduhlah jabatan kerajaan dengan tuduhan yang berat. Hilangkan kepercayaan rakyat kepada jabatan kerajaan. Supaya rakyat pilih kerajaan yang lain. Cuma sekarang ini ada orang kata ramai kalangan kakitangan kerajaan merupakan penyokong pembangkang. Jadi yang tidak cekap itu penyokong kerajaan atau penyokong pembangkang? Kalau tukar kerajaan bolehkah mereka bertukar menjadi kakitangan kerajaan yang baik semata-mata kerana kerajaan telah berubah?

Maka tanggungjawab melaksanakan 'RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN DAN 1 MALAYSIA' adalah terletak di bahu agensi ketajaan.

No comments:

Post a Comment